Khamis, 14 March 2019 | 4:52pm
Antara batik dari negara luar yang dijual di Arked Jalan Tuanku Abdul Rahman. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Lambakan batik negara jiran, gugat industri tempatan

KUALA LUMPUR: Batik dari Indonesia dijual secara berleluasa di sekitar pusat tumpuan membeli-belah sepanjang Arked Jalan Tuanku Abdul Rahman, termasuk di dalam bangunan Medan MARA yang sepatutnya mempromosikan barangan keluaran usahawan tempatan.

Batik negara jiran itu kebanyakannya dijual dalam bentuk baju siap untuk lelaki dan wanita, selain kain ela atau sarung, membuktikan batik tempatan seolah-olah di anak tiri manakala produk luar diangkat sehingga masyarakat sendiri tidak dapat membezakan mana satu keluaran tempatan.

Lebih mengecewakan, batik tempatan seolah-olah ‘dilacurkan’ apabila motifnya bukan sahaja ditiru, malah dijual pada harga jauh lebih murah sehingga mengancam perkembangan industri batik tempatan.

Fenomena itu dibimbangi boleh mencemar imej estetika batik tempatan di mata pelancong kerana kebanyakan batik ‘tiruan’ itu tidak berkualiti dan menguasai pasaran khususnya di sekitar pusat beli-belah.

Tinjauan BH mendapati peminat material itu mampu membeli material bermotifkan batik ciplak yang dijual pada harga RM25 hingga RM75, secara berleluasa oleh peniaga luar.

Kebanyakan peniaga ditemui memberitahu, batik dari Indonesia dan Korea lebih murah dan mendapat sambutan pembeli berbanding batik tempatan.

Di beberapa kedai di situ turut menjual pelbagai jenis batik, malah koleksi untuk Syawal juga sudah ada

Batik dari Bali, Indonesia dan Korea menggunakan kain kapas dengan warna pastel bagi yang mengikut peredaran zaman.

Sebelum ini BH melaporkan mengenai keunikan batik Malaysia terancam berikutan kecenderungan pengusaha dari negara jiran menciplak rekaan dan motif tempatan pada produk keluaran mereka.

Lambakan batik dari Indonesia, China, Korea dan Thailand dipasarkan secara berleluasa di negara ini bagi mengaburi mata dan menarik minat pembeli tempatan.

Dijual murah

Walaupun material kain tidak sama dengan kualiti tempatan, kebanyakan pengguna memilih batik luar memandangkan harga ditawarkan jauh lebih murah berbanding batik tempatan asli dari Kelantan dan Terengganu.


Antara batik dari negara luar yang dijual di Arked Jalan Tuanku Abdul Rahman. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Pengilang dan pembekal batik asli Kelantan, mahu dikenali sebagai Nasrul, berkata beliau yang baru bulan lalu membuka kedai di Jalan TAR, tidak menafikan kemasukan batik luar seperti Indonesia memberi impak terhadap batik tempatan.

Generasi kedua pengilang batik berasal dari Pantai Cahaya Bulan, Kelantan ini, berkata bagi peminat batik mereka pastinya dapat membezakan mana batik tempatan dan luar.

“Corak tempatan lebih kosong dan ringan dengan motif kuntuman bunga dicampur dengan elemen abstrak.

“Batik Indonesia umpamanya lebih sarat dengan corak dan warna berbeza. Cuma, saya lihat trend batik di jual di sini cuba meniru batik tempatan dengan meletakkan batu dan warna lembut,” katanya.

Beliau berkata, batik asli Kelantan dijual pada harga antara RM180 sehingga RM350 mengikut jenis fabrik.

Katanya, harga batik meningkat walaupun bukan setiap tahun berikutan ia ditentukan dengan kadar pertukaran wang asing.

“Ini kerana bahan mentah dan pewarna diimport dari China dan dibeli dengan kadar mata wang dolar,” katanya.

Peniaga batik asli Terengganu, yang enggan namanya disebut berkata, beliau antara dua peniaga batik asli yang menjual batik Terengganu.

Katanya, batik jualannya laris dibeli kakitangan awam untuk digayakan setiap Khamis, selain menerima tempahan daripada peminat setia batik yang dijual harga borong.

“Tidak ramai yang menjual batik asli di kawasan ini. Kebanyakan adalah motif dan batik luar.

“Harga jualan batik asli antara RM130 untuk batik kain kapas bagi harga borong dan untuk sutera asli, dijual dengan harga RM130 hingga RM300 ke atas.

Ada peminat tersendiri

“Walaupun beraneka jenis batik memasuki pasaran negara, kami sudah ada peminat tersendiri disebabkan faktor kualiti fabrik sejuk serta motif menarik,” katanya.

Seorang peniaga dari Surabaya, Indonesia, hanya mahu dikenali sebagai Kak Ana, berkata batik luar seperti Indonesia sudah lama berada di pasaran tempatan.


Antara batik dari negara luar yang dijual di Arked Jalan Tuanku Abdul Rahman. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Kak Ana sudah lama berniaga kain pasang di Jalan Masjid India, berkata beliau tidak menjual batik tempatan kerana harganya sangat tinggi dan tidak mendapat sambutan pelanggan.

“Saya hanya jual batik Indonesia dan ada batik corak tempatan tetapi bukan asli.

“Untuk Syawal ini, sudah ada pelanggan tempatan menempah batik Indonesia untuk persiapan hari raya nanti dan menunggu stok bagi beberapa lagi rekaan baru,” katanya menjual kain ela dengan harga RM25 hingga RM75 untuk batik ciplak.

Peniaga batik Jalan TAR, Ida dari Sumatera, Indonesia berkata, batik antara fabrik yang mendapat perhatian pelanggan.

“Syawal ini sudah ada beberapa corak kami jual. Kami tidak menjual batik asli kerana harganya mahal.

“Batik yang ada di jual ini adalah batik dengan corak baharu dan bukan asli,” katanya yang memberitahu harga sepasang kain batik untuk empat meter dijual pada harga tidak sampai RM100.

Berita Harian X