Selasa, 11 Jun 2019 | 10:03am

Si Manis 21 penyeri Pasar Awam Maharani

MUAR: Kelibat seorang gadis ranggi dengan muka bersolek dan bibir merah ketika berniaga daging di Pasar Awam Maharani, di sini, menarik perhatian ramai.

Ketika gadis lain lebih cenderung menceburi pekerjaan yang ‘glamor’ dengan persekitaran selesa, si manis 21 tahun ini memilih bekerja di pasar apabila mengambil alih perniagaan jualan daging.

Shazzatul Nahaqda Suleiman mengambil keputusan bekerja di pasar itu sejak dua tahun lalu apabila mengambil alih sepenuhnya perniagaan yang sebelum ini diusahakan oleh bapanya, Suleiman Mohd Yatim, 50.

Menjadi generasi ketiga yang berniaga daging di pasar itu, Shazzatul Nahaq atau lebih dikenali sebagai Adah mengakui pada mulanya teragak-agak untuk mengambil alih perniagaan itu.

Beliau yang memiliki Diploma Kejuruteraan Binaan dari Kolej Vokasional, berkata pada awalnya beliau malu berniaga di pasar, tambahan lagi tidak ramai wanita berniaga di pasar terbabit.

Katanya, pembabitannya juga pada mulanya boleh dianggap sebagai paksaan sebelum minat mula bercambah menyebabkan beliau nekad memberikan tumpuan kepada perniagaan bapanya.

“Sebenarnya ketika belajar di Tingkatan Dua, saya dan kakak pada mulanya seperti dipaksa oleh abah untuk membantunya di pasar, terutama ketika waktu sibuk menjelang Aidilfitri.

“Pada mulanya saya malu untuk berniaga di pasar dan suasana pasar juga merimaskan sehingga selama seminggu juga saya tidak berselera makan kerana tidak tahan bau busuk di pasar.

“Ketika itu tugas saya hanya membantu membuka plastik bagi mengisi daging yang siap dipotong dan abah bayar upah RM30 sehari,” katanya.

ADAH memotong bahagian daging yang ditempah pelanggan sempena Aidilfitri di Pasar Awam Maharani, Muar. - Foto Adi Safri
ADAH memotong bahagian daging yang ditempah pelanggan sempena Aidilfitri di Pasar Awam Maharani, Muar. - Foto Adi Safri

Sambung legasi keluarga

Bagaimanapun, sejak itu beliau mula membantu bapanya setiap kali cuti sekolah atau ketika perayaan sebelum minat berniaga mula menebal.

Katanya, selang dua tahun kemudian ketika belajar di Tingkatan Empat beliau tekad untuk mengambil alih perniagaan bapanya dan mula berminat berniaga.

Beliau berkata, berbanding tiga lagi adik-beradiknya termasuk satu-satunya anak lelaki yang baru berusia 10 tahun, Adah rasa tiada orang lain lagi yang boleh mewarisi perniagaan itu.

“Saya mengaku pada mulanya tidak berminat berniaga jual daging tetapi lama-kelamaan minat mula menebal dan sekarang saya nekad mahu menceburi bidang ini secara serius. Saya rasa sebati dengan perniagaan ini.

“Melihat minat yang ditunjukkan, abah mula mempercayai kemampuan saya dan banyak mengajar selok-belok perniagaan. Malah, dalam tempoh singkat, saya tahu semua aspek termasuk teknik memotong daging dan jenis daging.

“Saya rasa sudah menjadi tanggungjawab untuk memastikan kesinambungan legasi keluarga, malah saya semakin bersemangat untuk memajukan perniagaan ini.

Adah berkata, selepas menamatkan pengajian peringkat diploma, beliau mengambil keputusan untuk mengambil alih sepenuhnya perniagaan bapanya.

Katanya, kini bapanya hanya memantau perniagaan mereka dan menumpukan perhatian untuk mencari stok lembu yang diperoleh di sekitar daerah ini sehingga luar Johor.

“Abah bagi 100 peratus kepercayaan kepada saya, cuma sesekali dia akan pantau dan tanya mengenai hasil jualan, sebarang masalah atau stok daging,” katanya.

ADAH melayan pelanggan di Pasar Awam Maharani, Muar. - Foto Adi Safri
ADAH melayan pelanggan di Pasar Awam Maharani, Muar. - Foto Adi Safri

Dulu ‘tomboy’

Adah yang dibantu tiga pekerja berkata, beliau juga mengikuti kursus keusahawanan bagi melengkapkan pengetahuan dalam bidang itu, selain berusaha meneroka peluang baharu dalam perniagaan.

Ditanya mengenai langkahnya mengenakan solekan termasuk memakai bulu mata palsu ketika berniaga di pasar, Adah berkata, ia menjadi caranya sendiri dan beliau rasa semua wanita perlu sentiasa cantik ketika keluar bekerja.

“Sebenarnya masa kecil dulu perwatakan saya ‘tomboy’ dan kasar tetapi selepas belajar di sekolah menengah, mula berubah apabila melihat kakak sentiasa cantik menyebabkan saya juga mahu jadi sepertinya.

“Kakak saya belajar kelas andaman dan saya melihat dia sentiasa cantik. Daripada situ saya juga mula belajar bersolek. Kini, saya rasa kalau bibir tidak memakai gincu rasa hilang keyakinan diri.

“Bersolek sudah menjadi cara saya. Saya sentiasa menjaga penampilan diri. Ini juga menjadi cara terapi diri. Saya tidak kisah mengeluarkan perbelanjaan untuk alat solek, malah setiap bulan saya akan pergi ke spa dan salun,” katanya.

Walaupun kerja di pasar sahaja, sepatut wanita lain juga perlu tampil cantik sama seperti perempuan lain yang bekerja di pejabat.

“Ibu saya tidak kisah saya pakai cantik untuk ke pasar, dia selalu mengusik kata seperti artis ke pasar,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X