Khamis, 14 Februari 2019 | 9:23pm
Manfaatkan koperasi setiap kawasan kejiranan bantu pelbagai isu warga emas. - Foto hiasan

Tubuh koperasi elak warga emas terabai

KUALA LUMPUR: Isu pengabaian warga emas boleh diatasi dengan menubuhkan koperasi yang dikendalikan sendiri oleh masyarakat setempat atau kawasan kejiranan.

Koperasi itu boleh dimanfaat kepada masyarakat di sesuatu kawasan khususnya membabitkan kebajikan warga emas dengan kerjasama pihak berkepentingan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Pengarah Institut Gerontologi, Unversiti Putra Malaysia (UPM) dan Ahli Majlis Pengurusan Tertinggi, Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM), Prof Datuk Dr Tengku Aizan Hamid, berkata langkah itu dilihat mampu menjimatkan masa dan kos yang terpaksa ditanggung oleh sesebuah keluarga untuk penjagaan golongan itu.

Katanya, menerusi koperasi, setiap ahli dalam masyarakat tanpa mengira usia memainkan peranan masing-masing.

“Menerusi perbadanan, semua dana diperlukan dikumpul bersama untuk membiayai keperluan warga emas seperti makanan atau lampin pakai buang secara pukal pada harga lebih murah.

“Negara Barat sudah mengamalkan kaedah ini, sama seperti penjagaan kanak-kanak di pusat jagaan mereka,” katanya.


Aizan Tengku Abdul Hamid ketika perbincangan 'On-Demand Home Caregiving Services Platform Homage Launches In Malaysia'. - NSTP/Nik Hariff Nik Hassan

Beliau ditemui pada program perbincangan bertajuk ‘Bagaimana Malaysia Bersedia Berdepan Hari Tua’ yang dianjurkan oleh penyedia perkhidmatan penjagaan warga emas, Homage, di sini, semalam.

Turut hadir, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Penyelidik Institut Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr Rajini Sooryanarayana, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersam Homage, Gillian Tee dan Penjaga Profesional Homage, Vijitha Sivanjanam.

Katanya, falsafah koperasi di negara ini perlu ditukar daripada bermotifkan perniagaan dan keuntungan semata-mata kepada menjaga kebajikan ahli.

Sebagai contoh, Pertubuhan Peladang sepatutnya ditubuhkan untuk menjaga kebajikan ahli bukannya menjalankan perniagaan.

Fungsi koperasi sepatutnya seperti Pertubuhan Khairat Kematian yang dijalankan masyarakat setempat yang akan memastikan keluarga si mati tidak dibebani dengan kos menguruskan jenazah.

Katanya, tidak semua anak atau ahli keluarga mampu untuk menghantar orang tua mereka ke rumah penjagaan warga emas swasta atau mengupah orang untuk menjaga mereka yang boleh menelan kos sehingga RM4,000 sebulan.

“Kos asas untuk menjaga seorang warga emas boleh mencecah sekurang-kurangnya RM500 seorang termasuk membeli keperluan seperti makanan dan lampin pakai buang.

“Ini tidak termasuk kos untuk warga emas yang terlantar atau mengalami penyakit kronik dan demensia atau nyanyuk,” katanya.

Dr Tengku Aizan, berkata berdasarkan statistik MAKNEM, satu daripada 10 warga emas diabaikan anak dan ahli keluarga walaupun tinggal serumah.

Pengabaian merangkumi tidak mengendahkan keperluan ibu bapa seperti memastikan mereka makan, makan ubat mahupun bertanya khabar.

“Sejak tahun 1980-an, 70 peratus anak memberikan wang kepada ibu bapa masing-masing dan jumlah itu, pada masa kini, menurun kepada 54 peratus sahaja.

“Kebanyakannya tidak mampu akibat tuntutan hidup tetapi kebanyakan ibu bapa tidak sekadar mahupun wang daripada anak semata-mata tetapi lebih kepada ‘mengambil tahu’ atau berinteraksi dengan mereka,” katanya.

Katanya, polisi lain boleh diperkenalkan oleh kerajaan bagi menjaga kebajikan warga emas adalah dengan menggunakan dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dimasukkan ke dalam tabung khas.

Info

Lima aspek penderaan ke atas warga emas:

- Fizikal

- Sekskual

- Psikologikal

- Kewangan

- Pengabaian (paling tinggi); makanan, pakaian, akses kepada perubatan, tempat tinggal)

* Penjagaan Kesihatan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) menganggarkan:

- Lebih 15 peratus penduduk negara berusia 60 tahun ke atas dalam tempoh 10 tahun.

Berita Harian X