X
Rabu, 26 Februari 2020 | 11:44am
Maizatul Akma menerima sijil penghargaan dan pengiktirafan pada Majlis Konvokesyen Pejuang Hebat sempena Hari Kanser Sedunia 2020 di Sutera Mall, Johor Bahru, baru-baru ini. - NSTP/Omar Ahmad
Maizatul Akma menerima sijil penghargaan dan pengiktirafan pada Majlis Konvokesyen Pejuang Hebat sempena Hari Kanser Sedunia 2020 di Sutera Mall, Johor Bahru, baru-baru ini. - NSTP/Omar Ahmad

Berjuang harungi kanser sejak usia 10 bulan

JOHOR BAHRU: Perjalanan hidup setiap insan mempunyai kisah berbeza, malah kekuatan menjadikan setiap ujian itu mampu dilalui.

Mengenali insan kuat pejuang kanser, Maizatul Akma Sabarudin, 28, dapat membayangkan betapa kuatnya semangat wanita ini menempuh ujian sepanjang hidupnya.

Walaupun masih muda, ujian ditempuhi anak tunggal ini sangat hebat, apabila disahkan menghidap kanser buah pinggang atau ‘Wilms Tumor’ sejak berusia 10 bulan.

Meminjam semangat hebat ibunya, Haslinda Mohd Zaidi, 51, wanita bertubuh kecil yang mesra disapa Mai ini turut menjadikan ibunya inspirasi kehidupan.

“Saya disahkan menghidap kanser buah pinggang sejak berusia 10 bulan, ketika itu ibu ceritakan saya diserang demam panas dan mempunyai ketulan pada pinggang.

“Malah, pada usia saya setahun, kanser ini merebak sehingga tahap empat. Ketika saya berusia setahun dua bulan saya sudah menjalani pembedahan pertama di Institut pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk membuang buah pinggang dan ovari sebelah kiri serta dua inci usus.

“Saya membesarkan sama macam kanak-kanak yang lain, bersekolah serta bermain. Tetapi saya tidak boleh aktif bersukan kerana sering letih dan penat. Ketika zaman persekolahan juga saya sering demam kerana antibodi tidak kuat”, katanya yang tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Ibu menjadi sumber inspirasi dan semangat untuk Maizatul Akma mengharungi ujian sebagai penghidap kanser.
Ibu menjadi sumber inspirasi dan semangat untuk Maizatul Akma mengharungi ujian sebagai penghidap kanser.

Beliau ditemui selepas menerima sijil penghargaan dan pengiktirafan dalam Majlis Konvokesyen Pejuang Hebat sempena Hari Kanser Sedunia 2020 di Sutera Mall, di sini, baru-baru ini.

Maizatul Akma berkata, sepanjang hidupnya beliau sudah menjalani 11 kali rawatan kemoterapi dan 18 radioterapi di HKL.

Ketika berusia 17 tahun, kehidupan beliau sekali lagi diuji dengan munculnya ketulan baru di bahagian luar rahim.

“Pada 2009, ketika itu mulanya kitaran haid saya menjadi tidak teratur, iaitu dua bulan sekali. Selepas jumpa serta membuat pemeriksaan doktor di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), mereka dapati terdapat ketulan baru dikhuatiri ‘cycst’ di luar rahim saya.

“Pada tahun itu, saya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan doktor membuat keputusan untuk menjalankan pembedahan bagi membuang ketulan jenis air ini selepas SPM.

“Apabila doktor maklumkan bukan ‘cycst’, tetapi ketulan air yang tidak merbahaya bagaimanapun ia perlu dibuang. Saya bersyukur ketulan itu bukan kanser”, katanya yang berasal dari Pontian.

Sehingga sekarang Maizatul Akma masih menjalani rawatan susulan di HUKM setahun sekali seumur hidupnya.

Maizatul menghidap kanser buah pinggang sejak usia 10 bulan.
Maizatul menghidap kanser buah pinggang sejak usia 10 bulan.

“Rawatan ini saya perlu jalani kerana tidak mahu kanser lama berulang kerana doktor ada memaklumkan ada kes seperti ini berulang”, katanya.

Maizatul Akma berkata, tidak semua orang boleh menerima dirinya, namun keikhlasan ditunjukkan suami, Mohd Zafri Mohd Haha, 37 menjadikan dirinya sangat dihargai dan disayangi.

“Saya berkahwin pada 2013, Alhamdulillah kekuatan semangat saya dari ibu bertambah dengan kehadiran suami, mereka sentiasa memberi sokongan dan semangat untuk saya terus hidup.

“Hanya kekuatan, usaha dan doa yang perlu ada dalam setiap pejuang kanser” katanya.

Berita Harian X