Selasa, 5 March 2019 | 5:34pm
KETUA Eksekutif Pusat Kecemerlangan Sains Data (CADS), Sharala Axryd. - Foto Owee Ah Chun.
KETUA Eksekutif Pusat Kecemerlangan Sains Data (CADS), Sharala Axryd. - Foto Owee Ah Chun.

Wanita dalam bidang sains dan teknologi masih kurang

KUALA LUMPUR: Pembabitan wanita dalam industri kejuruteraan, sains dan teknologi hanya 28 peratus berbanding lelaki, jurang yang perlu diperbaiki bagi membolehkan mereka lebih bersaing dalam mengembangkan kerjaya.

Ketua Eksekutif Pusat Kecemerlangan Sains Data (CADS), Sharala Axryd, berkata penyertaan lebih ramai wanita diperlukan bagi membantu menyeimbangkan hak kesamarataan dalam bidang berkaitan.

Beliau berkata, kajian menunjukkan kurangnya idea dan perspektif wanita turut mengehadkan program inovasi bagi menjana ilmu dan teknologi baharu.

“Bagi menangani jurang perbezaan itu, CADS menjalin kerjasama pintar dengan Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia (NAWEM) bertujuan menggalakkan lebih ramai graduan menyertainya.

“Kerjasama diterjemahkan pada perjanjian persefahaman MoU di antara kedua-dua pihak menerusi pelancaran ‘Data for Her’`, program khusus menggalakkan pembabitan wanita dalam bidang berkaitan sains data,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Masa Depan Pekerjaan berlangsung di sini, hari ini.

Kerjasama CADS dan NAWEM, memberi pendedahan awal kepada pelajar peringkat sekolah dan universiti mengenai bidang lapangan berasaskan sains dan teknologi perlu mereka ceburi.

Pendedahan itu kata Sharala, penting bagi mengurangkan jurang antara lelaki dan perempuan dalam bidang berkenaan.

selain membolehkan semua pihak berkongsi pengalaman dan kepakaran untuk dimanfaatkan bersama.

Data itu katanya, mencatatkan pembabitan lelaki di Asia Pasifik pada program Program Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada kadar 75 peratus. Situasi sama di negara ini, peratus lelaki 72 peratus dan selebihnya adalah wanita.

“Pada 2015 wanita berijazah adalah separuh daripada graduan bidang kejuruteraan dan teknologi. Pada 2018 menyaksikan graduan bidang sains dan teknikal paling ramai menganggur,” katanya.

Sementara itu, Presiden NAWEM, Sarojini Ruth Rajahser, berkata dalam Forum Ekonomi Sedunia tahun lalu melaporkan wanita mengalami tiga juta kehilangan pekerjaan tetapi hanya 0.55 juta mendapat kerja semula.

Presiden NAWEM, Sarojini Ruth Rajahser. - Foto Owee Ah Chun.
Presiden NAWEM, Sarojini Ruth Rajahser. - Foto Owee Ah Chun.

Melihat situasi ini, beliau berkata, pihaknya bangga melancarkan Data For Her pada persidangan ini dan berbesar hati menjalin kerjasama untuk meningkatkan jumlah wanita dalam industri teknologi.

“Persidangan ini sebahagian inisiatif NAWEM yang prihatin terhadap isu ketidakseimbangan jantina dalam sektor pekerjaan dan kaedah menanganinya.

“Bagi tempoh tiga tahun pertama, CADS membina rangkaian dalam bidang sains data. Kami bertindak sebagai mentor, berkongsi idea dalam setiap projek pembangunan.

“NAWEM pula bertindak membawa profesional dalam bidang industri dan institusi pengajian tinggi untuk berkongsi idea dan kepakaran untuk dimanfaatkan,” katanya.

Berita Harian X