Rabu, 27 Februari 2019 | 9:33am
Aksi Leona dalam perlumbaan yang disertainya.

Leona persis model: Hebat di litar lumba

KUALA LUMPUR: Hampir semua jenis perlumbaan kereta pernah disertai gadis manis ini, termasuk kejohanan melungsur (drift), pecutan (drag), autocross, rally, endurance, time attack, litar lumba bahkan go-kart yang menjadi ‘medan permainannya.’

Di sebalik sut perlumbaan yang tersarung kemas di tubuh, sisi gadis feminin Leona Chin, 33, tetap menyerlah.

Seperti tipikal gadis feminin lain yang gemar bergaya, berdandan dan persis model.

Beliau yang baru sahaja dinobat Atlet Harapan Wanita Permotoran di Anugerah Sukan Permotoran Petronas Litar Antarabangsa Sepang (SIC) - Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) 2018, mengakui kehadirannya menyemarakkan lagi sukan yang sinonim dengan lelaki.

Realiti itu langsung tidak membuatnya kekok kerana bagi anak jati Subang Jaya, setiap perlumbaan adalah medan untuk menguji kemampuan diri tanpa dibatasi jantina.

Leona berkata, minat terhadap pemanduan lasak bermula ketika usianya 18 tahun, apabila berupaya mengendalikan Nissan 180sx dengan cekap, iaitu kenderaan milik abangnya yang disifatkan sesuatu minat luar biasa bagi kalangan pemandu wanita.


Leona baru sahaja dinobat Atlet Harapan Wanita Permotoran di Anugerah Sukan Permotoran Petronas Litar Antarabangsa Sepang (SIC) - Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) 2018.

“Sejak dari kecil saya seorang yang lincah dan gemar bersukan. Namun, apabila memasuki sekolah menengah kecenderungan itu beralih kepada pemanduan, iaitu pacuan empat roda.

“Ketika itu abang pula mempunyai kenderaan berkenaan, membuatkan saya belajar mengenai pengendaliannya.

“Bertitik tolak dari situ, saya berpeluang berjumpa pelumba profesional. Dengan beliau juga saya memperoleh bimbingan pelbagai pemanduan hingga membawa ke perlumbaan di litar,” katanya kepada BH Online.

Sebenarnya, Leona adalah pelumba popular dan kisahnya pernah tular disebabkan beberapa siri video ‘prank’ yang menonjolkan dirinya sebagai gadis naif.

Antaranya mahu memohon pekerjaan sebagai guru memandu, pernah ‘dibuli’ kerana beliau seorang wanita yang berpura-pura sebagai penasihat jualan kenderaan Mitsubishi.

Tetapi segala-galanya berubah apabila Leona mempamerkan kehebatannya memandu, yang langsung tidak pernah disangka berikutan jarang wanita mahu mengambil tahu mengenai kenderaan, penyelenggaraan, spesifikasi, harga dan seumpamanya.

Bagi beliau, pelumba wanita tidak kurang hebat kerana ketika ini banyak cabaran perlumbaan disahut golongan hawa.


Minat Leona terhadap pemanduan lasak bermula ketika usianya 18 tahun. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Merasakan begitu bertuah apabila dilatih pelumba profesional, peluang keemasan itu melonjakkan namanya sebagai pelumba, sekali gus membentuk jati diri atlet pemotoran.

“Saya masih ingat asas pemanduan dipelajari adalah membuat pusingan lapan dan ia cukup memerlukan masa untuk mahir, daripada situ saya didedahkan dengan perlumbaan kerana pemanduan adalah proses dan perlu terus dipelajari,” katanya.

Menurut Leona, masa terluangnya digunakan untuk memantapkan semua jenis pemanduan, kerana latihan dan pengalaman membantunya menjadi atlet permotoran yang versatil serta mahir dalam perlumbaan rally, autocross, go-kart dan banyak lagi.

Beliau mahu membangunkan diri menjadi pelumba dalam semua lapangan, yang tidak sahaja menempa nama sebagai pelumba, sebaliknya lebih bermakna jika menjadi atlet dalam sukan permotoran.

“Bagaimanapun, anak keempat dari lima beradik ini berkata, soal mendapatkan tajaan paling mencabar berikutan kos pembiayaan sukan permotoran terlalu tinggi, memaksa pasukan banyak berhabis untuk menyertai perlumbaan terutama apabila kejohanan di luar negara.

“Sebagai pelumba ini kesukaran yang perlu ditempuh. Tidak banyak syarikat swasta berminat menaja disebabkan kos utamanya yang tinggi seperti penggantian tayar, alat ganti kenderaan dan logistik kerana kebiasaan sesuatu perjalanan mencecah ratusan ribu ringgit.

“Perbelanjaan itu belum merangkumi yuran penyertaan kemasukan, sesi latihan, pasukan penyelenggaraan kereta dan lain yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit jika dikira secara keseluruhan,” katanya.


Leona bersama piala dimenanginya.

Tahun lalu beliau menyertai Malaysian Speed Festival Series pusingan keempat hingga keenam Enduro, Siri Kejuruteraan Malaysia pusingan kelima dan cabaran mini Asia di China.

Tahun sebelumnya menyaksikan beliau bertanding dalam Sepang 1,000 kilometer, Siri Piala Clio China (peringkat Asia), iaitu sekitar 2016, Kejuaraan Permotoran Asia, Caterham (2015), pertandingan New Year’s 6 Hour Endurance (2015) dan banyak lagi.

Lulusan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan University of Northumbria di Newcastle, England ini akan membuat latihan di stimulator di Ara Damansara, bagi memperbaiki mutu pemanduan seterusnya bersedia untuk perlumbaan seterusnya.

“Saya perlu membiasakan diri kerana suhu kabin dalam jentera perlumbaan boleh mencecah hingga 50 darjah celsius.

“Oleh itu persediaan dari segi mental, fizikal, latihan mencukupi memainkan peranan dan perlu kekal berstamina,” katanya yang akan memastikan beratnya kekal ideal, iaitu sekitar 55 kilogram.

Katanya, jadual yang sentiasa padat, termasuk setiap hujung mempunyai perlumbaan membuatkannya menetapkan disiplin untuk bersenam di gimnasium supaya kekal sihat.

“Bagi saya kecantikan kita perlu penjagaan setara dari dalam dan juga luaran. Misalnya saya berhati-hati dalam pemilihan makanan, selain tidak mengambil makanan bergoreng dan pedas.

“Selain itu kulit dibersihkan setiap hari menggunakan produk penjagaan wajah. Apabila keluar rumah krim pelindung matahari tidak pernah dilupakan,” katanya yang begitu mengagumi pemandu kereta lumba Jepun, Nobuteru Taniguchi.

Berita Harian X