Sabtu, 16 Disember 2017 | 9:00am
DOKTOR dan model, Dr Jezamine Lim Iskander. - Foto Zunnur Al Shafiq
DOKTOR dan model, Dr Jezamine Lim Iskander. - Foto Zunnur Al Shafiq

Dr Jezamine cipta kejayaan tersendiri

KUALA LUMPUR: Misi doktor dan model, Dr Jezamine Lim Iskander, 33, ingin cemerlang dalam akademik bukan sekadar omongan kosong, sebaliknya berjaya digapai apabila menjadi wanita pertama memperoleh doktor falsafah (PhD) dalam kejuruteraan tisu dan sel stem.

Lebih istimewa lagi, pencapaian diperoleh itu adalah kali pertama menerusi penubuhan Pusat Kejuruteraan Tisu (TEC) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diasaskan oleh Prof Datuk Dr Ruszymah Idrus, pada Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke 45, baru-baru ini.

Justeru, isteri kepada pelakon dan pelawak terkenal, Harith Iskander, tidak mahu terus hanyut diulit populariti suaminya, tetapi ingin mencipta kewibawaan tersendiri dengan pencapaian dalam bidangnya.

Dr Jezamine menganggap populariti hanya bersifat sementara, wanita perlu bijak dan hebat dalam akademik membantu seseorang mengubah kehidupan diri sendiri serta orang sekeliling ke arah lebih baik.

"Bukan mudah mencapai ke tahap ini. Pelbagai pengalaman pahit dan manis ditempuhi semata-mata untuk mencapai cita-cita dan kepuasan dalam bidang perubatan ini.

Katanya, tanpa sokongan dan kerjasama suami, keluarga dan anak-anaknya iaitu Zander Xayne Iskander, 5; Alessandrea Jayne Iskander, 4; dan Zydane Xayne Iskander, 2, mungkin 'perjalanan' memperoleh cita-citanya ini tergendala.

Sepanjang enam tahun untuk melengkapkan PhD ini, beliau mengorbankan masa senggang, tidur dan tiada percutian bersama keluarga kerana mahu memberi komitmen serta fokus kepada pembelajaran.

DR Jezamine bersama Harith pada Konvokesyen UKM ke-45, baru-baru ini.. - Foto FB Harith Iskander
DR Jezamine bersama Harith pada Konvokesyen UKM ke-45, baru-baru ini.. - Foto FB Harith Iskander

"Saya melakukan kajian sel stem daripada badan manusia yang boleh dikembangkan untuk menjadi sel lain bagi membantu dikomersialkan di dalam bidang perubatan dan sebagainya,

"Kajian ini memerlukan banyak masa dan perlu komited untuk menyelesaikan PhD. Saya memang suka membuat kajian dan saya akan gunakan kepakaran ini demi kepentingan sejagat," katanya ditemui, baru-baru ini.

Dr Jezamine berkata, detik paling mencabar adalah ketika tempoh berpantang yang memerlukan beliau meneruskan kajian dan merehatkan diri selepas melahirkan anak.

"Sepanjang enam tahun pengajian PhD, saya melahirkan tiga cahaya mata dan semuanya sangat mencabar. Pernah seminggu selepas bersalin, saya datang ke makmal dengan berbengkung untuk menyiapkan kerja penyelidikan, menulis dan sebagainya.

"Saya jenis yang tidak duduk diam. Lebih-lebih lagi kajian dilakukan ini tidak boleh berhenti, jika tidak saya yang rugi.

"Tiada siapa boleh menggantikannya kerana hanya diri sendiri yang tahu apa yang sedang dilakukan," katanya.

Beliau berkata, kerja penyelidikan dilakukan sendiri dan bukan secara dalam kumpulan, lantas memerlukannya menyiapkannya.

Katanya, demi menjayakan kajian beliau juga perlu mendapatkan sel dengan keizinan pesakit. Kajian ini tidak semudah disangka.

"Dilakukan berkali-kali kerana sel adalah benda hidup dan sangat sensitif. Ada ketika ia mati atau tercemar dan perlu mendapatkan sel lagi. Jadi saya belajar bermula daripada bawah," katanya.

DR Jezamine Lim Iskander menjadi wanita pertama memperoleh doktor falsafah (PhD) dalam kejuruteraan tisu dan sel stem. - Foto Zunnur Al Shafiq
DR Jezamine Lim Iskander menjadi wanita pertama memperoleh doktor falsafah (PhD) dalam kejuruteraan tisu dan sel stem. - Foto Zunnur Al Shafiq

Beliau juga menguruskan kerjaya suami dan anak supaya keperluan serta kebajikan mereka tidak terabai, meskipun ada pembantu di rumah.

Katanya, pembantu hanya menolong jika beliau mempunyai kerja luar dengan menyediakan jadual untuk memastikan rutin anaknya tersusun.

"Saya adalah individu yang akan menyediakan jadual perancangan untuk suami dan anak-anak termasuk jadual pemakanan.

"Jadi untuk anak, pembantu hanya perlu lakukan mengikut jadual dan anak-anak juga sudah terbiasa dengan rutin ini.

"Jadi saya tidak kelam-kabut dan jika terlupa saya akan rujuk kepada jadual itu. Saya juga akan pastikan dapat memasak untuk keluarga," katanya.

Beliau berkata, jadual waktunya begitu padat hingga ada ketika hanya tidur tiga jam sehari.

"Terasa penat dan sibuk, tetapi saya gembira kerana berjaya melaluinya dan pada masa sama turut menyusukan anak-anak secara eksklusif sekurang-kurangnya setahun.

"Waktu anak kecil bangun untuk menyusu, saya tidak boleh tidur, ketika itu saya menyiapkan tesis saya.

"Siang saya menguruskan perihal keluarga. Saya bersyukur Harith sangat memahami dan banyak membantu. Dia juga seolah-olah mengambil PhD seperti saya," katanya.

DR Jezamine bersama Harith dan anak-anak mereka. - Foto FB Harith Iskander
DR Jezamine bersama Harith dan anak-anak mereka. - Foto FB Harith Iskander

Dr Jezamine berkata, didikan dan harapan ibunya, Shilah Sangoran, 53, bapanya, Lim Hock Chuan, 60, yang inginkan beliau masuk ke aliran Sains menjadikan dirinya pada hari ini. Tanpa desakan mereka, tidak mungkin beliau boleh berada pada tahap ini.

"Bapa saya tegas dan garang. Dia juga sangat mementingkan mata pelajaran Matematik memandangkan dia menjalankan perniagaan dalam industri import dan eksport, ibu pula juruteknik pergigian.

"Mula-mula memang tiada hati dan perasaan, saya ikutkan juga kerana tidak mahu membantah kata-kata mereka. Tetapi lama-kelamaan belajar Sains ini menjadi sangat menarik dan mudah kerana semuanya berada di sekeliling anda," katanya.

Beliau meneruskan pengajian di sekolah perubatan di India selama empat tahun dan menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) serta dua tahun program di Kolej Perubatan Melaka Manipal.

Katanya, pengajian di India sangat mencabar dengan keadaan persekitarannya yang tidak seperti di negara sendiri.

"Saya perlu bersaing dengan pelajar di India kerana mereka menelaah buku dengan begitu tekun dan menghafal setiap masa. Dalam satu subjek mereka akan membaca lebih daripada empat buku teks.

"Kita perlu bersaing dengan cara menulis dan mengulangkaji pelajaran. Saya juga ingin membuktikan kepada kedua ibu bapa mampu merealisasikan impian mereka," katanya.

DR Jezamine dan Harith. - Foto FB Harith Iskander
DR Jezamine dan Harith. - Foto FB Harith Iskander

Profil:

Nama: Dr Jezamine Lim Iskander

Umur: 33 tahun

Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Harith Iskander Productions serta Yakin Medic, Neulife Stem Cell

Asal: Klang, Selangor

Pendidikan: MBBS Manipal

Pencapaian:

  • PhD dalam kejuruteraan tisu dan sel stem, Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Berketurunan Cina dan India.
  • Mempunyai seorang adik lelaki, Anton Lim, 30.
  • Bersekolah di Methodist Girls' School, Klang, Selangor.
  • Pernah menyertai pasukan taekwondo remaja Kebangsaan pada usia 8 hingga 14 tahun.
  • Bergelar model ketika usia 16 tahun.
Berita Harian X