Jumaat, 1 November 2019 | 3:03pm
Ishah (tengah) bersama dua anaknya, Maya (kiri) dan Marita mengenakan pakaian daripada benang bulu yang dikait beliau sendiri.
Ishah menikmati keindahan percikan cahaya utara aurora borelis dari belakang kediaman di Hamaroy

Gadis Minang cekal teruskan hidup di lingkaran artik

Penghijrahan Shahrulniza Abdullah, 50, ke Oslo Norway, 30 tahun lalu, memberi peluang anak kelahiran Semerbok, Kota Negeri Sembilan, ini meneroka kehidupan lebih mencabar, selain membuka peluang kepadanya untuk hidup berdikari di perantauan.

Selesa menggunakan nama Ishah Lind-Hansen menerusi laman sosialnya, gadis minang ini memulakan langkah awal dari Kuala Lumpur ke London sebelum menyambung penerbangan ke Olso, Norway ketika itu hanya untuk berada bersama kakak sepupu beliau yang memerlukan seorang pengasuh menjaga bayi.

“Ketika itu hati begitu berdebar-debar kerana terpaksa meninggalkan kampung dengan harapan membantu keluarga meneruskan kehidupan mencari rezeki di tempat orang.

“Sampai di sini, saya didaftarkan sebagai pembantu pengasuh bayi bagi membolehkan kerajaan mengeluarkan permit kerja, iaitu syarat setiap warga asing yang hendak bertugas di sini.

“Selain mengasuh saya mengambil berkesempatan berjumpa masyarakat setempat untuk mengetahui cara hidup dan budaya mereka di sini.

“Pada awalnya memang tidak mudah menyesuaikan diri dengan mereka. Pada masa sama, saya mengambil kesempatan belajar bahasa Norway yang ketika itu turut dihadiri beberapa warga asing yang bekerja di sini antaranya dari Filipina, Vietnam, Korea dan Jepun.

“Ketika inilah saya berkenalan dengan suami Hansen Staale, 61, ketika itu bertugas sebagai kapten kapal. Perkenalan bermula ketika berkunjung ke rumah rakan untuk majlis keraian.

“Sepanjang tempoh berkenalan, kami merancang membina keluarga, namun disebabkan permit kerja sudah tamat saya perlu pulang ke tanah air. Enam bulan kemudian, suami berkunjung ke Negeri Sembilan bertemu keluarga dan berhasrat membawa saya ke Norway selepas melangsungkan akad nikah.

“Sepanjang tempoh satu bulan di Malaysia, suami mengambil keputusan memeluk Islam dan menguruskan dokumentasi pengislaman di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Kuala Lumpur. Selesai urusan kami dinikahkan dan saya pulang ke Norway hinggalah kini,” katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Sekolah Menengah Datuk Abdullah Astana Raja, Negeri Sembilan.


Ishah (tengah) bersama Maya dan Marita.

Kurang 2,000 penduduk

Ishah ketika dihubungi BH berkata, beliau kini menetap di kediaman baharu di kepulauan Hamoray lokasi tumpuan pelancong berhampiran lingkaran artik dengan kurang daripada 2,000 penduduk.

Sebelum ini katanya, beliau pernah menetap di Andernes iaitu kira-kira 271 kilometer dari Narvik tempat suaminya bertugas.

Walaupun sibuk dengan tugas harian, beliau berkata, mereka akan memastikan sekurang-kurangnya sekali setahun pulang ke kampung menjenguk ibu yang sudah berusia, selain berjumpa adik-beradik dan saudara mara di Kota, Rembau, Negeri Sembilan.

Di Oslo ramai orang Malaysia, namun di Andernes hanya beliau seorang wanita Melayu menetap di sini. Bunyinya agak asing namun itulah hakikatnya, syukur pada awal perkahwinan mereka menetap berhampiran keluarga mentua. Sepanjang tempoh berpantang ibu mentua menjaga sepanjang masa.

Berkongsi pengalaman menetap di kutub utara yang semakin dikunjungi pelancong bagi mengejar cahaya utara, aurora borelis dalam kalangan pelancong Malaysia. Ishah berkata beliau di sini perlu kerja keras menguasai bahasa Norway bagi memudahkan urusan berkomunikasi.

Ibu kepada dua cahaya mata Maya Lind Hansen, 25, dan Marita Lind Hansen, 21, kedua-duanya masih masih menuntut di institusi pengajian tinggi, katanya perlu mencari pekerjaan sesuai dengan keupayaannya iaitu pembantu menjaga orang tua, selain menguruskan individu kurang upaya di kawasan kejiranan.

Bagi membolehkan beliau menggalas tugas itu, Ishah berkata, dia perlu mengikuti kursus formal di pusat komuniti disediakan kerajaan selama dua tahun.

Kursus diteruskan hingga ke peringkat lanjutan dua tahun lalu menerusi program yang ditawarkan institusi perubatan dan penjagaan kesihatan School at Folkeuniversitetet.


Suami Hansen Staale sanggup ke Malaysia untuk membawa Ishah semula ke Norway.

Jaga warga emas, orang sakit

“Berbekalkan latihan, kemahiran dan pengetahuan itu, saya kini bertugas sebagai pembantu jururawat menjaga kebajikan warga emas dan individu kurang upaya selain menghidap penyakit kritikal.

“Tugasan yang digalas termasuk memberi pil, antibiotik, suntikan insulin kepada pesakit diabetes dan juga ubat kepada pesakit kanser seperti ditetapkan pegawai perubatan.

“Memandangkan anak sudah besar, saya perlu bekerja bagi mengisi masa terluang, pada masa sama memperoleh pendapatan,” katanya yang sehingga kini masih mengekalkan sajian tradisi masyarakat Minang menu harian keluarga.

Ishah berkata, mereka sekeluarga menikmati sajian seperti ikan masak lemak cili api, asam pedas, sambal petai, selain nasi lemak kerana masing-masing tidak kenyang menikmati kentang seperti lazim dinikmati penduduk tempatan. Semua bekalan diperoleh dari kedai Asia di sini.

Beliau yang selesa menghabiskan waktu terluang mendaki bukit, menyelusuri fjord (teluk kesan daripada glasier ais), sentiasa bersyukur kerana berpeluang menjalani kehidupan dalam suasana udara bersih dan segar, selain menikmati keindahan panorama seperti diidamkan oleh pencinta alam seluruh dunia.

Adakah beliau menyesal meninggalkan keluarga dan menjalani kehidupan di bumi yang begitu asing baginya, Ishah dengan penuh yakin berkata, sudah ditakdirkan rezekinya di negeri orang dan membina keluarga di sini.

“Tinggal di sini tidak sukar seperti digambarkan, ramai umat Islam yang sebahagian besar berhijrah dari negara asal antaranya Somalia, masing-masing menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

“Kehidupan sebagai seorang Islam juga mudah, setiap masalah mengenai mengenai ibadah harian boleh dirujuk dengan mereka yang lebih arif di Tromso Islamic Centre, utara Narvik.

“Jika ada kekeliruan mengenai waktu menjalani ibadah solat mahupun puasa pada Ramadan sekalipun, kami sepakat mengguna pakai waktu syuruk dan berbuka puasa mengikut masa masyarakat Islam di Arab Saudi,” katanya.


Maya (kiri) dan Marita (kanan) memotong isi petai.

Berita Harian X