Rabu, 12 Jun 2019 | 9:59am
Noredawati (kiri) menerima sumbangan tudung dan selendang daripada penderma di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Kumpul tudung edar untuk tahfiz wanita

KUALA LUMPUR: Sukarelawan solo, Noredawati Zulkifli, 37, menyasarkan mengumpul tudung dan selendang pelbagai rekaan untuk diedarkan kepada pelajar tahfiz wanita, yang tinggal di madrasah sekitar Lembah Klang.

Noredawati memulakan kutipan tudung dan selendang sejak dua bulan lalu untuk diserahkan kepada pelajar hafizah di Madrasah Al-Yamani, Kampung Baru, dekat sini.

Katanya, program amal dinamakan BerbagiShawl.com itu memberi peluang kepada mereka yang tinggal di madrasah itu, meningkatkan keyakinan diri sekali gus membuang rasa rendah diri dengan rakan sebaya lain.

Beliau yang juga perunding kecantikan bebas berkata, memahami naluri dan keinginan remaja wanita yang juga ingin tampil cantik dan mengikut aliran fesyen terkini, beliau mendapat idea menawarkan khidmat bakti dengan kemahiran yang beliau miliki dalam bidang kecantikan, rundingan imej dan fesyen.

“Walaupun tinggal di madrasah dan fokus utama menghafal al- Quran, saya melihat remaja ini sama seperti remaja lain, mempunyai keinginan untuk tampil cantik kerana ada naluri kewanitaan.

“Justeru, saya dapat idea untuk mengutip selendang atau tudung terpakai untuk membantu menampilkan imej segar yang diimpikan remaja, terutama bagi yang tidak berkemampuan.

Noredawati mendapat idea untuk mengutip selendang atau tudung terpakai untuk membantu menampilkan imej segar yang diimpikan remaja, terutama bagi yang tidak berkemampuan. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

“Setiap Sabtu jika ada kelapangan, saya akan datang ke madrasah untuk memberi ceramah kecantikan, rundingan dan pemakaian selendang mengikut aliran kepada mereka.

“Mereka hanya tampil dengan imej ini ketika berada di dalam madrasah,” katanya.

Beliau berkata, idea sama dirancang untuk dilaksanakan pada masa akan datang kepada anak tahfiz perempuan di luar negara, seperti Thailand, dan Kemboja.

“Biasanya remaja yang belajar di tahfiz ini susah dan tiada wang untuk tampil bergaya serta menjaga kecantikan.

“Saya berharap impian untuk menggembirakan anak tahfiz ini dapat dilakukan di negara seperti Thailand dan Kemboja, bagi meningkatkan keyakinan mereka serta memberi sedikit keceriaan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, kerja amal dilakukan itu walaupun berseorangan dan tidak mendapat peruntukan daripada mana-mana pihak, sebaliknya ia sebagai terapi diri dan khidmat bakti.

Setakat ini, tugasan seperti mengutip sumbangan di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya, memilih tudung masih elok, membasuh dan membalut dengan plastik baharu dilakukan sendiri, tanpa bantuan mana-mana pihak.

“Saya anak yatim piatu. Ditambah rasa sunyi kerana masih tidak dikurniakan anak walaupun sudah tujuh tahun berkahwin, jadi apabila dapat melakukan sedikit kerja amal ini, rasa gembira dan tenang.

“Saya rasa seronok dapat menceriakan remaja itu. Ada kala rasa rendah diri apabila berhadapan masyarakat, kerana ada yang anggap mereka kolot.

“Jadi saya isi kegembiraan dengan beri rundingan ilmu kecantikan dan berfesyen kepada mereka,” katanya.

Noredawati juga mengalukan kerjasama bersama mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk khidmat bakti ini.

“Walaupun saya ada kerjaya yang perlu diberi perhatian, saya gembira dapat mencuri sedikit masa untuk anak hafizah ini.

“Saya harap kerja amal ini diperluaskan kepada anak yatim, wanita susah dan ibu tunggal yang pastinya mengimpikan untuk tampil cantik dengan imej berbeza,” katanya.

Berita Harian X