Khamis, 19 April 2018 | 8:56am
Foto hiasan
SIDANG Meja Bulat Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertemakan "Isu Wanita di Peringkat Antarabangsa" di Bilik Majlis, Bangunan Canselori, UKM Bangi. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Pangkalan data kesan kesihatan mental wanita

BANGI: Kerajaan disaran mewujudkan pangkalan data berkaitan wanita yang mengalami masalah kesihatan mental membabitkan suri rumah, wanita berkerjaya dan remaja di negara ini.

Ia bagi mengenal pasti secara terperinci kes membabitkan masalah mental yang biasanya berpunca daripada konflik kerjaya dan keluarga.

Ketua Jabatan Sains dan Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Nobaya Ahmad, berkata cadangan itu perlu diperhalusi dan dibincangkan secara serius pada semua peringkat termasuk majikan, keluarga dan rakan terdekat.

Ini berikutan kes membabitkan kesihatan mental kurang diberi perhatian berbanding isu kesihatan fizikal lain seperti sakit jantung, diabetes, pendidikan dan hak wanita.

"Kita kerap membicarakan soal masalah kewangan ditanggung wanita dan pembabitan mereka dalam tenaga kerja, tetapi jarang melihat masalah ini sebagai isu penting untuk ditangani bersama.

"Konflik kerjaya dan keluarga ini juga perlu ditangani termasuk pegawai perubatan apabila mereka mengunjungi hospital ketika menerima rawatan.

"Masalah mental dihadapi ini boleh menjurus kepada isu lain seperti peningkatan kes penderaan, kemurungan dan penyakit kronik seperti sakit jantung apabila tiada sistem sokongan kekeluargaan mahupun masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Meja Bulat Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertemakan 'Isu Wanita Di Peringkat Antarabangsa' di Bangunan Canselori, UKM, di sini, baru-baru ini.

Nobaya, berkata kes seperti meroyan selepas bersalin dan wanita bersikap ganas sehingga sanggup mendera sebenarnya adalah bibit permulaan kepada masalah mental ini.

Justeru, isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia turut dialami golongan wanita muda.

"Wanita sememangnya golongan yang boleh mengawal tekanan sama ada di rumah atau dalam kerjaya tetapi tekanan yang terlalu banyak diterima berisiko meletus dan merosakkan kesihatan mental secara perlahan-lahan.

"Ia berpunca daripada sifat semula jadi wanita yang mengambil segala tanggungjawab secara serius tetapi biasanya kurang arif menyalurkan tekanan itu seperti dilakukan lelaki," katanya.

Oleh itu, kesihatan mental terjejas disebabkan peranan dan tanggungjawab dipikul wanita harus segera ditangani supaya hasrat negara memperkasakan wanita dalam segala bidang dapat dicapai.

Berita Harian X