Sabtu, 11 Julai 2020 | 10:29am
 Seiring dengan tema Hari Penduduk Sedunia 2020, ‘Hentikan Penularan COVID-19: Lindungi Hak dan Kesihatan Wanita dan Gadis’, KPWK akan adakan pelbagai program bagi meningkatkan kesejahteraan wanita dan gadis. - Foto fail NSTP
Seiring dengan tema Hari Penduduk Sedunia 2020, ‘Hentikan Penularan COVID-19: Lindungi Hak dan Kesihatan Wanita dan Gadis’, KPWK akan adakan pelbagai program bagi meningkatkan kesejahteraan wanita dan gadis. - Foto fail NSTP

Hari Penduduk Sedunia 2020 fokus kesan COVID-19

KUALA LUMPUR: Pelbagai aktiviti, termasuk kajian pendapat umum secara dalam talian akan dianjurkan sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2020.

Menerusi tema 'Hentikan Penularan COVID-19: Lindungi Hak dan Kesihatan Wanita dan Gadis', Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga akan menjalin kerjasama dengan pihak berkaitan dalam menyusun beberapa program bermanfaat.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjelaskan antara kerjasama yang akan dimeterai bagi menjayakan siri program itu adalah bersama Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Pusat Pengajian Kependudukan, Universiti Malaya (UM).

"Kita juga akan anjurkan seminar melalui webinar pada 27 Julai ini, bertajuk 'Impak Ekonomi, Kesihatan dan Sosial Berikutan COVID-19 di Malaysia' yang akan membincangkan mengenai norma baharu kehidupan.

"Ia termasuk kesannya terhadap sosial, ekonomi dan kesihatan reproduktif, justeru, sebarang maklumat lanjut mengenai sambutan Hari Penduduk Sedunia 2020 boleh diperoleh dengan melayari laman web www.lppkn.gov.my," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bersempena sambutan di seluruh negara itu, KPWKM menerusi LPPKN ingin menarik perhatian dan kesedaran semua pihak terhadap isu serta cabaran kependudukan di Malaysia.

Katanya, hal itu kerana pandemik COVID-19 bukan sekadar menyebabkan krisis kepada kesihatan awam, malah terhadap ekonomi dan pasaran buruh secara keseluruhannya.

"Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, lebih 70 peratus petugas sektor kesihatan dan sosial adalah golongan wanita, justeru adalah amat wajar penghargaan diberikan selepas mereka bertungkus lumus menjadi barisan hadapan.

"Demi memastikan keselamatan kesihatan wanita dan gadis dilindungi, KPWKM mewujudkan Talian Khas Kaunseling COVID-19 bagi memberi sokongan psikologi kepada wanita dan orang ramai yang terkesan akibat penularan wabak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Perkhidmatan tele-kaunseling 24 jam setiap hari adalah antara inisiatif kerajaan untuk memastikan kesihatan mental rakyat Malaysia sentiasa berada di tahap yang stabil," katanya.

Berita Harian X