Ahad, 24 Disember 2017 | 1:52pm
PENGERUSI Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (GERAKWANIS), Bibi Sunita Sakandar Khan (kiri) bertukar dokumen dengan Pengurus Operasi Juara Travel & Tours Sdn Bhd, Mohammad Ahyat Md Roslan (kanan) sambil disaksikan oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Zurainah Musa (tengah) di Majlis Tadarus Al-Quran Gerakwanis dan menaja umrah untuk hasnaf di Surau Jumaat Muhajirin, Desa Rejang. - Foto Salhani Ibrahim

Gerakwanis lestarikan bacaan al-Quran

KUALA LUMPUR: Seramai 700 peserta Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis) mengambil bahagian dalam majlis tadarus al- Quran 4.0 dalam usaha melestarikan bacaan kitab suci sebagai amalan seharian.

Pengerusi Gerakwanis, Bibi Sunita Sakandar Khan, berkata majlis terbabit diadakan setiap tahun supaya al-Quran menjadi satu pegangan untuk umat Islam dan sekali gus mampu mengukuhkan ukhuwah antara saudara.

Katanya, majlis kali keempat ini mendapat kerjasama Surau Muhajirin Desa Rejang, dekat sini bagi mengetuai bacaan tadarus.

"Sepanjang tahun kita memberi galakkan ahli untuk mengikuti program seperti ini demi kebaikan bersama.

"Program ini, selaras dengan matlamat kami untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat asnaf melalui pengajian al-Quran.

"Ramai asnaf dalam kalangan ahli Gerakwanis yang menyertai pengajian al-Quran dan diberi sijil oleh Universiti Malaya (UM).

"Ini sekali gus melayakkan mereka menjadi guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan menerima elaun bulanan serta mampu keluar daripada kelompok kemiskinan," katanya, di sini hari ini.

Bibi Sunati berkata, pihaknya juga mengadakan program 'Jom Buat Amal Umrah4asnaf'.

Katanya kerjasama Gerakwanis bersama syarikat pengendalian Umrah, Juara Travel & Tours Sdn Bhd menerusi perjanjian persefahaman (MoA) bertujuan membantu golongan asnaf menunaikan umrah secara percuma.

"Menggunakan platform Gerakwanis, golongan asnaf ini akan dikenal pasti untuk diberi peluang menunaikan umrah.

"Kita menggalakkan orang ramai termasuk badan korporat, swasta, kerajaan mahupun individu untuk menaja asnaf," katanya yang turut menyasarkan untuk menaja 40 asnaf menunaikan umrah, pada tahun depan.

Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Zurainah Musa.

Sementara itu, pada majlis yang sama dua orang asnaf ditaja untuk menunaikan secara percuma.

Suri rumah, Halimah Halim, 45, berkata beliau tidak menyangka dipilih menjadi asnaf yang pertama pada program terbabit untuk menunaikan umrah, pada tahun depan.

Ibu kepada dua anak orang kurang upaya (OKU) berusia 18 dan 21 tahun berpendapatan sumbangan dan khidmatnya secara aktif di dalam Gerakwanis mungkin menjadi faktor beliau terpilih ke tanah suci.

"Saya cukup bersyukur dan tidak mampu untuk menggambarkan perasaan ini kerana berpeluang menunaikan umrah secara percuma.

"Saya tidak sangka sumbangan saya sebagai sukarelawan kepada Gerakwanis dibalas seperti ini," katanya.

Ibu tunggal, Rumaizah Hassim, 45, berkata beliau selalu mengimpikan untuk ke tanah suci sejak 2001.

Ibu lima anak yang semua di bawah tanggungnya, berkata beliau tidak sangka cadangannya bayaran ansuran dalam kalangan ahli Gerakwanis untuk menunaikan Umrah diterjemahkan dalam ganjaran seperti ini.

"Ramai dalam kalangan ahli mahu menunaikan umrah, namun tidak berkemampuan.

"Akhirnya program Umrah4asnaf diwujudkan dan saya sangat bersyukur kerana lebih ramai golongan asnaf akan dibantu ke tanah suci," katanya.

250 dibaca
Berita Harian X