Khamis, 16 Januari 2020 | 3:31pm
NUR Asleena di tempat kerja baharu Ummi Traditional Massage and Spa, Klang. - Foto Saddam Yusoff
NUR Asleena di tempat kerja baharu Ummi Traditional Massage and Spa, Klang. - Foto Saddam Yusoff

Program RTW bantu OKU kembali bekerja

KUALA LUMPUR: Seramai 28,992 Orang Kurang Upaya (OKU) dan yang mempunyai masalah kesihatan mendapat pekerjaan semula menerusi program Return To Work (RTW) yang diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan dan Sosial Pekerja (PERKESO) sejak 2007 hingga akhir tahun lalu.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO, Roshaimi Mat Rosely, berkata bagi tempoh sama, pertubuhan itu menjalankan proses pemulihan terhadap 46,719 pencarum yang mempunyai masalah berkenaan yang bersetuju dan berminat mengikuti program berkenaan.

Katanya, bagaimanapun daripada 45,947, kira-kira 85 peratus iaitu 39,925 dikenal pasti bermotivasi untuk dipulihkan dan kembali semula ke alam pekerjaan.

“Pencarum atau Orang Berinsurans (OB) biasanya kembali bekerja sama ada kerja yang sama, lebih kurang atau berbeza dengan majikan sama.

“Bagaimanapun, ada antara peserta RTW bekerja dengan majikan lain dengan kriteria sama iaitu sama ada tugas sama, kerja lebih kurang sama atau tugasan berbeza dengan majikan baharu, selain ada yang bekerja sendiri,” katanya.

Program RTW yang diperkenalkan secara menyeluruh oleh PERKESO sejak 2007 membantu pekerja yang mempunyai masalah keupayaan fizikal dan kesihatan tidak kronik mendapat pekerjaan semula melalui beberapa proses pemulihan fizikal serta latihan vokasional.

Sementara itu, Ketua Cawangan RTW, Rosmawati Mat, berkata pihaknya menerusi pengurus kes akan sentiasa berusaha membantu peserta supaya pekerja itu dikekalkan dengan majikan sama, tetapi jika sebaliknya peserta itu akan dirujuk kepada pegawai penempatan pekerjaan bagi membolehkan mendapat pekerjaan dengan majikan baharu.

KETUA Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO, Roshaimi Mat Rosely. - Foto Aswadi Alias
KETUA Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO, Roshaimi Mat Rosely. - Foto Aswadi Alias

“Bagi tempoh 2016 hingga 2019, seramai 11,159 peserta kekal di majikan sama dan 2,131 diberikan bantuan carian pekerjaan dan mereka berjaya mendapat pekerjaan baharu.

“Statistik wanita kekal bekerja dengan majikan sama adalah seramai 2,182 orang sementara 403, lagi kembali bekerja dengan bantuan PERKESO,” katanya.

Sementara itu, katanya dari segi penyertaan OKU pula, data yang diperoleh bagi tahun 2016 hingga 2019, menunjukkan seramai 1,276 peserta yang memiliki kad OKU sementara 21,407 lain mempunyai hilang upaya tetapi tidak mempunyai kad OKU.

“Statistik wanita bagi tempoh sama adalah 103 pemegang kad OKU dan seramai 2,482 bukan pemegang kad OKU,” katanya

Baru-baru ini BH Online melaporkan Juruterapi Ummi Traditional Massage and Spa, di Klang, Nur Asleena Salamat, 27, yang dulu normal fizikal bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) selepas terbabit dalam kemalangan ketika pulang bekerja di Meru, Klang, enam tahun lalu, sudah bekerja.

Nur Asleena yang menunggang motosikal digilis lori simen menyebabkannya patah kedua-dua kaki, putus jari kelingking kanan, memaksanya menjalani enam pembedahan sebelum setahun kemudiannya, dikategorikan OKU fizikal pada Januari 2015.

Rentetan itu bekas penyelia stor, Nur Asleena yang keterbatasan bergerak hampir setahun disebabkan kecederaan dialami dan kemudian mengikuti program RTW dianjurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Nur Asleena terus bekerja tanpa dibelenggu perasaan mahu mengalah dan mahu bangkit menjadi pekerja yang produktif.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X