Ahad, 17 March 2019 | 10:00am
Golongan cacat pendengaran, ibu tunggal antara insan manfaat khidmat e-hailing. - Foto NSTP
Golongan cacat pendengaran, ibu tunggal antara insan manfaat khidmat e-hailing. - Foto NSTP

Rezeki halal si pemandu Grab

SUBANG JAYA: Kekurangan diri sebagai orang kurang upaya (OKU) yang cacat pendengaran sejak lahir tidak menghalang, Nur Farah Azyra Johan, 37, mencari rezeki halal memilih bidang yang kebanyakan masa perlu berkomunikasi dengan ramai orang.

Kecekalan wanita berstatus ibu tunggal kepada dua cahaya mata yang masing-masing berusia lapan dan 12 tahun, ini cukup mencabar keterbatasan diri apabila memilih menyertai perkhidmatan e-hailing, Grab kira-kira enam bulan.

Bagaimanapun, keputusan beralih kerjaya dari seorang juruwang di kedai serbaneka ternyata memberi lebih kepuasan serta membolehkannya bekerja dalam persekitaran fleksibel dan kondusif.

“Pada mulanya, saya sendiri tidak yakin apabila perlu bersama-sama dengan orang yang tidak dikenali ketika memandu, tetapi lama-kelamaan dapat menyesuaikan diri kerana kebanyakan penumpang tidak melihat kekurangan ini sebagai batasan atau persepsi negatif.

“Paling menggembirakan saya sendiri boleh mengaturkan waktu bekerja setiap hari, malah mudah merancang masa cuti terutama untuk pulang ke Kedah bagi menemui anak-anak yang dijaga ibu di sana,” katanya yang dibantu penterjemah bahasa isyarat kepada BH Online.

Nur Farah Azyra antara puluhan atau ratusan pemandu Grab cacat pendengaran yang menggunakan platform itu sebagai punca pendapatan, sekali gus membolehkan mereka memperoleh kepuasan itu dan masa kerja fleksibel.

Nur Farah Azyra cari rezeki halal memandu Grab walaupun cacat pendengaran sejak lahir.
Nur Farah Azyra cari rezeki halal memandu Grab walaupun cacat pendengaran sejak lahir.

Menceritakan mengenai perceraian dengan suaminya kira-kira tujuh tahun lalu, beliau mengakui itu menjadi cabaran berikutan perpisahan itu memaksa mencari pekerjaan hingga membawanya ke ibu negara, sekali gus menjadi titik tolak bekerja dengan berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dahulu agak sukar untuk memohon cuti tambahan. Ketika itu saya belum mempunyai kenderaan, jadi pulang menjenguk anak sangat jarang kerana perlu mengambil cuti panjang atau menumpang kereta abang.

“Keadaan lebih baik apabila memilih bidang e-hailing yang membolehkan saya memiliki kenderaan sendiri untuk kegunaan bekerja dan mempunyai waktu kelapangan pulang ke rumah keluarga di Kedah pada bila-bila masa,” katanya yang tinggal di Damansara Damai di sini.

Misalnya, beliau memilih jam 5 pagi hingga 8 pagi untuk memulakan rutin pagi dan berehat hingga tengah hari, sebelum kembali bekerja antara jam 5 petang hingga 11 malam hampir setiap hari.

“Sememangnya, masa fleksibel ini sangat santai dan saya gembira berjumpa dengan ramai orang dan kebiasaan penerimaan penumpang begitu positif serta tidak kisah jika diminta duduk di kerusi hadapan berbanding di belakang seperti kelaziman mereka.

“Kebanyakan pelanggan saya individu istimewa berikutan sudah tertera di aplikasi. Mereka cuba berinteraksi dengan bahasa isyarat atau menaip perkataan di telefon bimbit jika kedua-dua tidak memahami satu sama lain,” katanya yang menyimpan flash card bahasa isyarat dalam kenderaannya.

Berbeza Dayang Norhafizah Ahmad, 31, beliau antara orang lama dalam e-hailing berikutan menyertai perkhidmatan itu sejak Februari 2016 selepas beralih bidang dari jurujual kepada pemandu wanita.

Dayang Norhafizah pernah membuat lebih 4,000 perjalanan dalam tempoh tiga tahun.
Dayang Norhafizah pernah membuat lebih 4,000 perjalanan dalam tempoh tiga tahun.

“Sebenarnya pelbagai pekerjaan pernah dilakukan, termasuk menjual produk perbankan, kerja amal dan mempromosikan menu makanan baru kepada orang ramai, namun pendapatan tidak berbaloi dengan kepenatan yang dirasainya.

“Dengan memilih Grab saya hanya bekerja pada masa tertentu dan boleh mencapai pendapatan maksimum bergantung kepada tahap kerajinan.

“Misalnya, saya pernah membuat lebih 4,000 perjalanan dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya yang berasal dari Kuching dan dinobatkan pemandu Grab cemerlang.

Berita Harian X