Jumaat, 24 April 2020 | 12:06pm
MEF menyifatkan kebanyakan majikan dan pekerja masih belum bersedia melaksanakan rutin tugasan dari rumah sepanjang PKP. - Foto hiasan
MEF menyifatkan kebanyakan majikan dan pekerja masih belum bersedia melaksanakan rutin tugasan dari rumah sepanjang PKP. - Foto hiasan

Masih belum bersedia bekerja dari rumah

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan kebanyakan majikan dan pekerja masih belum bersedia melaksanakan rutin tugasan dari rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan, berkata terdapat pelbagai cabaran dan halangan ditempuhi untuk memastikan pelaksanaan kerja dari rumah dilakukan dengan efisyen.

Katanya, pihaknya berpendapat terhadap beberapa gangguan sepanjang bekerja dari rumah terutama dari segi integriti, kepercayaan dan tahap disiplin yang tinggi.

"Mereka memerlukan integriti yang tinggi supaya dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab perlu digalas setiap kakitangan sepanjang PKP.

"Saya rasa untuk menjayakan bekerja dari rumah, pekerja sendiri perlu menyediakan ruang khas di rumah untuk melakukan kerja seperti mana yang ada di pejabat supaya mereka fokus dengan tugasan, " katanya.

Beliau berkata, kekang lain dihadapi adalah kemungkinan kekurangan dari segi kelengkapan peralatan dan isu berkaitan keselamatan siber yang seharusnya dititikberatkan apabila bekerja dari rumah.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan. - Foto NSTP
Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan. - Foto NSTP

"Banyak isu yang timbul apabila bekerja dari rumah. Adakah keperluan dan peralatan mencukupi mengikut pengkhususan bidang tugas bagi setiap golongan pekerja apabila mereka bekerja di rumah.

"Apa yang kita lihat ada majikan tidak memberikan sebarang peralatan dan mereka perlu menggunakan kemudahan sendiri.

"Berhubung isu keselamatan siber, adakah kita mempunyai peranti yang selamat digunakan di rumah dan pekerja pula tidak membocorkan rahsia syarikat. Seharusnya ciri-ciri keselamatan itu perlu ada sebelum mereka bekerja bukan dari pejabat.

"Bekerja dari rumah adalah sesuatu yang tidak dijangka apabila PKP dikuatkuasakan. Boleh saya katakan kita belum bersedia sepenuhnya untuk berdepan situasi ini, " katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Katanya, antara isu lain yang perlu diberi perhatian ialah membabitkan keberkesanan capaian internet bagi memudahkan kakitangan bekerja dengan sempurna dan berkesan.

"Syarikat telekomunikasi khususnya harus menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi menyokong pelaksanaan bekerja dari rumah," katanya.

Pada masa sama, undang-undang berkaitan pekerjaan juga harus diselaraskan mengikut keadaan semasa untuk menjayakan segmen bekerja dari rumah.

"Contohnya, mengikut peruntukkan sedia ada jika

berlaku kemalangan di rumah ketika sedang bekerja ia tidak diklasifikasikan sebagai kemalangan di tempat kerja.

Justeru, beliau berkata, syarikat mahu tidak mahu perlu lebih bersedia melaksanakan operasi kerja dari rumah dalam kalangan kakitangan apabila kerajaan menguatkuasakan PKP bagi menjamin keselamatan dan risiko dijangkiti COVID-19.

"Mungkin ada sesetengah syarikat tidak mampu melaksanakan seratus peratus. Mula-mula mungkin 30 peratus dan pergerakan itu boleh dikembangkan selaras dengan keadaan semasa sehingga PKP berakhir, " katanya.

Berita Harian X