Jumaat, 16 Ogos 2019 | 5:47pm

Lapor jika berlaku diskriminasi pilih pekerja bertudung

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia perlu meneliti secara menyeluruh pendekatan antidiskriminasi dalam pindaan Akta Kerja 1955 bertujuan melindungi pekerja dan pemohon baharu daripada sebarang diskriminasi.

Justeru, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa ia direalisasikan seperti matlamat asal kementerian itu yang mahu meminda dasar gender, agama, kaum, kelainan upaya, status kahwin, wanita mengandung dan bahasa pertuturan.

Pengarah Eksekutifnya, Sumitra Visvanathan, berkata pihaknya berharap pindaan akta itu tidak menyisihkan pemohon kerja bagi mengekang sebarang bentuk diskriminasi ketika pengambilan kerja daripada terus berleluasa.

Katanya, tanpa pindaan itu, diskriminasi pekerjaan akan sewenang-wenangnya berlaku berikutan pemohon kerja tidak dilindungi undang-undang antidiskriminasi tambahan pula penyisihan terbabit sering berlaku ketika fasa pengambilan kerja.

“Menerusi kaji selidik dilakukan WAO, kira-kira 40 peratus wanita melaporkan mereka disoal oleh penemuduga sama ada mereka sedang atau merancang untuk mengandung sebagai antara penilaian bagi keputusan pengambilan kerja.

“Malah ada kes yang melaporkan hotel mengenakan larangan bertudung terhadap pekerja wanita di bahagian menyambut tetamu.


SUMITRA Visvanathan

“Diskriminasi seumpama ini kerap berlaku ketika fasa pengambilan pekerja, kerana wanita Islam yang memakai tudung sewaktu temu duga tidak diterima bekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasrat membuat pindaan itu diumum Kementerian Sumber Manusia pada September tahun lalu, yang antara matlamatnya meminda Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak.

Bagaimanapun, baru-baru ini kementerian difahamkan menyisihkan pemohon kerja daripada peruntukan antidiskriminasi seperti diumumkannya pada hari terbukanya.

Menterinya, M Kulasegaran menyebut kementeriannya berhasrat berbincang dengan semua pihak berkepentingan dalam isu pindaan Akta Kerja berkenaan.

WAO berkata, selain bimbang jika penyisihan itu diteruskan, pihaknya khuatir ia akan menjadikan peruntukan antidiskriminasi semakin lemah yang dilihat memberi kesan negatif kepada beribu-ribu pemohon kerja saban tahun.

“Justeru, kami menggesa kementerian memasukkan kembali istilah pemohon kerja ke dalam peruntukan terhadap pindaan undang-undang itu,” katanya.

Daripada kaji selidik dan laporan media jelas mengetengahkan pelbagai bentuk diskriminasi atas dasar perkauman dan faktor lain semasa pengiklanan kerja dan fasa temu duga.

“Dalam hal ini, pemohon kerja yang didiskriminasi langsung tidak dapat menuntut keadilan melainkan jika kementerian memasukkan istilah pemohon kerja ke dalam peruntukan antidiskriminasi yang bakal dipinda.

Berhubung desas-desus itu, Kementerian Sumber Manusia berkemungkinan memasukkan senarai faktor diskriminasi iaitu gender, agama, kaum, kelainan upaya dan lain-lain ke dalam peraturan berasingan sekali gus memisahkannya daripada pindaan Akta Kerja.

“Oleh itu, kita menggesa pihak kementerian agar mengekalkan senarai faktor diskriminasi terbabit dalam Akta Kerja kerana akta sifatnya lebih kekal dan kukuh berbanding peraturan yang berbentuk prosedur,” katanya.

Dalam perkembangan lain, dengan adanya undang-undang antidiskriminasi, ia dilihat berupaya memastikan pekerja diambil berdasarkan kelayakan dan bukan atas dasar prejudis atau berat sebelah.

“Mungkin ada sesetengah pihak berpendapat majikan berhak memilih sesiapa sahaja yang mereka suka dan undang-undang antidiskriminasi hanya akan menjejaskan merit pekerja yang mereka ambil.

“Tetapi hakikatnya, undang-undang antidiskriminasi inilah yang dapat memastikan pekerja diambil berdasarkan kelayakan mereka dan bukan atas dasar prejudis atau berat sebelah,” katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh, kajian oleh penyelidik di Cornell University mendapati wanita yang mempunyai anak sering dianggap kurang kompeten dan komited berbanding wanita tanpa anak meskipun mereka mempunyai kelayakan yang sama.

“Ini bererti diskriminasi terhadap pekerja wanita itu diketepikan meskipun mereka berpotensi tinggi untuk naik pangkat atau sebagainya. Keadaan mungkin bertambah buruk, jika peruntukan antidiskriminasi yang dicadangkan kementerian berkenaan membenarkan pengecualian kepada pemohon yang mempunyai ciri diperlukan secara khusus.

“Sebagai contoh, jika kerja yang dipohon memerlukan fasih dalam suatu bahasa, maka pengambilan pekerja berdasarkan kriteria itu tidak dianggap diskriminasi, tetapi majikan perlu membuktikan kefasihan bahasa adalah ‘ciri khusus’ bagi pekerjaan yang dimaksudkan,” katanya.

Sementara itu, negara seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan Afrika Selatan mempunyai undang-undang kerja yang melarang diskriminasi sepanjang fasa permohonan kerja dan ketika menjadi pekerja, wajar dicontohi Malaysia.

“Tidak hanya itu, Hong Kong dan United Kingdom juga mempunyai undang-undang antidiskriminasi khusus bagi melindungi pemohon kerja dan pekerja daripada bermacam-macam bentuk diskriminasi.

“Oleh itu, Malaysia sepatutnya mengambil langkah positif bagi memastikan pemohon kerja dilindungi daripada semua bentuk diskriminasi,” katanya.

Berita Harian X