Ahad, 14 Oktober 2018 | 11:26am

Menitis air mata lihat mangsa di Palu

KUALA LUMPUR: “Menitis air mata apabila melihat anak-anak kecil berlari mendapatkan kami sebaik sahaja kenderaan pacuan empat roda membawa anggota Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) datang menjenguk pusat penempatan sementara mangsa gempa bumi dan tsunami di sekitar Donggala serta Palu, baru-baru ini.

“Lebih meruntun jiwa apabila tapak tangan kecil, masing-masing menadah meminta makanan kerana sudah lama kelaparan, berikutan ketiadaan pasukan bantuan datang bagi menghulurkan bantuan, gara-gara jalan masuk ke kawasan bencana musnah dek malapetaka di Sulawesi Tengah,” itu,” katanya.

Pengalaman sedih ini diceritakan anggota sukarelawan Mercy Malaysia, Nur Hasanah Abu Bakar, 52, bersama-sama tujuh rakannya dalam misi bantuan kecemasan ke Donggala dan Palu, yang teruk terjejas dilanda tsunami.

“Mereka bukan sahaja lapar dan dahaga, malah sakit mata, kulit gatal, badan kering kerana ketiadaan air bersih serta ubat-ubatan bagi merawat penyakit dihidapi.

“Seakan satu rahmat apabila kami menghulurkan air mineral untuk dikongsikan bersama dan pada masa sama memasang khemah sementara bagi merawat mangsa tsunami berkenaan,” katanya kepada BH.

PEGAWAI Perubatan Mercy Malaysia sedang menyukat suhu pesakit kanak-kanak yang datang ke klinik sementara di Donggala Utara, Sulawesi.- Foto Ihsan

Nur Hasanah berkata, hatinya sebak anak-anak kecil itu menunjukkan tangan dan kaki mereka yang luka serta berkudis untuk dirawat segera.

“Kami segera membersihkan satu persatu luka kanak-kanak terbabit dengan ‘normal saline’ dan ubat kuning, kemudiannya disapu dengan antiseptik bagi mengelakkan jangkitan.

“Makanan diagihkan seperti biskut dan coklat kepada mereka sebagai mengalas perut, sementara bantuan makanan lain tiba di situ,” katanya suri rumah itu.

Rata-rata mangsa tinggal sehelai sepinggang, tanpa makanan berzat dan bekalan air bersih yang sempat dibawa ketika menyelamatkan diri.

“Memandangkan sebahagian besar rumah kediaman musnah dan tidak selamat didiami, mangsa membina khemah di tanah perkuburan dan kawasan lapang yang dianggap selamat di Palu.

NUR Hasanah (tengah) bersama sukarelawan Mercy Malaysia merawat luka Cherah, 43, (terbaring) ketika mengunjungi rumah mangsa tsunami Palu. - Foto Ihsan

“Ada juga isteri terlalu sedih kerana suami mereka gagal ditemui sehingga sekarang dan tidak tahu nasibnya. Mereka memberitahu, ketika kejadian diarah suami membawa anak ke tempat selamat, namun apabila menoleh ke belakang dilihat rumah sudah runtuh dan hanyut dibawa tsunami,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan dan Sukarelawan Mercy Malaysia, Dr Jasmine Avalani Chandrakant, berkata kebanyakan mangsa trauma kerana tidak pernah mengalami gempa bumi dan tsunami serentak.

“Paling menyedihkan wanita muda hamil antara tiga hingga lapan bulan terpaksa berlari menyelamatkan diri ke arah gunung. Malah, mereka memberitahu ada di antaranya keguguran dalam insiden itu.

“Kekurangan makanan dan tidak cukup zat, turut mempengaruhi tahap kesihatan mereka. Wanita hamil ini tidak mendapat penjagaan sempurna sebelum bersalin atau bekalan multivitamin dan nasihat kesihatan.

“Bagi melegakan kegusaran, kami memeriksa tekanan darah, degupan jantung dan memberikan zat besi diperlukan. Kami menasihatkan mereka pergi ke klinik kesihatan berdekatan bagi mendapatkan rawatan sewajarnya,” katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati ibu baru bersalin mengalami masalah payudara membengkak kerana gagal menyusukan anak.

“Ia berlaku kerana kekurangan air, susu sukar dihasilkan dan tidak boleh keluar (untuk disusukan kepada bayi). Kemungkinan disebabkan psikologi wanita terbabit masih trauma dengan kejadian berkenaan,” katanya.

SEORANG mangsa tsunami Palu membawa anaknya yang menghidap ketumbuhan pada muka mendapatkan rawatan di perubatan di klinik sementara Mercy Malaysia.- Foto Ihsan

Ketika melawat sebuah rumah pasukan perubatan Mercy Malaysia merawat seorang wanita muda berusia 23 tahun terlantar bukan sebab sakit, tetapi kekurangan cecair dalam badan.

“Ketika dikunjungi, wanita terbabit demam, lemah, tidak bermaya dan ahli keluarga tidak sedar dia pitam kerana kurang minuman.

“Diburukkan pula, bekalan air terputus untuk beberapa hari selepas gempa dan tsunami berlaku kerana ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan pam penjana air telaga tidak berfungsi,” katanya.

Mercy Malaysia dalam kenyataannya, memberitahu pihaknya mengadakan klinik bergerak bagi mencari mangsa bencana alam di Donggala dan Palu.

“Klinik bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain dengan menjadi rumah penduduk kampung, masjid, tepi pantai, bawah pokok untuk menyantuni mereka untuk dirawat.

“Klinik ini dibuka sampai lewat malam untuk kemudahan penduduk Donggala mendapatkan perkhidmatan perubatan selepas mengetahui kehadiran doktor dari NGO Malaysia,” katanya.

NORAZAM menyerahkan khemah kepada ketua desa Pombewe, Sigi, Sulawesi Tengah.- Foto Ihsan

NUR Hasanah(tengah) dikerumuni kanak-kanak mangsa tsunami ketika mengisikan ubat dan vitamin untuk diagih-agihkan kepada mereka.- Foto Ihsan
Berita Harian X