Selasa, 7 April 2020 | 8:05am
Peranan suami sangat penting dan tidak boleh dikecualikan untuk sama-sama menguruskan rumah sepanjang tempoh PKP. - Foto hiasan
Peranan suami sangat penting dan tidak boleh dikecualikan untuk sama-sama menguruskan rumah sepanjang tempoh PKP. - Foto hiasan

Peranan suami bantu ibu berkerjaya sepanjang PKP

KUALA LUMPUR: “Saya rasa dah jadi tarzan sepanjang kerja dari rumah sebab tak berhenti menjerit. Kita baru buka laptop, anak mula berebut, macam mana nak habiskan.

“Saya tahu budak-budak manalah faham. Lebih-lebih lagi jika benda seperti laptop mereka sukalah. Cakap baik-baik pun, datang kacau. Suruh main dengan ayah, mereka pergi, tapi sekejap saja.

“Sekali dua, cubalah bersabar sebab faham mereka inginkan perhatian. Tapi, lama-kelamaan saya mula naik angin sebab banyak kertas cadangan kena siapkan,” cerita penjawat awam Nurul Iman Zarif, 37, dalam perbualan telefon dengan BERNAMA.

Berkongsi pengalaman kali pertama bekerja dari rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, ibu dua orang, berusia 8 dan tiga tahun, mengeluh agak sukar untuk fokus siapkan tugasan pejabat.

Nurul Iman juga perlu memasak lebih kerap, pada masa sama, perlu melakukan kerja rumah lain. Bertambah lagi dengan kehadiran anaknya kerana sekolah dan tadika ditutup.

Hakikatnya, situasi Nurul Iman ini bukanlah dihadapi wanita kelahiran Tapah, Perak itu sahaja. Bahkan, ia mungkin turut menjadi dilema sebahagian besar golongan ibu berkerjaya yang ketika ini bekerja dari rumah susulan penguatkuasaan PKP.

Tidak dinafikan, bekerja dari rumah sangat mencabar, terutama bagi pekerja yang juga bergelar ibu dan mempunyai anak kecil.

Ia berpotensi menimbulkan tekanan kepada mereka sekiranya gagal menanganinya secara baik.

Menurut Prof Dr Intan Hashimah Mohd Hashim, Pakar Psikologi Sosial/Positif, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), golongan itu berdepan lebih banyak permintaan, sama ada daripada majikan, anak atau suami.

Paling memberi kesan, apabila suami tidak saling membantu dan tanggungjawab itu semua dipikul sendirian oleh isteri. Keadaan ini, pastinya menambahkan tekanan berikutan faktor keletihan fizikal, mental mahupun emosi.

“Dalam keadaan biasa, kedua-dua tugas ini boleh diselesaikan dalam masa berbeza, tetapi pada masa sekarang, ibu ini perlu menjalankan kedua-dua tugas itu secara serentak. Hal ini, pastinya memerlukan banyak tenaga dan penumpuan lebih yang tentunya memberi tekanan berat.

“Cabaran juga boleh timbul memandangkan PKP adalah perkara baharu dan kebanyakan kita belum biasa bekerja dari rumah,” katanya.

Mengulas mengenai isu ini, Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Nazariah Shar’ie Janon, berkata peringkat usia anak paling mencabar golongan ibu bekerja dari rumah ialah di bawah lima tahun sekiranya suami tidak memberi sokongan dan majikan tidak memahami keadaan yang dihadapi.

Dalam keadaan sebegini, beliau berkata, majikan juga perlu mengambil maklum mengenai keadaan pekerja berkeluarga dengan lebih menitikberatkan hasil kerja berbanding pemantauan kakitangan sepanjang masa.

Bagi menjayakan konsep bekerja dari rumah, peranan suami juga sangat penting dan tidak boleh dikecualikan untuk sama-sama menguruskan rumah sepanjang tempoh PKP,” kata Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling/Psikologi), Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lt Kdr Dr Abu Yazid Abu Bakar TLDM (B).

Persepsi bahawa kerja rumah adalah 100 peratus di bahu isteri adalah anggapan konservatif dan sudah tidak boleh diterima lagi pada masa kini. Ada isteri bukan suri rumah sepenuh masa, tetapi juga bekerja untuk bagi membantu keluarga. - BERNAMA

Berita Harian X