Selasa, 15 Oktober 2019 | 8:00pm
MARINA Mahathir (tengah), Maria Fernandez Castillo (kiri) dan Rozana Isa sempena konvensyen yang berlangsung selama empat hari mengenai Islam Unsurrendered; Women Rising Against Extremism di Hotel Istana di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Taat suami selagi tidak melanggar syarak, bahayakan nyawa

KUALA LUMPUR: Wanita Islam hanya dituntut mentaati suami pada perkara kebaikan selagi tidak menjejaskan pegangan agama atau perkara yang tidak memudaratkan diri sendiri.

Sekiranya suami meminta mereka melakukan kemungkaran hingga melanggar syariat, keengganan mematuhi arahan berkenaan sudah lagi tidak dianggap enggan mentaati suami.

Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS), Rozana Isa, berkata konsep itu jelas tertulis dalam al-Quran dengan menyatakan taat itu bertempat dan selagi tidak melanggar syariat dan membahayakan diri sendiri.

Beliau berkata, pelbagai kriteria dikehendaki wanita Islam dalam memperoleh kesaksamaan, sekali gus mereka tidak lagi dinafikan hak hanya kerana batasan jantina dan agama.

Katanya, kaji selidik IPSOS, mendapati wanita mahu diberi hak memilih pasangan hidup, mempunyai kelayakan akademik tertinggi, menamatkan zaman bujang, bebas menyatakan pendapat dan berhijab,

“Kajian itu membabitkan 675 responden dari seluruh negara yang dilaksanakan dalam dua fasa iaitu 2018 dan 2019, memberi kesimpulan nilai patriarchal (mengenai ketua keluarga) yang selama ini membelenggu wanita Islam menjadi punca golongan itu ditindas dan diskriminasi.

“Kepercayaan konservatif menganggap suami berkuasa sepenuhnya menjadi halangan. Masih ramai lelaki Islam yang menggunakan hak mutlak mereka sebagai ketua keluarga dengan mengabaikan hak isteri termasuk sering berlaku zalim dengan pelbagai bentuk penderaan.

Elak dizalimi

“Pada masa sama pula wanita pula kurang pengetahuan dan terikat dengan arahan mentaati suami sebagai definisi bergelar isteri yang taat sedangkan pada hakikatnya mereka berada dalam keadaan tertindas hingga boleh mengancam nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena konvensyen yang berlangsung selama empat hari mengenai Islam Unsurrendered; Women Rising Against Extremism di Hotel Istana di sini, hari ini.

Sidang media itu turut disertai Aktivis Sosial, Datin Paduka Marina Mahathir; Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Maria Fernandez Castillo; Pengurus SIS, Shareena Sheriff dan Nik Tasha Nik Kamaruddin.

Beliau berkata, wajar wanita diberi hak sama rata kerana dalam al-Quran, Nabi Muhammad SAW tidak pernah memukul isterinya dalam apa juga keadaan.

“Keadaan sebaliknya berlaku, ada suami memukul isteri dengan alasan pasangannya tidak taat, tetapi dalam konteks sebenar, golongan isteri ini sebenarnya dinafikan keperluannya, tidak dilayan secara baik selain tidak diberi nafkah zahir dan batin”

“Kaji selidik itu membabitkan wanita berusia antara 18 dan 55 tahun yang mengambil kira pemahaman mereka mengenai perundangan Islam, peranan sebagai individu, isteri dan anak,” katanya.

Berita Harian X