Rabu, 15 Ogos 2018 | 10:45am
ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi (dua dari kanan) dan Khairul (kanan) bersama Pengasas Al-Hur Beauty, Siti Farahana Khairuddin (kiri) pada Majlis pelancaran produk kecantikan Al-Hur Beauty dan finale Pencarian Wajah Al-Hur Beauty di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Asyraf Hamza

Usahawan wanita digalak daftar ahli Sahabat Dewan

KUALA LUMPUR: Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia (DEUM) menggalakkan lebih ramai usahawan wanita mendaftar keahlian sebagai ‘Sahabat Dewan’ menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Wanita Malaysia (MTEW).

Pendaftaran bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada ahli mendapatkan maklumat berkaitan selain sokongan menerusi kelas bimbingan perniagaan, nasihat profesional dan dana perniagaan.

Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Pusat DEUM, Datuk Seri Khairul Khuzaini, berkata ramai usahawan wanita menjalani perniagaan dari rumah secara kecil-kecilan tanpa mereka sedari usaha itu boleh dikembangkan pada skala lebih besar.

Beliau berkata, pihaknya menggalakkan usahawan wanita seluruh negara mendaftar perniagaan di DEUM tanpa sebarang yuran dikenakan.

“Menerusi pelbagai program memperkasakan kemahiran perniagaan, peserta diberi pendedahan lebih luas dalam urusan masing-masing, seiringan rakan usahawan lelaki.

“Usaha ini sejajar dengan hasrat membantu usahawan wanita mengecapi kejayaan di peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian produk kecantikan kulit Al Hur, di sini baru-baru ini.

Sejak DEUM ditubuhkan pada 2015, Khirul berkata, hampir 10,000 usahawan wanita mendapat khidmat bantuan bimbingan menerusi beberapa program antaranya e-usahawan-Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Katanya, walaupun DEUM bukan pertubuhan yang memberi peruntukan, namun badan ini bertanggungjawab membantu menyediakan kelas bimbingan dalam pelbagai cabang perniagaan.

Gigih kumpul data

Beliau yang juga EXCO Kanan Kementerian Pembangunan Usahawan berkata, pihaknya gigih mengumpul data mengesan jumlah usahawan wanita seluruh negara dan mengharapkan mereka bernaung di bawah DEUM.

“Ada menjalankan perniagaan dari rumah dan ada juga tidak berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Kekurangan maklumat dan tidak ada panduan serta bantuan sewajarnya menyebabkan ada perniagaan tidak dapat diteruskan.

“Kami mengharapkan semua usahawan wanita di seluruh negara berada di bawah DEUM kerana mahu membantu mereka mengembangkan perniagaan hingga ke peringkat global.

“Selari hasrat mengangkat martabat usahawan wanita yang ingin berjaya dalam perniagaan mereka, MTEW memperkenalkan program khas, Women On Wheels (WOW),” katanya.

Beliau berkata, sehingga hujung tahun ini, DEUM menyasarkan 100 usahawan wanita berjaya digelar usahawan desa kepada usahawan profesional seperti memiliki premis perniagaan sendiri.

“Usahawan wanita boleh mendapatkan khidmat nasihat, bantuan serta panduan menerusi kelas bimbingan yang diadakan secara terus atau dalam talian (online).

“Di samping itu DEUM juga membantu mereka mendapatkan geran atau dana kerajaan untuk mengembangkan lagi perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MTEW, Datuk Nazilah Idris berkata, usahawan wanita berpeluang mengembangkan perniagaan mereka dengan menyertai program siri jelajah Women Millionaire (WM) di bawah WOW. Program dijangka akan dilancarkan pada Oktober ini.

Beliau berkata, WOW bermatlamat mengangkat produk usahawan ke pasaran antarabangsa dan menuju objektif ‘local to global’.

“Setiap program MTEW bergerak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan sebagai suara kepada peserta yang berhasrat bergelar usahawan berjaya,” katanya.

Matlamat MTEW dan WOW memberi fokus terhadap peniaga wanita yang menjual pelbagai barangan keperluan dan produk berkaitan antaranya tatarias, rundingan imej, jualan kosmetik, pakaian dan aksesori.

Beliau berkata, pada masa sama WM bergerak menerusi siri jelajah ke pusat beli belah seluruh negara selain memuatkan segmen dalam rancangan realiti televisyen 26 episod sebagai platform memasarkan produk tempatan.

Berita Harian X