Isnin, 28 Januari 2019 | 10:42am
PERCERAIAN bukan bermakna bapa terlepas tanggungjawab beri nafkah kepada anak. - Foto Hiasan

Suami culas dah tak boleh 'lari'

KUALA LUMPUR: Nasib lebih ramai ibu tunggal yang teraniaya akan terbela sebaik kerajaan mengambil keputusan menyekat akaun bank bekas suami berikutan keengganan membayar nafkah selepas bercerai, berkuatkuasa secepat mungkin.

Tindakan drastik itu dilihat sebagai usaha terbaik menjamin keharmonian institusi kekeluargaan.

Cadangan mengenainya akan dibentangkan di Parlimen bulan depan untuk dipersetujui sebelum dilaksanakan segera.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, berkata tindakan tegas perlu diambil kerana ramai bapa masih gagal menjelaskan nafkah anak hingga membebankan bekas isteri selepas pasangan bercerai.

Beliau berkata, mekanisme sama disarankan supaya lelaki yang enggan memberi nafkah bekas isteri kerana banyak kes berkaitan dilaporkan.

Dalam kes dikendalikan, beliau berkata, wanita terpaksa mengemukakan permohonan di mahkamah untuk mendapatkan nafkah anak, namun ramai tidak meneruskan hasrat kerana proses permohonan terlalu lama.

Selain menunggu lama, katanya selepas perbicaraan dan mahkamah mengarahkan bapa berbuat demikian, namun masih ramai yang culas membayar nafkah hingga berlaku pergaduhan.

“Walaupun kegagalan menjelaskan nafkah boleh dihukum denda atau penjara atau kedua-duanya sekali, nampaknya tindakan itu gagal mendisiplinkan mereka.

“Diharapkan adanya arahan mahkamah menyekat akaun bank, bapa lebih bertanggungjawab menunaikan hak anak yang ditinggalkan bersama bekas isteri,” katanya.

Suzana berkata demikian ketika diminta mengulas usaha kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap bapa yang gagal menjelaskan nafkah anak hingga menyebabkan pelbagai masalah dalam sesebuah keluarga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dalam kenyataannya sebelum ini, berkata pihaknya mengemukakan mekanisme terbaik termasuk sekatan bank terhadap lelaki yang liat memberi nafkah bekas isteri dan anak.

Beliau dalam kenyataannya sebelum ini sebagai memetik, perkara itu akan dibawa ke Kabinet bulan depan untuk dipersetujui.

Perkara itu katanya, sudah peringkat akhir perbincangan selepas pihaknya mendapatkan pandangan daripada Pejabat Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

Kerajaan perlu serius

Mengulas lanjut, Suzana berkata, kerajaan perlu serius menangani isu ini kerana keengganan bapa berbuat demikian menyebabkan pelbagai pihak teraniaya, anak tidak mendapat dana mencukupi untuk meneruskan persekolahan.

“Ketika keadaan tertekan, anak menjadi mangsa hingga berlaku gangguan emosi.

“Gangguan ini mendedahkan mereka kepada cabaran sosial lain termasuk terpengaruh dengan aktiviti merosakkan akhlak terutama penyalahgunaan dadah,” katanya.

Bagi pihak ibu pula, Suzana berkata, mereka terpaksa tanggung perbelanjaan keluarga bersendirian.

Bebanan membawa kepada tekanan perasaan yang serius. Situasi menjejaskan keupayaan mendidik anak dengan sempurna.

“Semua faktor ini menyumbang kepada kepincangan institusi kekeluargaan yang menjadi tempat awal usaha membentuk generasi muda berdaya saing sebagai pelapis pemimpin akan datang,” katanya.

Ramai wanita di luar sana, kata Suzana hidup teraniaya begitu mengharapkan perlunya tindakan tegas diambil bagi menangani masalah ini.

“Tindakan ini wajar dilaksanakan segera kerana masalah suami culas nafkah ini sebahagian besar membabitkan tuntutan kes syarie selepas berlakunya perceraian.

“Apabila ada mekanisme seperti ini, bekas isteri bersemangat memperjuangkan hak dalam membuat tuntutan nafkah anak kerana bekas suami pasti berhadapan hukuman berat jika ingkar perintah mahkamah,” katanya.

Sepanjang tempoh 21 tahun mengendalikan kes, beliau secara peribadi berkata, bekas suami masih enggan membayar nafkah dengan pelbagai alasan walaupun sudah ada perintah mahkamah.

Mengulas isu berkaitan, Pemangku Presiden Persatuan Inspirasi Ibu Tunggal dan Wanita Kuala Lumpur (PIWANI), Nur Eiklah
Tulha, berkata pihaknya mengharapkan masalah ibu teraniaya selepas bercerai diatasi secara berhemah.

Katanya, pasti ramai wanita di luar sana memanjatkan kesyukuran atas keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan ibu tunggal yang menjadi isu besar dalam institusi masyarakat.

Bekas suami tak ambil mudah

“Besar harapan kami yang selama ini begitu mengharapkan adanya mekanisme terbaik dilaksanakan supaya bekas suami tidak ambil mudah dalam menunaikan tanggungjawab terhadap bekas isteri dan anak yang ditinggalkan.

“Saya secara peribadi berasa keperitan menyara hidup bersama dua anak sendirian, tanpa belas ihsan bekas suami.

“Penguatkuasaan undang-undang secara sistematik menjamin keperluan anak untuk menikmati kehidupan lebih sempurna selepas ibu bapa mereka bercerai,” katanya.

Kakitangan awam, Siti Fatimah Yousoh, 34, berkata tindakan kerajaan mengenakan sekatan akaun bekas suami culas dianggap pelaksanaan terbaik bagi menjaga kebajikan ibu tunggal dan anak yang ditinggalkan.

“Ramai bapa di luar sana saya rasa kurang tanggungjawab, sedangkan pemberian nafkah itu wajib mengikut syarak.

“Pelbagai alasan diberikan terutama tidak mampu, sedangkan pada masa sama, mereka boleh berkahwin semula dan mempunyai keluarga baharu,” katanya.

Berita Harian X