Selasa, 18 Disember 2018 | 10:55am

Ratu boling negara pakar lukis henna

HULU LANGAT: Di sebalik kehebatan Nur Umirah Abdul Raduan, melakukan ‘strike’ setiap kali muncul di pentas boling, jari-jemarinya juga berkemahiran melukis henna sehingga tidak menang tangan memenuhi tempahan pelanggan sehingga 2020.

Bekas pemain boling kebangsaan yang memenangi pingat emas pada persaingan liga kejohanan bulan lalu, tidak mahu mensia-siakan bakat kreatifnya dalam melukis henna.

Nur Umirah, 26, berpendapat kedua-dua bidang itu adalah nadi hidupnya dan pada masa sama mahu membuktikan namanya tidak ketinggalan meskipun kehadiran bakat baharu menjadi pelapis sukan boling.

Lantas, bidang itu berjalan seiring dan kini beliau juga mahu terus dikenali serta menjadi pilihan pelanggan untuk mendapatkan khidmatnya melukis henna terutama bakal pengantin.

“Saya bersyukur dikurniakan bakat dalam bidang sukan dan pada masa sama mempunyai jari-jemari kreatif melukis henna untuk menaikkan seri bakal mempelai.

INTERNATIONAL bowling championship Penang Fiesta, baru-baru ini. - Foto ihsan Nur Umirah Abdul Raduan

“Minat itu berputik ketika mengikuti pengajian diploma Sains Sukan dan Rekreasi, apabila mula mencuba lukisan henna pada tangan rakan sebilik, tidak sangka dia menyukai hasil kerja saya.

“Bertitik tolak daripada situ, nama saya dikenal sebagai pelukis henna dan mengakui bidang ini mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya ketika ditemui BH Online, baru-baru ini.

Bekas pemain boling junior kebangsaan 2014 itu, berkata henna dipilih pelanggan lazimnya bermotifkan gelang dengan hiasan corak bunga, menyerlahkan seri tangan pengantin sekali gus tampak runcing, cantik dan eksklusif.

Katanya, persaingan melukis henna untuk pengantin kini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, namun dia tidak pernah bimbang kerana yakin kreativitinya membuatkan pelanggan datang mencarinya.

“Persaingan memang asam garam peniaga. Saya jadikan ia sebagai cabaran dan percaya jika berusaha menghaluskan seni ukiran inai yang cantik, Insya Allah tidak perlu khuatir dengan persaingan di sekeliling saya.

“Saya berasakan bidang melukis henna ini adalah perniagaan yang bagus kerana ia sebenarnya digemari semua bangsa.

NUR Umirah sedang melukis henna ditangan pelanggan. - NSTP/Saifullizan Tamadi

“Tambahan pula, sekarang henna dipakai tanpa mengira masa dan bukan sekadar untuk perkahwinan,” katanya.

Menjalankan perkhidmatan melukis henna sejak 2014, beliau hanya mengambil masa 45 minit untuk melukis inai yang ringkas.

“Untuk corak sarat memerlukan satu jam setengah. Paling lama pernah mengambil masa sehingga lima jam untuk corak bertema crowded Indian.

“Sekarang, ini adalah kerjaya saya dan masih bermain boling, namun latihannya secara mingguan dan hanya menyertai pertandingan dalam negara,” katanya.

Ibu kepada dua anak ini berkata, lazimnya henna pengantin harga bermula RM60 bergantung corak, kehalusan garisan dan penggunaan henna sama ada warna merah, hitam atau putih.

Katanya, beliau pernah menerima bayaran RM700 untuk melukis henna di jari mempelai.

“Selain pengantin, permintaan melukis henna ini juga diterima daripada ahli keluarga, pengiring pengantin dengan caj antara RM10 hingga RM65 seorang bagi bergantung kepada corak diingini.

HASIL kerja henna yang dilakar bagi memenuhi permintaan pengantin. - Foto Instagram hbusspa

“Saya melihat bidang ini memberi potensi besar untuk menjana pendapatan,” katanya.

Nur Umirah berkata, beliau mempunyai beratus corak eksklusif dan sentiasa mencari idea baharu bagi memberi pilihan kepada pelanggan termasuk trend terkini, henna berwarna putih dilengkapi hiasan butiran permata bergemerlapan.

Melukis henna berwarna putih lebih teliti dan kerap menjadi pilihan pelanggan, meskipun ia tidak boleh dibawa bersolat.

Selain itu, inai rona hitam pula digemari pelanggan bukan Islam kerana ia tampak seperti tato.

Beliau berkata, antara selebriti yang mendapatkan perkhidmatan saya ialah Betty Rahmat, selain pelanggan tidak sahaja orang Melayu, tetapi juga masyarakat India dan pelancong asing.

Menariknya, anak kelahiran Kajang, Selangor ini mengakui beliau tidak pernah mengikut sebarang kelas, sebaliknya banyak mempelajari menerusi pemerhatian atau merujuk maklumat perkembangan henna di luar negara, khususnya di India.

“Sudah semestinya saya lega apabila corak henna dapat menaikkan seri seseorang dan hasil kerja mendapat maklum balas positif, sekali gus membawakan pelanggan baharu,” katanya.

Lazimnya, perkhidmatan henna mengikut musim dan kebanyakan dibuat dibuat pada hujung minggu yang tidak mengganggu perhatiannya sebagai ibu dan isteri.

Mengenai bakat bermain boling, ia diasah oleh bapanya yang juga bekas atlet soft ball yang sering menggalakkannya mempelajari teknik permainan boling sejak di bangku sekolah.

“Saya suka menggunakan bola bowling brunswick 15 yang dirasakan begitu ideal. Kita perlu sentiasa berlatih supaya menguasai kemahiran untuk menjadi pemain berjaya,” katanya yang mempunyai lebih 40,000 pengikut di Instagram hbusspa.

NUR Umirah sedang melukis henna ditangan pelanggan. - NSTP/Saifullizan Tamadi
NUR Umirah menunjukkan koleksi piala dan pingat ketika bermain boling. - NSTP/Saifullizan Tamadi
HASIL kerja henna yang dilakar bagi memenuhi permintaan pengantin. - Foto Instagram hbusspa
HASIL kerja henna yang dilakar bagi memenuhi permintaan pengantin. - Foto Instagram hbusspa
Berita Harian X