Ahad, 21 Jun 2020 | 3:59pm
KESIHATAN mental dalam kalangan kanak-kanak perlu ditangani dengan sebaiknya. - Foto hiasan
KESIHATAN mental dalam kalangan kanak-kanak perlu ditangani dengan sebaiknya. - Foto hiasan

Usah abai kesihatan mental kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diakui dan ditangani dengan betul kerana mereka juga mampu mengalami masalah yang sama seperti orang dewasa.

Penaung Befrienders Kuala Lumpur, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata meskipun terdapat perbincangan intensif mengenai kesihatan mental sejak beberapa tahun lalu, kebanyakannya memfokus kepada kesejahteraan mental orang dewasa.

"Ini sesuatu yang baik memandangkan betapa tabunya subjek penyakit mental...tetapi inilah masanya untuk kita mengakui kepentingan kesihatan mental bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa.

"Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, sejumlah 424,000 kanak-kanak didapati bergelut dengan isu kesihatan mental.

"Ini sesuatu yang membimbangkan kita semua dan isu ini perlu ditangani dengan betul kerana kanak-kanak adalah masa depan dan harapan kita," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kemampuan untuk menyedari bahawa seorang kanak-kanak memerlukan bantuan adalah penting kerana intervensi awal boleh meningkatkan kesejahteraan mereka, dan dengan penjagaan serta rawatan yang betul, kebanyakan isu kesihatan mental boleh dirawat.

Lee berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan mental anak termasuk menyediakan persekitaran di rumah yang penuh dengan kasih sayang dan penjagaan selain menggalakkan perbualan sihat dengan mendengar secara aktif serta membenarkan mereka bercakap tanpa bersikap menghakimi dan kritikal.

"Mereka akan bersikap lebih terbuka untuk bercakap mengenai masalah mereka, termasuk perasaan yang sukar dan tidak selesa, serta meminta bantuan sekiranya mereka berdepan kesulitan pada masa akan datang.

"Jika anda bimbang dengan kesihatan mental anak anda, mintalah bantuan... bercakap dengan orang yang profesional seperti psikiatri atau kaunselor," katanya sambil menambah Befrienders KL menawarkan sokongan emosi kepada sesiapa yang berasa tertekan atau ingin bunuh diri, dengan menghubungi talian bantuan 24 jam mereka di 03-7627 2929.

Lee berkata, persekitaran sihat di sekolah juga amat penting kerana kanak-kanak menghabiskan banyak masa di sekolah setiap hari dan mereka perlu dilengkapi kemahiran bagaimana menangani tekanan secara berkesan, menyelesaikan masalah dan membina ketahanan diri.

Beliau berkata, dengan menggabungkan kesemua elemen ini dalam silibus sekolah boleh membantu meningkatkan kesihatan mental kanak-kanak manakala tenaga pengajar boleh membantu menjadikan sekolah sebuah tempat yang lebih selamat dengan mengawasi sebarang insiden buli kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak dengan teruk dan boleh membawa kepada insiden bunuh diri.

"Kanak-kanak mengalami banyak perubahan dalam hidup mereka seperti pergi ke sekolah baharu, berjumpa rakan baharu dan semua ini boleh menyebabkan mereka berasa tertekan atau cemas… apatah lagi pada waktu ini apabila mereka perlu diajar mengenai normal baharu di sekolah," katanya.

Beliau berkata, belajar mengenai gejala dan tanda awal tekanan mental adalah sebahagian daripada usaha pencegahan, yang menyaksikan sesetengah tanda amaran yang biasa ialah kesedihan atau kebimbangan yang berterusan, sering marah-marah, bertindak agresif, hilang minat terhadap perkara yang sebelum ini disukai, perubahan dalam prestasi akademik, mengelak atau ponteng sekolah, mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan, perubahan dalam tabiat makan dan tidur, mencederakan diri sendiri atau bercakap mengenai kematian atau bunuh diri. - BERNAMA

Berita Harian X