Jumaat, 6 Disember 2019 | 11:31am
KETUA Projek Misi Banjir Al-I'tisam Relief Program Association, Muhammad Rafiq Ravi Abdullan. NSTP/Email
KETUA Projek Misi Banjir Al-I'tisam Relief Program Association, Muhammad Rafiq Ravi Abdullan. NSTP/Email

6,000 keluarga di Tumpat terima bantuan banjir

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30,000 isi rumah daripada 6,000 keluarga sekitar daerah Tumpat, Kelantan menjadi tumpuan pasukan misi bantuan bencana berikutan lokasi berkenaan mengalami kesan banjir pada tahap membimbangkan.

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Al-I’tisam Relief Program Association (Al-I’tisam), berkata pihaknya sudah membuat tinjauan baru-baru ini dan mendapati penghuni di sana perlukan bantuan segera.

Ketua Projek Misi Banjir, Muhammad Rafiq Ravi Abdullah, berkata program dijadual bermula hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada operasi mengagihkan makanan kering kepada mangsa yang masih dalam keadaan selamat dan tidak mahu berpindah.

Katanya, kebanyakan mangsa dipercayai enggan berpindah disebabkan pelbagai faktor antaranya khuatir keselamatan harta benda bagi mengenal kecurian.

Bagi memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat, pihaknya akan memantau keselamatan mangsa di tempat berkenaan selain membekalkan makanan.

“Antara pek makanan kering yang bakal diagihkan iaitu beras, makanan dalam tin, mi segera, bihun, teh uncang, telur, minyak masak, gula, garam, kicap, roti dan biskut,” katanya.

Al-I’tisam dilantik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai penyelaras Kluster Makanan atas kapasiti NGO itu memiliki bank simpanan makanan kering iaitu “Food Bank Al-I’tisam”.

“Kami mendapati paras air meningkat selepas dua sungai utama iaitu Sungai Kelantan dan Sungai Golok melepasi tahap bahaya, pada masa sama amaran merah sudah dikeluarkan.

“Sasaran lokasi tertumpu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran di Pengkalan Kubur dan Wakaf Bharu, Tumpat,” katanya.

Katanya, sejak Khamis hingga Sabtu lalu, 20 sukarelawan Al-I’tisam melakukan tugas pembungkusan barangan agihan di Shah Alam, sebelum bergerak ke Kelantan, Khamis ini.

Justeru, pihaknya memerlukan dana RM30,000 bagi menjayakan misi berkenaan dan berharap orang ramai dapat menghulurkan sumbangan.

Berita Harian X