Khamis, 28 November 2019 | 3:41pm
KETUA Jabatan Psikiatri UiTM, Prof Dr Mohd Razali Salleh pada majlis pelancaran program Hari Kesihatan Mental Sedunia 2019 di Fakulti Perubatan UiTM Sungai Buloh. - Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq

Kemurungan dorong tindakan bunuh diri

SUNGAI BULOH: Jabatan Psikiatrik Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil inisiatif menubuhkan program khas Skuad Peduli Minda (SPM), bertujuan mendekati individu bermasalah bagi menangani gejala bunuh diri dalam kalangan remaja.

Skuad ditubuhkan dengan kerjasama kerjasama Fakulti Perubatan UiTM itu membabitkan penyertaan seramai 50 sukarelawan terdiri daripada pelajar dan sembilan pakar psikiatri terlatih.

Ketua Jabatan Psikiatri UiTM, Dr Mohd Razali Salleh, berkata semua sukarelawan menjalani program latihan bertujuan memahami tahap kesihatan mental dan kaedah terbaik menanganinya secara berhemah.

Beliau berkata, pihaknya memberi penekanan mengenai perkara itu berikutan kes membabitkan remaja bunuh diri dan cubaan bunuh diri meningkat sejak kebelakangan ini.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kes bunuh diri antara 10 penyebab utama kematian di dunia. Punca kedua kematian dalam kalangan remaja dan belia berusia 15 hingga 29 tahun.

“Dianggarkan, setiap nyawa terkorban memberikan impak emosi, sosial dan ekonomi kepada 20 ahli keluarga atau rakan terdekat,” katanya ketika ucapan pada Majlis Perasmian SPM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Dekan Fakulti Perubatan UiTM, Profesor Dr Mohd Zamrin Dimon dan Ahli Lembaga Pengarah (UiTM), Datin Vivy Yusof yang merasmikan program berkenaan.

Tahun ini bertemakan “Sayangi Nyawa Hidupkan Harapan” fokus WHO memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kesihatan mental dalam mencegah bunuh diri.

Tanggal 10 Oktober setiap tahun, WHO menganjurkan Hari Kesihatan Mental Sedunia bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya menjaga kesihatan mental untuk kehidupan lebih sempurna.

Dr Mohd Razali berkata, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan terdapat peningkatan aliran tingkah laku bunuh diri dan cubaan ke arah itu dalam kalangan remaja berumur antara 13 hingga 17 tahun.

“Pada 2017, tindakan membunuh diri meningkat 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012. Kita bertanggungjawab mencegah tingkah laku itu dan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya penjagaan kesihatan mental,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata penubuhan skuad SPM dilihat menjadi perintis dalam menyediakan latihan kesihatan mental secara bersiri dan program berterusan kepada pelajar, kakitangan dan masyarakat.

“SPM diwujudkan bagi memenuhi beberapa objektif termasuk memupuk kesedaran kesihatan mental dan pencegahan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan pelajar universiti dan kakitangan.

“Kita mahu pelajar dan kakitangan menjadi barisan utama memberikan sokongan bermula peringkat institusi pengajian dan organisasi masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Vivy berkata, sebagai majikan beliau memandang serius isu masalah mental supaya dapat memberi persekitaran kerja terbaik kepada pekerjanya.

“Sebagai majikan, saya menyediakan sistem sokongan kepada pekerja di tempat kerja. Justeru, sama ada anda usahawan, doktor atau apa saja posisi, kesedaran berkenaan isu mental perlu dididik dan disebarkan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, masalah kesihatan mental membabitkan gangguan emosi, rasa cemas, gangguan selera makan dan kemurungan.

“Satu dalam setiap remaja melalui fasa kemurungan, 11 peratus remaja terfikir untuk membunuh diri manakala 10 peratus melakukan cubaan membunuh diri.

“Laporan akhbar baru-baru ini menunjukkan 356 kes bunuh diri direkodkan sejak 2014 lalu di negara ini dan perlu tangani segera oleh semua pihak dengan mengawal masalah gangguan kesihatan mental,” katanya.

Beliau berkata, mungkin disebabkan faktor tekanan, harapan musnah mahupun disebabkan masalah dalam perhubungan bersama pasangan.

“Punca masih tidak diketahui, bagaimanapun tekanan hidup antara sebab utama. Tekanan dalam pelajaran, kurang daya tahan dalam persaingan hidup dan kemurungan menyumbang kepada cubaan dan bunuh diri.

“Sedar atau tidak, masalah ini realiti berlaku dan mungkin menjadi ikutan apabila artis luar negara mengisytihar kemurungan, masyarakat juga mula mengatakan mereka melalui situasi sama,” katanya.

Vivy menambah, amat membimbangkan apabila sesiapa saja boleh mengalami masalah tekanan mental tidak kira pelajar, usahawan, doktor, golongan miskin mahupun individu daripada keluarga mewah.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X