Khamis, 22 Ogos 2019 | 10:16am
Pelantikan Mohaiyani (dua dari kiri) sebagai Pengerusi Maybank mulai 1 April 2017, mengiktiraf beliau sebagai wanita pertama menggalas jawatan di institusi perbankan tempatan terbesar di negara ini.

Lonjak prestasi kakitangan wanita

KUALA LUMPUR: Kumpulan Malayan Banking Bhd (Maybank) antara institusi perbankan tempatan yang sudah mencapai kuota 30 peratus kakitangan wanita sebagai pembuat keputusan, sejak 2017.

Pengerusinya, Datuk Mohaiyani Shamsudin, berkata, inisiatif ‘mesra wanita’ yang ditawarkan institusi berkenaan melonjakkan prestasi golongan itu memacu kerjaya mereka ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, 55 peratus daripada lebih 43,000 kakitangannya adalah dalam kalangan wanita yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan Maybank selama ini.

Kakitangan wanita dalam pengurusan atasan meningkat kepada 32 peratus pada Disember lalu berbanding 31 peratus pada 2017.

“Maybank antara organisasi swasta yang mencapai 36 peratus ahli lembaga dalam kalangan wanita pada Disember lalu.

“Pemilihan pengarah wanita ini juga berdasarkan keupayaan profesional mereka untuk meningkatkan kualiti kerjaya dan membawa kepada hasil yang lebih baik kepada Maybank dan bukan sekadar mencukupi kuota.

“Mereka ada bakat dan keupayaan diri memegang jawatan penting di Maybank,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, penyertaan wanita dalam pengurusan turut meningkat kepada 46 peratus pada Disember lalu berbanding 45 peratus pada 2017 memperlihatkan prestasi dan bakat kakitangan wanita di Maybank semakin menyerlah.

“Kakitangan wanita kami juga diberikan sokongan pembangunan, pandangan ke arah kepemimpinan kanan dan dapat memperjuangkan pembangunan kerjaya mereka melalui Program Pemimpin Wanita yang Mempelopori (AWLP), terdiri daripada 35 pemimpin wanita berpotensi tinggi di Maybank,” katanya.

Sejajar usaha berterusan institusi berkenaan menjadikan wanita sebagai salah satu tenaga penting dalam pembangunan berterusan Maybank, pelbagai inisiatif dan program membabitkan wanita diadakan sebagai pemangkin kepada kerjaya.

Katanya, Maybank sentiasa memperkenalkan penyelesaian inovatif mewujudkan persekitaran tempat kerja yang membina bagi manfaat kakitangannya termasuk kakitangan wanita.

“Di Maybank, kita sentiasa prihatin dengan pembangunan kerjaya wanita.Ia menjadi keutamaan kami meringankan setiap bebanan pekerja wanita bagi mengimbangi kerjaya dan keluarga.

“Antara program direncanakan adalah Skim Aturan Kerja Fleksibel (FWA) yang telah diperkenalkan sejak 2013, di mana 68 peratus d aripada jumlah kakitangan yang mengambil inisiatif ini pada 2018,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

FWA antara lain memberi kelonggaran dalam tempoh, tempat dan waktu bekerja. Hakikatnya inisiatif itu bukan elemen baharu bagi organisasi pengurusan fasiliti yang mengamalkan tempat bekerja anjal atau fleksibel waktu bekerja.

Di beberapa negara luar seperti United Kingdom, Ireland, Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia, FWA bukan lagi asing dalam dunia pengurusan, malah amalan inisiatif itu kini sudah menular kepada organisasi di Hong Kong.

Menerusi amalan itu, pekerja diberi kebebasan memilih tempat, cara dan waktu bekerja tetapi dalam masa sama mereka harus memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan oleh organisasi masing-masing.

“Seiring itu, kami memperkenalkan polisi cuti bersalin dan menjadi institusi kewangan pertama di negara ini menawarkan Cuti Bersalin Berpanjangan sehingga 365 hari (dengan gaji berubah), cuti sabatikal dan cuti ibu bapa sejak 2017,” katanya.

Mohaiyani berkata, polisi itu adalah komitmen Maybank sejajar usaha berterusan bagi menginsankan pengurusan manusia.

“Pada 2018, seramai 303 pekerja melanjutkan cuti bersalin dan 227 pekerja mengambil cuti sabatikal, iaitu cuti minimum dua bulan sehingga 24 bulan dengan jaminan kembali bekerja setelah tamat tempoh cuti.

“Ini bagi membantu pekerja kekal dalam tenaga kerja dan pada masa sama mengambil cuti panjang untuk memastikan keperluan keluarga dijaga,” katanya.

Antara inisiatif lain Maybank mengembalikan wanita dalam tenaga kerja adalah menerusi program Women Career Comeback sebagai sokongan Maybank secara berterusan kepada kakitangan wanita untuk kembali bekerja selepas berhenti seketika menjaga anak atau mengurus ibu ayah yang uzur.

“Pada 2014, Maybank memperkenalkan Jawatankuasa Mentor Wanita Untuk Wanita (WMW) bertujuan meningkatkan pembabitan wanita di peringkat pertengahan, pengurusan kanan dan atasan.

“Inisiatif ini juga digerakkan untuk memastikan Maybank menjadi organisasi yang mempunyai keupayaan strategik tenaga kerja pelbagai termasuk mencungkil bakat wanita dalam menjalankan misi kritikal dan kepakaran termasuk kepemimpinan,” katanya.

Antara lain, Maybank menawarkan kemudahan mesra wanita yang pelbagai kepada kakitangannya termasuk manfaat mesra keluarga, Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Maybank, bilik penyusuan, gimnasium untuk wanita dan pelbagai lagi program berkaitan kesihatan dan penjagaan diri.

“Pusat Penjagaan Anak ‘Maybank Tiger Cubs ‘ (MT3C), adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, beroperasi sejak 2014.

“Ia membantu pekerja yang mengalami krisis kecemasan membabitkan penjagaan kanak-kanak supaya dapat bekerja dengan lebih tenang dengan menempatkan anak mereka di MT3C,” katanya.

Sebagai motivasi kepada pekerja, insentif seperti faedah perubatan keluarga, anugerah kecemerlangan akademik kanak-kanak, subsidi penjagaan kanak-kanak termasuk bantuan pendidikan tinggi untuk kanak-kanak disalurkan kepada pekerja yang layak.

Beliau berkata, tidak dinafikan antara cabaran wanita bekerjaya zaman ini adalah mengimbangi antara kerjaya dan komitmen terhadap keluarga.

Katanya, ramai wanita berkerjaya di negara ini terpaksa mengorbankan kerjaya stabil mereka untuk menjaga anak dan keluarga termasuk ibu bapa yang uzur.

“Jika melihat masa lalu, saya bernasib baik kerana ketika itu mempunyai ibu bapa yang membantu menguruskan keluarga kerana mereka sudah pun bersara.

“Tetapi hari ini saya bersimpati dengan ramai wanita berkerjaya yang tidak mempunyai akses sokongan untuk mengekalkan mereka dalam tenaga kerja,” katanya.

Wanita memiliki kebolehan, kemahiran, bakat, kerjaya dan mereka seharusnya dalam 30 peratus kelompok wanita berada di peringkat pembuat keputusan mahupun polisi.

Berita Harian X