Jumaat, 16 Ogos 2019 | 5:32pm
KAKITANGAN Bank Islam serta penduduk kampung bergotong royong melapah daging lembu korban pada Majlis Amal Ihtimam Korban Bank Islam Malaysia Berhad di Teluk Tempoyak, Batu Maung, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Korban erat ikatan 400 keluarga Teluk Tempoyak

KUALA LUMPUR: Ibadah korban yang berlangsung baru-baru ini mengeratkan silaturahim lebih 400 keluarga nelayan sekitar kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, Pulau Pinang.

Walaupun hanya berkumpul setahun sekali, aktiviti ini memberi peluang mereka bertanya khabar dan mengambil berat antara satu sama lain.

Program dijayakan dengan kerjasama kakitangan Bank Islam Malaysia (Bank Islam) menerusi program AMAL Ihtimam Korban 2019.

Majlis turut disertai kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), bermula 9 pagi, menyaksikan penduduk bergotong-royong menyembelih, melapah lima ekor lembu yang kemudiannya diagihkan kepada lebih 200 asnaf di kawasan sekitar.

Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff, berkata program sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat Bank Islam menyantuni asnaf selain berkongsi rezeki sempena Aidiladha.

“Lembu korban berkenaan adalah hasil dana zakat dan AMAL Bank Islam untuk dikongsi bersama golongan asnaf dan penduduk kampung.

“Bank Islam turut menyampaikan zakat kepada 101 keluarga asnaf daripada keluarga Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pulau Pinang. Di samping berpeluang mendekati dan beramah mesra dengan komuniti nelayan di sini,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Mohamed Iran Moriff berkata, kakitangan AMAL Bank Islam turut menziarah lima keluarga asnaf uzur dan kurang

upaya bagi menyampaikan sumbangan dana zakat dan barangan keperluan asas kepada setiap keluarga.

“Selain itu, pengisian program membabitkan penganjuran Kursus Asas Sembelihan untuk anak nelayan berusia 13 tahun ke atas dan Kursus Pengurusan Jenazah bagi dewasa,” katanya.

Berita Harian X