Khamis, 23 November 2017 | 10:23pm

Jangan percaya batu geliga, cecair pulihkan rabun


PERUNDING Optometri & Pakar Kanta Lekap, Pusat Pengajian Sains Jagaan Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Haliza Abd Mutalib. - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Cecair atau ubat titis mata yang dimasukkan ke dalam mata berisiko tinggi menyebabkan jangkitan dan masalah mata yang tidak boleh disembuhkan.

Perunding Optometri & Pakar Kanta Lekap, Pusat Pengajian Sains Jagaan Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Haliza Abd Mutalib, berkata ini kerana cecair yang tinggi kandungan alkali tanpa disedari boleh menipiskan kornea mata.

Katanya, apabila kornea menjadi nipis, tekanan di dalam mata juga boleh meningkat dan menyebabkan seseorang menjadi buta secara perlahan atau glaukoma.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan rawatan mengatasi masalah rabun yang dijalankan pengamal perubatan tidak diiktiraf bagi mengelakkan kesan sampingan tidak diingini.


RAWATAN mata yang tular menggunakan batu geliga yang berisiko tinggi.

Antara rawatan yang viral di internet ialah memasukkan batu geliga ke dalam mata, cecair yang dimasukkan ke dalam mata serta gula-gula khas kononnya berupaya mengatasi rabun.

"Kebanyakan penyakit mata berlaku secara senyap menyebabkan penghidap tidak berasa sakit tetapi apabila bangun tidur, penglihatan menjadi gelap," katanya yang ditemui pada Hari Penglihatan Sedunia 2007 anjuran Program Optometri dan Sains Penglihatan, UKM.

Dr Haliza berkata, penipisan kornea juga boleh berlaku akibat menggunakan rawatan menekap batu geliga di atas mata untuk beberapa jam.

Katanya, tekanan batu geliga akan menyebabkan puncak pada kanta mata menjadi leper dan secara tidak langsung menjadikan penglihatan lebih jelas tetapi untuk beberapa jam sahaja.

Prosedur ini sebenarnya turut digunakan pakar mata untuk memperlahankan masalah miopia atau rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak tetapi bukan semua sesuai dengan kaedah itu.


RAWATAN mata menggunakan batu geliga yang ditekan ke dalam mata dipercayai boleh memulihkan masalah rabun secara sementara.

Kanta lekap lapan jam

"Kaedah ini dikenali sebagai Ortokeratologi yang mana kanta lekap khas digunakan ketika pesakit tidur selama lapan jam.

"Sebelum itu, beberapa perkara diambil kira termasuk imej mata pesakit diambil, tekanan mata dan tempoh pemakaian kanta mengikut keperluan pesakit," katanya.

Rabun tidak boleh disembuhkan tetapi boleh diatasi dengan menggunakan cermin mata khas sama ada rabun dekat atau jauh.

Bagi rabun yang berpunca daripada penyakit seperti katarak, pembedahan boleh dilakukan untuk mengeluarkan selaput pada kanta atau menggantikan dengan kanta tiruan.


CECAIR atau ubat titis mata yang dimasukkan ke dalam mata berisiko tinggi

INFO

Rabun terbahagi kepada beberapa jenis:

  • Rabun dekat
  • Rabun jauh
  • Silau atau astigmatisme.
  • Tanda rabun:

  • Mengecilkan mata ketika menonton televisyen.
  • Melihat pada jarak terlalu dekat
  • Ketidakselesaan pada mata, leher dan kepala.
  • Mengalih cermin mata untuk membaca.
  • Mata terasa kering dan letih
  • Mengesan masalah mata:

  • Menjalani pemeriksaan mata.
  • Penyaringan penglihatan bermula seawal umur lima tahun.
  • Tiada peringkat usia terlalu kecil untuk diperiksa termasuk bayi.
  • Punca rabun:

  • Genetik/keturunan
  • Membaca terlalu lama
  • Membaca terlalu dekat
  • Mata rabun kerana alahan teruk
  • Kejulingan akibat rabun yang teruk
  • Kerotokonus
  • Rawatan rabun:

  • Cermin mata khas untuk membaca (jarak dekat)
  • Cermin mata multifokal (jarak dekat dan jauh)
  • Cermin mata dengan lapisan menghalang sinar ultra ungu (UV)
  • Mitos mengenai pemakaian cermin mata:

  • Jangan pakai selalu
  • Pakai hanya ke sekolah
  • Guna 'power' kurang daripada diperlukan
  • Biasakan mata tanpa cermin mata
  • Berita Harian X