Sabtu, 24 Ogos 2019 | 6:39pm
Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh (tiga dari kiri) bersama Presiden NCWO, Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (dua dari kiri) serta Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen menekan butang sebagai gimik pelancaran pada Seminar Wanita dan Pelaburan anjuran Bursa sempena Hari Wanita 2019, di Bursa Saham. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Kursus pra-perkahwinan pasangan bukan Islam

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi membantu pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga memperkukuhkan kedudukan kewangan mereka menerusi program kursus pra-perkahwinan.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh, berkata ketika ini kementerian sedang meneliti silibus diberikan dalam kursus pra-perkahwinan SMARTStart membabitkan pasangan bukan Islam yang disediakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga dan Negara (LPPKN).

Katanya, LPPKN adalah agensi yang melaksanakan program kursus pra-perkahwinan untuk pasangan bukan Islam manakala pasangan beragama Islam menyertai kursus pasca perkahwinan dikendalikan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kita mahu lihat bagaimana mahu memperkasakan komponen hal berkaitan kewangan dan pengurusannya kerana ia boleh menjadi punca kepada tekanan selepas pasangan melayari bahtera rumah tangga.

“Hal kewangan sering menjadi isu dalam hubungan keluarga yang boleh menyebabkan pergaduhan. Apabila pergaduhan antara suami dan isteri tidak ditangani dengan baik, ia pula boleh mengundang perceraian.

“Justeru, pasangan muda perlu ada kemahiran dan ilmu bagaimana mereka boleh menguruskan hal kewangan bersama pasangan masing-masing dengan baik dan apa yang boleh dipelajari menerusi kursus pra-perkahwinan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Wanita dan Pelaburan anjuran Pertubuhan Majlis Wanita Kebangsaan (NCWO) dan Bursa Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen dan Presiden NCWO, Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin.

Bagaimanapun beliau berkata, inti pati silibus berkenaan masih dalam proses kajian semula dan akan dimaklumkan nanti.

“Mereka perlu mempelajari kursus berkenaan kerana banyak pasangan muda yang ingin mengakhiri zaman bujang sanggup berhabisan dan membelanjakan banyak wang ringgit untuk majlis perkahwinan saja.

“Tetapi apabila sudah masuk ke alam rumah tangga, mereka tidak mempunyai kewangan yang baik. Lebih buruk lagi apabila sudah ada tanggungan lain perlu dipikul sekali gus ia menambah tekanan.

“Itu yang kita hendak elakkan. Justeru, kita mahu mereka mulakan sesuatu yang baik ketika mengikuti kursus pra-perkahwinan. Mereka juga boleh didedahkan mengenai bidang pelaburan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yeoh berkata, wanita hari ini lebih aktif dalam dunia perniagaan tetapi tidak fokus terhadap bidang pelaburan kerana faktor takut rugi.

Katanya, stigma yang berpendapat pelaburan adalah sesuatu yang berisiko tinggi dan mudah membuatkan pelaburnya jatuh rugi perlu dinilai semula.

“Saya juga pernah berpendapat sebegitu. Namun begitu, jika kita mendengar kisah kejayaan wanita lain yang berjaya dalam bidang pelaburan, ia boleh meningkatkan kesedaran dan membuka peluang lebih besar dalam pelaburan,” katanya.

Yeoh berkata, seminar anjuran Bursa Malaysia Berhad dan NCWO yang julung kali diadakan itu adalah platform terbaik mendidik wanita dalam hal membabitkan pengurusan kewangan menerusi bidang saham dan pelaburan sekali gus dapat mengelak masalah perceraian.

“Kita ingin menyarankan program seperti ini wajib diadakan setiap tahun bagi membantu meningkatkan tahap ekonomi wanita dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Hapsah berkata, wanita perlu keluar daripada kepompong itu tanpa bergantung kepada orang lain dan memperkasakan kewangan dengan menceburi bidang pelaburan.

“Ini sesuatu yang baru, selama ini wanita hanya tertumpu kepada sektor keusahawanan saja. Menerusi bidang saham dan pelaburan, wanita berpeluang menambah kewangan.

“Pelaburan membuka ruang baru untuk wanita menguruskan kewangan tanpa bergantung harap orang lain,” katanya.

Berita Harian X