Selasa, 10 Julai 2018 | 11:30am
Tan Heang Lee (kiri) dan Charlene Murray berusaha memperjuangkan hak-hak wanita di Malaysia. - Foto Amirudin Sahib
Tan Heang Lee (kiri) dan Charlene Murray berusaha memperjuangkan hak-hak wanita di Malaysia. - Foto Amirudin Sahib
Tan Heang Lee (kiri) dan Charlene Murray berusaha memperjuangkan hak-hak wanita di Malaysia. - Foto Amirudin Sahib
Tan Heang Lee (kiri) dan Charlene Murray berusaha memperjuangkan hak-hak wanita di Malaysia. - Foto Amirudin Sahib

Aplikasi TINA bantu mangsa keganasan rumah tangga

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) sudah memberi bantuan kepada 751 mangsa keganasan rumah tangga termasuk menempatkan mereka di rumah perlindungan sementara, sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Mangsa menggunakan applikasi WhatsApps, Think I Need Aid (TINA) di talian 018 988 8058 untuk membuat aduan bagi berkongsi masalah dihadapi mereka yang diperkenalkan sejak 2014.

Pengurus Kes WAO, Charlene Murray, berkata pihaknya sentiasa prihatin dengan aduan itu dan jika mengikut rekod tahun lalu, seramai 1,698 wanita sudah mendapatkan pertolongan, berbanding hanya 699 kes, pada 2016.

Katanya, berdasarkan statistik terdapat peningkatan berganda pengguna aplikasi itu dari masa ke masa seperti direkodkan dalam Laporan Tahunan WAO 2017 yang diterbitkan baru-baru ini.

"Apabila mangsa keganasan rumah tangga menghantar pesanan menerusi WhatsApp ini, menjadikan mereka lebih selesa dan kurang takut berbanding cara menelefon, sekali gus mengurangkan halangan bagi mangsa untuk mendapatkan sokongan.

"Trend ini konsisten dengan data yang menunjukkan rakyat di negara ini adalah salah satu pengguna tegar WhatsApp di dunia. Jadi kita memanfaatkan kaedah ini untuk berkomunikasi dengan mangsa, sekali gus menjadi lebih strategik dalam menghulurkan bantuan," katanya.

TINA adalah platform terpantas membolehkan mangsa mendapatkan maklumat mengenai hak dan pilihan, selain medium untuk mengakses perkhidmatan WAO seperti rumah perlindungan dan kerja sosial.

Khidmat pesanan ringkas beroperasi 24 jam sekali gus membolehkan ia dihubungi ketika kecemasan dan membantu wanita serta kanak-kanak dalam kesusahan.

Berdasarkan laporan, sejak Januari hingga bulan lalu, WAO menerima 956 panggilan manakala sebanyak 1,640 dan 2,078 panggilan masing-masing diterima pada 2016 dan 2017.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan menjadi perantara terpantas berikutan boleh dihubungi setiap masa. Selain itu, promosi menggalakkan orang ramai terutama mangsa untuk menghubungi WAO.

"Penceritaan mengenai keganasan rumah tangga banyak diilhamkan dalam karya lukisan seperti dilakukan oleh pelukis, Chan Wen Li yang menjadi mangsa kekerasan, penderaan dan gangguan emosi melalui ilustrasi," katanya.

WAO dengan kerjasama beberapa badan sukarela lain pernah mempamerkan lukisan mural untuk dilihat pengguna di Sistem Ttransit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni dan kemudiannya mengetengahkan cerita mengenai gadis bernama TINA dalam puisi WAO, Perjalanan TINA.

"Idea puisi ini untuk memberi gambaran TINA seolah-olah sebagai individu yang boleh dihubungi untuk mendapatkan bantuan dan keluar daripada kemelut keganasan yang membelenggu hidup mereka," katanya.

Katanya, selain TINA mangsa keganasan rumah tangga juga boleh menghubungi talian bantuan WAO.

Beliau berkata, penggunaan perkhidmatan Talian Bantuan dan TINA berada pada tahap yang tinggi.

"Ini sekali gus menunjukkan lebih ramai wanita menyedari hak mereka dan memilih untuk tampil bersuara.

"WAO menggunakan pendekatan dengan turun padang untuk meningkatkan kesedaran mengenai keganasan rumah tangga. Kita mengadakan ceramah dan menyediakan pameran mengenai isu berkaitan di seluruh negara," katanya.

Mangsa keganasan rumah tangga boleh menghantar pesanan WhatsApp TINA di atau menghubungi talian bantuan WAO di 03 7956 3488 untuk mengetahui hak mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan advokasi WAO, orang ramai boleh memuat turun laporan tahunan WAO 2017 di bit.ly/waoreport.

Info

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

* Ditubuhkan pada 1982

* Menyediakan khidmat kaunseling, rumah perlindungan dan sokongan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak didera.

* Menyokong wanita dan anak mereka membina kehidupan semula

* Ada yang mengharungi keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan dan keganasan yang lain.

Berita Harian X