Selasa, 31 Disember 2019 | 2:50pm
KERAJAAN memastikan kanak-kanak mendapat hak sewajarnya. - Foto hiasan
KERAJAAN memastikan kanak-kanak mendapat hak sewajarnya. - Foto hiasan

Isu remaja, kanak-kanak jadi tumpuan sepanjang 2019

Isu berkaitan kanak-kanak dan remaja tidak pernah lekang dibincangkan serta menjadi topik utama sepanjang tahun ini, termasuk wujud gesaan penggubalan akta tertentu membabitkan golongan itu.

Kalendar tahun ini tidak lengkap tanpa dihiasi air mata dengan insiden sukar dijangka, selain keringat perjuangan menegakkan hak asasi golongan itu bagi meneruskan alam kanak-kanak dengan sempurna.

Tragedi paling menarik perhatian adalah berkaitan isu basikal lajak selepas Mahkamah Majistret Johor Bahru melepaskan dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, pada 18 Februari 2017.

KES mahkamah membabitkan kematian lapan remaja berbasikal lajak dapat perhatian pelbagai pihak.
KES mahkamah membabitkan kematian lapan remaja berbasikal lajak dapat perhatian pelbagai pihak.

Lantas ramai menggesa kegiatan menunggang basikal lajak diubah suai dan penjualan basikal diharamkan bagi mengelak risiko kemalangan. Malah, ibu bapa kepada anak yang terbabit dengan kegiatan itu sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.

Mengikut seksyen itu, ibu bapa atau penjaga membiarkan anak tanpa pengawasan boleh didenda maksimum RM20,000 atau lima tahun penjara kedua-duanya.

Kes yang turut mencuri tumpuan membabitkan kes seorang bayi berusia 11 bulan dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh di Kajang.

Bayi perempuan yang meninggal dunia di Hospital Serdang, pada November lalu selepas dua hari dilaporkan tenat dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh amat menyayat hati.

Justeru, mulai 1 April lalu, individu dan organisasi yang menguruskan kanak-kanak boleh menyemak rekod jenayah seksual pekerja atau bakal pekerja melalui Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK).

Sistem itu mempunyai lebih 3,000 nama pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak sejak 2017 hingga Februari 2019 mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).

Ibu bapa atau pihak berkaitan perlu sentiasa berwaspada dengan membuat semakan sebelum menggajikan pengasuh yang bebas daripada rekod jenayah.

KEMATIAN kanak-kanak berusia 2 tahun kerana didera fizikal dan seksual menjadi topik utama 2019.
KEMATIAN kanak-kanak berusia 2 tahun kerana didera fizikal dan seksual menjadi topik utama 2019.

Begitu juga kes pelajar Maahad Tahfiz di Lanchang, Pahang, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, dipercayai didera meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan lemah oleh warden asrama, pada November lalu.

Siasatan awal ke atas fizikal mangsa mendapati ada kesan lebam pada tubuhnya yang tinggal bersama tiga lagi kanak-kanak berusia 13 tahun di asrama tidak berdaftar.

Sementara itu, isu perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak juga mencuri tumpuan.

Justeru, had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun dan antara lain memutuskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan akan menyediakan kertas kerja bagi menaikkan had umur perkahwinan bagi orang Islam sebelum dibentangkan dalam mesyuarat menteri besar dan ketua menteri untuk mendapatkan sokongan.

ISU membabitkan kanak-kanak OKU tetap diberi perhatian khusus.
ISU membabitkan kanak-kanak OKU tetap diberi perhatian khusus.

Sementara itu, isu membabitkan kanak-kanak dalam kategori orang kurang upaya (OKU), perlu diberi perhatian khusus.

Kerajaan perlu menjadikan negara maju lain, sebagai contoh dalam usaha melaksanakan Akta Kanak-Kanak 2001 bagi membela golongan OKU.

Paling utama, penguatkuasaan akta sedia ada dalam usaha mewajibkan ibu bapa mendaftar anak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Seperti di England, ibu bapa yang gagal mendaftar anak OKU dengan alasan malu dengan masyarakat dan menyorok mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Tindakan sama dilaksanakan di negara maju lain dengan menunjukkan betapa mereka prihatin terhadap golongan tidak bernasib baik ini.

Ini supaya kes terbaru yang boleh kita jadikan pengajaran andainya ibu bapa gagal mendaftar anak di bawah JKM seperti berlaku baru-baru ini, iaitu seorang remaja ditangkap kerana didakwa mencabul seorang wanita di tempat parkir kenderaan dapat di atasi.

Walaupun ibu bapa remaja itu mendakwa anaknya OKU, namun gagal menunjukkan sebarang pengenalan kad OKU menyebabkan dipenjara kerana kesalahan mencabul.

Malaysia ketika ini hanya merekodkan seramai 549,554 pendaftaran, iaitu 1.7 peratus, sehingga 30 Jun lalu.

Berita Harian X