X
Selasa, 26 Mei 2020 | 3:03pm
SUDIRMAN dan isteri, Norumbayani menunjukkan buku rekod derma darah yang dilakukan sebelum ini. (Foto/Ahmad Ismail)
SUDIRMAN dan isteri, Norumbayani menunjukkan buku rekod derma darah yang dilakukan sebelum ini. (Foto/Ahmad Ismail)

Tekad derma darah selagi termampu

SEGAMAT: "Dulu kami tidak tahu pentingnya menderma darah, namun kini amalan itu sudah umpama hobi baru saya dan isteri.

"Alhamdulillah, selepas melihat anak saya yang menghidap penyakit anemia kerap menerima darah untuk menyelamatkan nyawanya, membuatkan kami sedar pentingnya bekalan darah," kata penjawat awam, Sudirman Sulaiman, 39.

Sudirman dan isterinya, Norumbayani Mohd Nor, 35, masing-masing kerap menderma darah yang dianggap sebagai tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

"Saya sudah lebih 10 kali menderma darah dan isteri saya kali keempat. Darah ini boleh disimpan sebagai stok jika ada yang memerlukan, katanya ketika ditemui di Pusat Tabung Darah Hospital Segamat, baru-baru ini.

Sudirman berkata, selepas anak perempuannya, Nurul Balqis Sudirman, 17, disahkan menghidap anemia, iaitu kurang sel darah merah (hemoglobin), dua tahun lalu yang kerap memerlukan, hobi untuk menderma darah semakin memuncak.

"Tanpa penderma darah tentunya anak saya tak mampu untuk sihat sempurna dan akan mengganggu urusan harinya sebagai pelajar, selain boleh mengancam nyawanya," katanya.

Beliau bersyukur apabila anaknya sering mendapat bekalan darah daripada orang yang tidak dikenali.

"Dengan bantuan itu juga dapat membantu anak perempuan saya sihat dan dapat kami berkongsi keceriaan.

Justeru, beliau kini gembira kerana berupaya menderma darah setiap dua atau tiga bulan sekali.

Katanya, tindakannya juga mendorong ramai rakannya untuk melakukan perkara sama.

Sudirman berkata, beliau yang mempunyai darah jenis O dikategorikan sebagai 'universal' dan bangga menyumbang bakti.

MENDERMA darah jadi hobi baru Sudirman bagi membantu golongan memerlukan. (Foto/Ahmad Ismail
MENDERMA darah jadi hobi baru Sudirman bagi membantu golongan memerlukan. (Foto/Ahmad Ismail

"Saya dan isteri akan terus menderma darah selagi mampu. Saya lihat ramai mangsa kemalangan atau bencana yang cedera memerlukan darah untuk menyelamatkan nyawa mereka," katanya.

Beliau berkata, menderma darah bukan prosedur yang sulit, hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk setiap sesi.

Dengan bekalan darah yang sentiasa tidak mencukupi terutama ketika penularan wabak pandemik COVID-19 seharusnya semua orang meningkatkan kesedaran untuk membantu negara menambah bekalannya untuk kegunaan individu memerlukan.

Pengarah Hospital Daerah Segamat, Dr Azhar Mohd Sali, berkata walaupun hanya dengan setitik darah, ia dapat membantu menyelamatkan nyawa tiap insan.

"Penderma akan melalui saringan kesihatan sebelum dibenarkan menderma darah sedikit sebanyak secara tidak langsung mengetahui tahap kesihatan seseorang," katanya.

Berita Harian X