Khamis, 20 Februari 2020 | 8:26pm
Keratan akhbar BH November 2018.
Keratan akhbar BH November 2018.

39 peratus kes dera dilakukan ibu

KUALA LUMPUR: Tanggapan yang sering mengaitkan ibu tiri dengan sifat yang negatif mungkin tidak lagi sesuai pada masa kini apabila rekod penderaan kanak-kanak pada tahun lalu mendapati, lebih 39 peratus atau 192 kes daripada 685 kes dera, dilakukan ibu kandung.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mendapati golongan bapa mencatatkan 158 kes atau 32 peratus, pihak pengasuh TASKA atau penjaga pusat jagaan membabitkan 29 kes (enam peratus), manakala kes yang membabitkan ibu tiri hanya tiga peratus atau 15 kes sahaja.

Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata jumlah itu antara kes yang diperoleh daripada 25,868 panggilan diterima menerusi Talian Kasih 15999 sepanjang tahun lepas.

“Sepanjang tahun lalu sahaja panggilan diterima menerusi Talian Kasih meningkat lebih 70 peratus berbanding 15,046 panggilan tahun 2018 dan ini menunjukkan, semakin ramai orang awam sedar dengan perkhidmatan disediakan ini.

“Panggilan tertinggi yang dicatatkan adalah membabitkan penderaan kanak-kanak dan masalah keganasan rumah tangga, termasuk mangsanya membabitkan lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis MPerjanjian Persefahaman (MoU) ‘Kesedaran Kanser Kanak-Kanak’ antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonalds (RMHC) dan Lions Club International di Rumah McDonald (RMH) Hospital Canselor Tunku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Yeoh turut merasmikan Lions Wonderland yang turut dihadiri Gabenor Daerah, Kelab Lions Antarabangsa Malaysia, Datuk Javern Lim Chong Hee dan Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonalds (RHMC) Malaysia, Azmir Jaafar.

Sementara itu, Yeoh berkata kementerian sedang membina tujuh lagi Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dalam usaha membantu meringankan beban pesakit dan keluarga berpendapatan rendah.

Empat Anjung Kasih yang dibina itu ialah di Hospital Melaka, Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Sabah, Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu, Johor dan Hospital Seberang Prai, Pulau Pinang; yang semuanya dijangka siap tahun ini.

Tiga lagi Anjung Kasih, iaitu dua di Hospital Putrajaya dan sebuah di Kota Kinabalu dijangka mula dibina tahun ini dan akan siap menjelang 2021.

Sejak ditubuhkan pada 2006 hingga kini, katanya terdapat 12 Anjung Kasih YKN beroperasi di hospital kerajaan di seluruh negara iaitu Sarawak (tiga), Pahang (dua), Selangor (dua) dan masing-masing sebuah di Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis serta Kedah.

Ia memberi manfaat kepada lebih 75,000 orang dengan pelbagai kemudahan, termasuk perkhidmatan kaunseling kepada keluarga pesakit. - BERNAMA

Berita Harian X