Jumaat, 22 Februari 2019 | 10:53pm
Hasni (dua dari kanan) berbincang bersama kakitangan B4U.
Hasni (dua dari kanan) berbincang bersama kakitangan B4U.

Bantuan Yayasan B4U rentasi sempadan dunia

KUALA LUMPUR: Memegang portfolio sebagai ketua pengurusan kewangan di sebuah bank antarabangsa sebelum ini membuatkan wanita ini menghabiskan hampir 90 peratus masanya di pejabat sehingga pernah dikejarkan ke hospital akibat mendapat tekanan darah tinggi yang teruk.

Selepas 13 tahun mengorbankan masa dan tenaga sehingga memudaratkan kesihatan mendorong Pengasas Teknologi Kewangan Digital B4U Exc (M) Sdn Bhd (B4U), Hasni Andy Cinta, berhenti kerja kira-kira empat tahun lalu untuk menumpukan perhatian kepada kebajikan sehingga merentasi sempadan global.

Hasni berkata, beliau lebih selesa membuat kerja kebajikan menerusi Yayasan B4U yang diasaskannya hampir dua tahun lalu untuk membantu golongan kurang bernasib baik sehingga merentasi sempadan dunia.

“Sebagai permulaan kami menganjurkan misi membantu masyarakat dengan menjalankan beberapa projek komuniti.

“Tahun lalu, yayasan ini membina 10 loji air dan menyediakan kemudahan solar di beberapa sekolah dan kampung di Pakistan,” katanya kepada BH.

Program komuniti untuk wanita

Hasni berkata, tumpuan itu sesuai dengan objektif yayasan mahu meningkatkan kesejahteraan insan memerlukan.

Katanya, kesejahteraan wanita turut mendapat perhatian bagi memberi jaminan terhadap kemakmuran dalam semua aspek kehidupan.

“Program lain, termasuk menyediakan air bersih, meningkatkan kesihatan, pemakanan dan perlindungan.

“Kami turut merancang membantu lebih banyak perkampungan masyarakat luar bandar untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Hasni berkata, bagi program komuniti tempatan, yayasan merancang program komuniti bagi membantu menaik taraf kehidupan, terutama wanita.

Pendidikan interaktif

Katanya, antara program dalam perancangan untuk membantu wanita adalah menerusi pendidikan interaktif dan bimbingan mengenai perniagaan dan pelaburan menjadi fokus dalam mendorong ramai wanita berani keluar dari zon selesa.

“Pelbagai kelebihan diterima wanita sekiranya mereka mula berjinak dengan cabang industri pelaburan dan berasaskan teknologi maklumat.

“Bidang ini mempunyai pelbagai kelebihan, namun wanita masih ragu-ragu, malah selesa memilih industri selamat,” katanya.

Hasni berkata, perniagaan itu istimewa kerana tidak menyekat rutin harian wanita sama ada mengurus keluarga ataupun daripada kalangan profesional kerana jadualnya anjal.

“Waktu kerja anjal juga membolehkan wanita merancang tanpa mempunyai ikatan atau hubungan dengan pihak lain.

“Sekiranya wanita didedahkan kepada keunikan bidang ini, ia dapat membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik tanpa perlu mengeluarkan modal tinggi.

“Wanita perlu keluar dari kelompok keselesaan malah mempelbagaikan cabang penyertaan mereka dalam keusahawanan,” katanya.

Hasni berkata, memberi pendidikan kepada wanita adalah cabaran utama, khususnya bagi mendedahkan tentang kepentingan teknologi pelaburan.

“Produk berteknologi baharu ini bagaimanapun, dianggap sebagai pelengkap kehidupan seharian di kebanyakan negara lebih lagi penggunaan kewangan.

“Bukan mudah untuk menarik perhatian wanita, malah saya sendiri perlu sentiasa tingkatkan ilmu berkenaan ekosistem teknologi kewangan (fintech), membaca dan kaji lebih mendalam tentang semuanya,” katanya.

Berita Harian X