Rabu, 12 Disember 2018 | 7:00am
ROSNAH menunjukkan produknya; Nasi Himpit Salsabila. - NSTP/Rozainah Zakaria

Jual nasi himpit tanpa plastik, elak dapat kanser

KUALA TERENGGANU: Bukan mengejar keuntungan, sebaliknya mahu menyuntik kesedaran masyarakat mengenai bahaya plastik kepada kesihatan dan alam sekitar membuatkan bekas pensyarah institusi pendidikan mengusahakan perniagaan nasi himpit tanpa menggunakan pembalut bahan itu demi manfaat pelanggannya.

Bekas pensyarah jurusan Sains Alam Sekitar, Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali Ismail, Batu Rakit, Kuala Nerus, Rosnah Alias, 62, kesal kerana ramai peniaga mengabaikan aspek kesihatan dalam penghasilan makanan.

Jihadnya ke arah itu bermula apabila beliau sering menemui pelbagai spesies ikan yang didapati berpenyakit umpamanya tumbuh benjolan disebabkan termakan straw, selipar dan plastik.

"Saya pencinta alam sekitar dan sering mengikuti program pembersihan pantai dan ke pulau, justeru sering menemui ikan yang berpenyakit akibat termakan benda plastik seperti straw, selipar dan plastik.

"Sedih setiap kali menemui ikan yang sakit akibat perbuatan manusia membuang barangan seperti itu ke pantai menyebabkan saya tidak akan melepaskan peluang mengikut program bagi memberi kesedaran mengenai pentingnya menjaga alam sekitar," katanya.

Jual nasi himpit tanpa plastik

Rosnah berkata, sebagaimana beliau sedih melihat kesengsaraan dialami haiwan di laut akibat pencemaran plastik, hatinya lebih pilu apabila memikirkan masih ramai tidak sedar penggunaan plastik dalam proses penyediaan makanan membahayakan kesihatan.

Melihat orang makan di dalam pinggan plastik murah, memasak air panas menggunakan cerek plastik tahan panas dan makan nasi himpit berbungkus plastik.

“Nasi himpit ini direbus berjam-jam membuatkan hati saya robek mengenangkan kesan plastik kepada kesihatan manusia,” katanya.

Oleh itu, selepas bersara, beliau terdetik mahu mengusahakan perniagaan nasi himpit tanpa plastik sejak tiga tahun lalu.

Kebanyakan nasi himpit dijual dibungkus dengan plastik dan pastinya boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan dan dipercayai antara punca penyakit kanser.

Kesungguhan Rosnah mengenai keinginannya menjual produk yang bebas daripada penggunaan plastik ternyata amat ikhlas apabila beliau begitu sebak dan menitiskan air mata mengenangkan tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah mengenai perkara itu ketika ditemubual.

Walaupun sedar apa yang mahu diusahakannya agak lewat berikutan usianya sudah mencecah 59 tahun, namun tidak melemahkan semangat dan cita-citanya meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya plastik dalam penyediaan makanan.

"Selepas bersara saya banyak menghabiskan masa di rumah. Ketika itu saya sering terfikir dan bertekad mahu memulakan perniagaan terbabit.

"Ramai bertanya kenapa saya tidak bermula lebih awal. Namun, saya abaikan kerana tidak mahu ia melemahkan semangat. Biar apa orang hendak kata asalkan gembira dengan apa saya lakukan.

"Sejak itu, saya mulakan perniagaan kecil-kecilan dan mula menjual nasi himpit tanpa plastik yang saya beri nama Nasi Himpit Salsabila. Nama itu didapati dalam al-Quran bermaksud mata air," katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Rosnah berkata, nasi himpit dijualnya dibungkus dalam kain muslin diimport dari China, dengan setiap kotak mengandungi lima bungkus uncang beras yang dibungkus dalam kain itu seberat 46 gram setiap satu dan dijual pada harga RM8.50 sekotak.

Katanya, jika hendak cerita pasal untung, memang kecil sangat dan tidak berbaloi, tetapi keuntungan bukan matlamat utamanya kerana tujuan utama ialah untuk menyediakan alternatif nasi himpit yang lebih sihat dan selamat dimakan.

Walaupun sambutan terhadap produknya masih perlahan dengan kebanyakan pelanggan adalah dalam kalangan 'cancer survivor' dan pencinta alam, Rosnah mahu terus meneruskan perjuangan itu.

"Pernah pada awalnya saya berputus asa, kemudian seorang sahabat merayu saya teruskan. Jika saya tidak lakukan tidak akan ada sesiapa yang menggerakkan impian itu.

"Jadi saya niatkan usaha saya ini bukan sebagai perniagaan semata-mata, tetapi sebagai jihad dan khalifah Allah.

"Walaupun mungkin ada orang akan mentertawakan saya kerana melihat apa yang saya lakukan ini tidak seberapa, tidak mengapa. Yang penting saya dapat tingkatkan kesedaran orang ramai," katanya yang menjual nasi himpit itu di laman Instagram nasihimpit.salsabila.

Rosnah berkata, Persatuan Doktor Amerika Syarikat pernah mengeluarkan senarai punca kanser dan mengingatkan orang ramai supaya tidak minum minuman panas dalam cawan plastik, jangan makan makanan panas dalam beg plastik seperti sup panas dan jangan panaskan makanan di dalam ketuhar gelombang mikro menggunakan peralatan plastik.

Ini kerana katanya, apabila plastik dikenakan haba, ia akan mengeluarkan bahan kimia yang boleh menjadi punca 52 jenis kanser.

"Plastik dihasilkan daripada campuran pelbagai bahan kimia yang kebanyakannya toksik yang memberi kesan buruk kepada kesihatan, tetapi manusia pula menggunakannya dalam kehidupan harian kita terutama dalam penyediaan makanan.

"Segelintir bahan kimia bertoksik dalam plastik bukan sahaja boleh menjadi punca kanser, tetapi juga boleh menyebabkan kecacatan bayi dan merencatkan perkembangan kanak-kanak selain menyebabkan masalah sistem imun badan.

"Plastik bukan tidak boleh digunakan langsung, tetapi ia tidak sesuai dalam penyediaan makanan ketika panas termasuk menggunakan pinggan plastik untuk makan nasi atau memasak nasi himpit yang dibungkus dalam plastik.

"Saya mahu semua berubah dan elakkan minum, makan yang disediakan dalam plastik demi kesihatan diri. Jika bukan kita siapa lagi yang nak jaga kesihatan sendiri," katanya.

Berita Harian X