Jumaat, 23 March 2018 | 8:50am
WANITA perlu membuat rawatan dialisis awal sebelum penyakit melarat. - Foto Nik Hariff Hassan
WANITA perlu membuat rawatan dialisis awal sebelum penyakit melarat. - Foto Nik Hariff Hassan

Takut suami, wanita tunda buat dialisis

KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran wanita mengenai kepentingan rawatan dialisis masih rendah berbanding lelaki sehingga menyebabkan mereka berdepan dengan masalah penyakit lebih kronik.

Pakar Nefrologi Hospital Selayang, Dr Rosnawati Yahya, berkata sikap rendah diri dan takut membuat keputusan sendiri antara punca mengapa golongan terbabit tidak menjalani dialisis.

Katanya, ada antaranya terpaksa menunggu persetujuan suami untuk menjalani rawatan berkenaan membuatkan mereka mungkin menghadapi kegagalan buah pinggang kronik (CKD).

"Kenyataan itu amat menyedihkan dan tidak seharusnya berlaku pada zaman serba moden ini. Faktor lain adalah dari segi sosioekonomi.

"Mereka tidak boleh membuat keputusan sendiri menyebabkan rawatan tertunda sehingga penyakit melarat dan terlambat untuk dirawat," katanya pada program Oh My Ginjal: Sepetang Bersama Pakar, di sini.

Yang turut hadir, pakar dietetik KPJ Sentosa KL Specialist Hospital, Theresa Yap Yi Min dan pakar nefrologi Hospital Selayang, Dr Suryati Yakob.

Dianggarkan 195 juta penghidap CKD di seluruh dunia adalah wanita. Di Malaysia, sembilan peratus masyarakat dewasa menghidap penyakit ginjal pada tahap satu sehingga lima.

Pada 2015, seramai 1,200 pesakit daripada satu juta penduduk di negara ini mengalami penyakit ginjal dan dianggarkan 40,000 pesakit sedang menjalani dialisis.

Dr Rosnawati berkata, kebanyakan pesakit wanita yang ditemui meluahkan keinginan menjalani dialisis, tetapi takut berbuat demikian tanpa kebenaran suami.

DARI kanan; Rosnawati, Yap Yi Min dan Suryati pada program Oh My Ginjal: Sepetang Bersama Pakar, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Aziah Azmee
DARI kanan; Rosnawati, Yap Yi Min dan Suryati pada program Oh My Ginjal: Sepetang Bersama Pakar, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Aziah Azmee

Katanya, tidak ramai wanita yang menjalani rawatan itu disebabkan kadar kemerosotan fungsi buah pinggang lebih perlahan, selain gagal mengikuti amalan hidup sihat seperti disarankan.

Wanita yang menghidap CKD juga terpaksa berdepan risiko tinggi sekiranya hamil kerana tidak dibenarkan merancang keluarga oleh suami.

Katanya, CKD boleh menjejaskan kesihatan ibu yang sedang hamil dengan risiko komplikasi seperti tekanan darah tinggi dan kehilangan protein yang banyak di dalam air kencing yang boleh menyebabkan kematian.

Anak dalam kandungan turut berdepan komplikasi seperti pembesaran janin terbantut dan kelahiran pramatang.

"Selain itu, berdasarkan data di Hospital Selayang yang juga antara pusat pemindahan buah pinggang, mendapati jumlah penerima buah pinggang lelaki lebih ramai berbanding wanita," katanya.

Berita Harian X