Selasa, 25 Julai 2017 | 12:03am

10kg serat nanas jadi kain 1m

PONTIAN: Pembuatan benang serat yang dihasilkan daripada proses daun nanas semakin popular dan terus mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.

Ini kerana benang itu adalah bahan asas dalam industri kraftangan, terutama bagi penghasilan kain tenun, songkok, alas meja dan pelbagai cenderamata.

Menyedari hakikat itu, suri rumah, Saodah Sukarno, 51, berkata beliau mula mengusahakan pengeluaran benang serat nanas di Kampung Puteri Menangis, Benut, dekat sini, pada akhir 2014 selepas mendapat bantuan mesin menyuraikan daun nanas daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Beliau dibantu dua lagi rakannya, yang juga suri rumah menghasilkan benang serat nanas yang kemudian dijual kepada universiti tempatan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain dijadikan pelbagai barangan cenderamata.

BENANG serat nanas dijual kepada universiti tempatan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain dijadikan pelbagai barangan cenderamata. - Foto Mohd Azren Jamaludin
BENANG serat nanas dijual kepada universiti tempatan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain dijadikan pelbagai barangan cenderamata. - Foto Mohd Azren Jamaludin

SAODAH dibantu dua lagi rakannya menghasilkan benang serat nanas. - Foto Mohd Azren Jamaludin
SAODAH dibantu dua lagi rakannya menghasilkan benang serat nanas. - Foto Mohd Azren Jamaludin

"Saya dibantu suami mengumpulkan daun nanas untuk diproses menjadi serat apabila tanaman itu sudah dituai. Dalam sehari, kebiasaannya kami boleh mengumpulkan sehingga 100 kilogram (kg) daun nanas menggunakan jentera gerabak untuk dijadikan serat sebelum diproses menjadi benang.

"Dalam proses ini, kita perlu memilih daun yang panjang dan seelok-eloknya saya memilih bahagian tengah daun bagi mendapatkan hasil benang lebih baik termasuk dari segi penghasilan warnanya," katanya ketika ditemui BH Plus di Benut, dekat sini.

Saodah berkata, selepas daun nanas dipilih, ia akan menjalani proses mengeruk daun bagi mendapatkan serat sebelum dijemur.

Katanya, serat nanas perlu dijemur segera bagi menjaga kualiti serta warnanya, yang mana proses jemur mengambil masa antara dua hingga tiga hari.

Selepas proses menjemur selesai, Saodah dibantu dua rakannya, Kamsiah Ngadiran, 44, dan Siti Halijah Dawani, 51, yang menjalankan kerja melerai, memintal dan mencantumkan serat untuk dijadikan benang.

Kamsiah berkata, ia adalah proses yang rumit dan kebiasaannya mereka hanya mampu menjalankan tugasan itu selama dua jam, sebelum menyambungnya semula.

SAODAH menjemur daun nanas selepas menjalani proses mengeruk daun. - Foto Mohd Azren Jamaludin
SAODAH menjemur daun nanas selepas menjalani proses mengeruk daun. - Foto Mohd Azren Jamaludin

"Daripada 10 kg daun yang diproses itu, hanya 100 gram benang yang dihasilkan yang bersamaan dengan satu meter kain. Walaupun hasilnya agak lumayan, proses penghasilannya agak rumit dan mengambil masa yang lama. Bagi serat, kami menjualnya pada harga RM200 sekilogram manakala benang RM300 sekilogram," katanya.

Daripada 10 kg daun yang diproses, ia hanya boleh menghasilkan 100 gram benang iaitu boleh dijadikan satu meter kain.

Walaupun kerja memproses benang nanas agak rumit dan mengambil masa yang lama, hasilnya tidak menghampakan apabila dijual dengan harga mencecah RM300 sekilogram benang.

SAODAH Sukarno mengusahakan pengeluaran benang serat nanas di Kampung Puteri Menangis, Benut, Pontian. - Foto Mohd Azren Jamaludin
SAODAH Sukarno mengusahakan pengeluaran benang serat nanas di Kampung Puteri Menangis, Benut, Pontian. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Berdasarkan Bahagian Pembangunan Produk dan Bioteknologi LPNM (Produk Hiliran Dari Sisa Nanas), bagi tanaman nanas berkeluasan satu hektar boleh menghasilkan 49 tan sisa dan daripada jumlah itu, 20 tan serat (dalam bentuk daun) boleh dikumpulkan dan seterusnya diproses sehingga mampu menghasilkan 200 kilogram benang.

Selama ini, bagi pokok nanas yang sudah dituai, daunnya akan diracun yang kemudian bertukar kering sebelum dibakar, namun, langkah LPNM memperkenalkan inisiatif baharu penggunaan benang nanas berjaya menghalang proses pembakaran daun nanas kering, sekali gus berkesan mencegah pencemaran udara.

Namun, untuk menghasilkan serat benang nanas, ia perlu melalui satu proses yang rumit dan penghasilannya memerlukan ketekunan serta kesabaran yang tinggi, sekali gus mengehadkan produktiviti benang berkenaan berikutan pelbagai faktor termasuk belum ada mesin khusus yang direka untuk menyambung atau mencantumkan serat berkenaan selepas daun dileraikan.

MESIN menyuraikan daun nanas. - Foto Mohd Azren Jamaludin
MESIN menyuraikan daun nanas. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Sementara itu, Pembantu Penyelia Muzium Nanas, Azlan Mislan, berkata mengikut sejarah pembuatan benang nanas itu berasal dari Kepulauan Misayan di Filipina, namun ia juga bukan perkara baharu bagi Malaysia dan Indonesia yang sudah menggunakan benang nanas untuk menjahit baju secara tradisional sebelum adanya kapas tetapi tidak dikomersilkan.

Katanya, Filipina menghasilkan pakaian kebangsaan daripada benang nanas yang dinamakan Barong, manakala penduduk di Kepulauan Sulawesi menghasilkan kain sarung yang diperbuat daripada benang nanas.

"Di Malaysia, kita mempunyai keluasan tanaman nanas yang besar yang memberikan kita lebih kelebihan untuk menggunakan daun nanas untuk menghasilkan benang. Setakat ini, kita sudah mengeksport benang nanas ke Filipina, namun kapasiti belum mencukupi bagi memenuhi keperluan pasaran dari negara lain.

"Muzium Nanas pernah bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), namun disebabkan kekangan teknologi ia belum dapat direalisasikan bagi menghasilkan lebih banyak produk berasaskan benang nanas," katanya sambil menambah daun daripada variati nanas Josephine adalah yang terbaik bagi penghasilan benang.

INFO
Perangkaan Industri Nanas Negara:

- Keluasan kawasan bertanam nanas Malaysia pada 2015 menunjukkan aliran peningkatan iaitu sebanyak 42% atau 14,700.33 hektar berbanding 2014 iaitu hanya mencatatkan keluasan bertanam nanas sebanyak 10,318 hektar.

Jumlah penghasilan produk dari sisa tanaman nanas mengikut Bahagian Pembangunan Produk dan Bioteknologi LPNM:

  • - 1 hektar ladang dapat membekalkan 20 tan serat benang.
  • - 20 tan serat daun dapat menghasilkan 200 kilogram benang serat nanas.
  • - Harga jualan benang serat nanas adalah RM1,000 sekilogram benang.
Berita Harian X