Sabtu, 25 November 2017 | 8:58am
Kain Ching jadikan pengalaman selama 36 tahun sebagai guru menyumbang kepada perubahan dan peningkatan dalam pengurusan sekolah. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Kain Ching jadikan pengalaman selama 36 tahun sebagai guru menyumbang kepada perubahan dan peningkatan dalam pengurusan sekolah. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pendidik berjiwa emas

KUALA LUMPUR: Bergelar pendidik bukan tugas mudah, namun keikhlasan Datuk Dr Mary Yap Kain Ching menggalas tanggungjawab dan menabur jasa demi matlamat membangunkan anak bangsa cemerlang, menjadikannya pendidik berjiwa emas.

Sungguhpun bercita-cita menjadi peguam, namun beliau berlapang dada melepaskan impian terbabit atas dasar faktor kewangan keluarga kurang berkemampuan pada ketika itu, dan menganggapnya takdir sudah ditentukan Tuhan.

Percaturan mengubah hidupnya, ternyata memberikan kepuasan apabila Kain Ching, kini memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, sejak 2013 sekali gus menemui minat mendalam dalam bidang pendidikan.

Pengalamannya selama 36 tahun sebagai guru menyumbang kepada banyak perubahan dan peningkatan dalam pengurusan sekolah.

Kain Ching berkata, guru perlu berperanan membina moral yang tinggi bukan saja mengajar, tetapi juga membangunkan pelajar dalam segenap segi demi negara.

"Sebagai guru Bahasa Inggeris pada satu ketika dahulu, saya menggunakan pelbagai pendekatan menjadikan pembelajaran itu bersifat interaktif dan menarik.

"Selain mendidik, saya juga ditugaskan pelbagai lagi tugasan, antaranya penggubal soalan peperiksaan, kakitangan sumber peringkat kebangsaan bagi penyelarasan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), Jemaah Nazir sekolah dan sebagai pengetua," katanya ketika ditemubual BH, baru-baru ini.

GAMBAR fail, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching ketika simbolik majlis Perasmian Rumah Warisan Hajah Kundur di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan. Turut bersama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia, Datuk Moklis Jaafar (tiga dari kiri) dan Pengarah Politeknik Port Dickson, Mohd Kharir Mohd Ibrahim (dua dari kanan). - Foto Iqmal Haqim Rosman
GAMBAR fail, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching ketika simbolik majlis Perasmian Rumah Warisan Hajah Kundur di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan. Turut bersama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia, Datuk Moklis Jaafar (tiga dari kiri) dan Pengarah Politeknik Port Dickson, Mohd Kharir Mohd Ibrahim (dua dari kanan). - Foto Iqmal Haqim Rosman

Pengalamannya sebagai pengetua sekolah ternyata berbeza dan penuh dengan pelbagai onak duri sehinggakan Kain Ching pernah diugut untuk dibunuh, ketika berdepan dengan isu rasuah.

Namun, wanita ini mempunyai sikap integriti dan pendirian yang cukup teguh sungguhpun diugut berkali-kali.

Ketika bertugas sebagai pengetua di sebuah sekolah di Tawau, Sabah pelbagai dakwaan negatif dilemparkan terhadap sekolah terbabit.

Antaranya sekolah sampah dan tercicir serta ramai yang menjangka beliau tidak mampu mengubah apa-apa.

"Saya melihat ia satu peluang dan guru di situ mempunyai potensi. Jadi saya menyelesaikan masalah satu persatu.

"Saya mendapatkan bantuan Jemaah Nazir dan menggunakan suara mereka untuk mengubah nasib sekolah terbabit.

"Usaha kami sepasukan berjaya mengubah status sekolah terbabit daripada sekolah teknik menjadi kolej vokasional. Selain, berjaya mencatatkan rekod kelulusan pelajar 100 peratus di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia juga berjaya memenangi pelbagai anugerah lain dan saya lihat ini satu kejayaan," katanya.

Atas pelbagai sumbangan, Kain Ching menerima Anugerah Pengetua Cemerlang dan beliau tersenarai antara lima wanita yang mendapat pengiktirafan kecemerlangan dalam perkhidmatan.

Selain itu, beliau juga ialah penerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul kerana terus berusaha mempertingkat status kerjaya keguruan pada mata masyarakat.

Ia lebih bermakna buatnya, apabila beliau wanita bukan Islam pertama yang diberikan pengiktirafan Tokoh Maulidur Rasul.

Kain Ching berpendapat amat penting baginya menjadi suri teladan kepada masyarakat dalam mengalas tanggungjawab sebagai seorang pendidik berwibawa.

GAMBAR fail, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching bersama Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Datuk Zuraidah Atan dan bersama Sukarelawan Siswa YSS Asean ke Tawau, Sabah semasa majlis pelepasan di Kementerian Pendidikan Tinggi. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
GAMBAR fail, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching bersama Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Datuk Zuraidah Atan dan bersama Sukarelawan Siswa YSS Asean ke Tawau, Sabah semasa majlis pelepasan di Kementerian Pendidikan Tinggi. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Selepas beliau pencen, sumbangannya tidak terhenti dan sering dipilih untuk terus berkhidmat, antaranya sebagai perunding berkaitan kepemimpinan sekolah dan juga penasihat Majlis Wanita Sabah yang berperanan untuk menjaga pendidikan luar bandar.

Kain Ching juga tidak ketinggalan melunaskan impiannya menyambung pengajian doktor falsafah (PhD) berdasarkan kepercayaannya terhadap pembelajaran sepanjang hayat.

Dalam tempoh yang sama, beliau diarahkan bertanding di Parlimen Tawau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), pada 2013.

Katanya, ia satu anjakan besar di dalam hidupnya kerana tidak pernah terfikir untuk menyertai bidang politik, apatah lagi dengan latar belakangnya sebagai guru.

"Saya berdoa dan meminta petunjuk dari Tuhan sekali gus melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sepenuh hati.

"Ternyata ia bukan mudah. Saya berdepan pelbagai cabaran namun, tidak pernah mengalah. Sebagai wanita tidak dinafikan kita perlu bekerja keras untuk menggapai cita-cita tinggi namun, tiada yang mustahil.

"Apa yang penting adalah jati diri dan sifat integriti. Pengorbanan terhadap keluarga perlu dilakukan dalam memikul tanggungjawab ini, tetapi saya sentiasa memastikan ada keseimbangan berkeluarga dan kerjaya," katanya.

Profil
Nama: Datuk Dr Mary Yap Kain Ching
Umur: 66 tahun
Asal: Kota Kinabalu, Sabah
Kelayakan: Doktor Falsafah (Pendidikan) Asia e-University, KL (2016) Ijazah Sarjana (TESOL), University of Leeds, UK (1993).

  • Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) English Literature, Universiti Malaya (1975)
  • Diploma Pendidikan, Universiti Malaya, (Opsyen: Bahasa Inggeris) (1976) Sijil dalam Training of Trainers, University of Manchester, UK (1996).

Anugerah: Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dari Kementerian Pelajaran pada 199; Anugerah Ahli Darjah Kinabalu (ADK) dari Kerajaan Negeri Sabah pada 1991; Anugerah Wanita Cemerlang sempena Hari Wanita

  • Selaku Tokoh Guru Peringkat Gabungan Tawau dari Pejabat Pelajaran Tawau sempena Hari Guru; Anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X