Selasa, 14 November 2017 | 8:02am
KETUA Jabatan bahagian Jualan dan Pemasaran Hotel Perdana, Nik Adura Zuliana Nik Rashid, berbincang dengan dua pekerja Hotel Perdana, Saripah Roslina Syed Hashim, 29, (kanan) dan Siti Maisarah Mohd Yusoff, 25.. - Foto Fathil Asri.

Larangan pakai tudung jadi polimik di hotel

KUALA LUMPUR: Hotel tidak pernah mengeluarkan larangan kepada pekerja wanita di bahagian khidmat pelanggan memakai tudung, sebaliknya perkara itu bergantung kepada budi bicara dan kebijaksanaan pihak pengurusan menangani isu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng, berkata walaupun rangkaian hotel antarabangsa mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pakaian seragam yang perlu dipatuhi pekerja, ia bukan bertujuan mendiskriminasi kakitangan bertudung.

"SOP seragam biasanya adalah sebahagian daripada kontrak pelantikan tetapi pengecualian boleh dibuat berdasarkan kebijaksanaan majikan atau pengurusan hotel terbabit.

"Rangkaian hotel antarabangsa boleh melaksanakan SOP mereka sendiri, tetapi setiap hotel juga memiliki SOP dalaman dan peraturan sendiri apabila ia membabitkan pemakaian baju seragam," katanya kepada BH Online.

Presiden MAH, Cheah Swee Hee, sebelum ini dilaporkan mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan kerana ia sebahagian daripada polisi antarabangsa.

Ia berikutan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan aduan kakitangan hotel kepada pusat mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung.

Ditanya jika MAH bercadang mengadakan perbincangan dengan pihak hotel bagi menangani permasalahan itu, Lip Seng berkata, MAH tidak melihat perkara itu sebagai masalah yang menjadi kebimbangan dalam industri hotel.

Katanya, persatuan itu juga tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran dan pengurusan hotel secara individu termasuk apabila ia membabitkan dasar pematuhan seragam yang ditetapkan pengurusan hotel masing-masing.

Sementara itu, kerajaan Kelantan sedia membantu hotel dan pihak berkuasa tempatan di ibu negara menyelesaikan isu larangan mengenakan tudung terhadap wanita bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab Fattah Mahmood, berkata pihaknya tiada masalah berkongsi pengalaman negeri itu yang sudah 25 tahun menetapkan peraturan menutup aurat dan dipatuhi semua premis perniagaan termasuk hotel.

Katanya, sejak pihak berkuasa tempatan (PBT) memperkenalkan peraturan itu sebagai syarat utama mendapatkan lesen perniagaan, semua pihak termasuk hotel memberikan kerjasama baik dan mematuhinya.

"Tiada sebarang pertikaian atau persoalan dibangkitkan, sebaliknya mereka dapat menerimanya sebagai syarat untuk meneruskan perniagaan di Kelantan.

"Pelaksanaan ini hanya untuk pekerja Islam yang dikehendaki berpakaian menutup aurat, manakala pekerja bukan Islam memadai dengan berpakaian sopan.

"Kami amat alu-alukan jika ada perbincangan membabitkan hotel dan PBT terbabit supaya ada kelonggaran kepada pekerja wanita yang menghadapi permasalahan ini," katanya.

Sejak ditadbir PAS, Kelantan pada 1992 mengenakan syarat setiap pemegang lesen perniagaan dan pekerja Islam di negeri itu perlu berpakaian menutup aurat sebagai peraturan mendapatkan kelulusan permit serta lesen perniagaan.

Ab Fattah berkata, perlu ada perbincangan antara pihak PBT, hotel dan persatuan bagi menyelesaikan masalah itu supaya semua pihak saling memahami terhadap setiap syarat serta peraturan dilaksanakan.

Katanya, ada rangkaian hotel antarabangsa bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur berminat menjadikan Kelantan sebagai rujukan untuk mereka melaksanakan hotel berkonsepkan patuh syariah.

"Mereka berhasrat membuka cawangan di Kelantan supaya dapat dijadikan model bagi rangkaian hotel terbabit di Kuala Lumpur.

"Maklum balas yang kami terima mendapati semakin banyak hotel melihat ada keperluan berbuat demikian bagi memenuhi permintaan semasa, selain bertujuan menarik lebih ramai pelancong dari Asia Barat," katanya.

1839 dibaca
Berita Harian X