Isnin, 11 November 2019 | 10:30am

Dari suka-suka, jana pendapatan lumayan

MUAR: Bermula sekadar hobi atau suka-suka bagi mengisi masa lapang menghasilkan pelbagai jenis kraftangan seperti sulaman dan bunga manggar yang unik untuk majlis perkahwinan, usahawan Fadilah Lamat mampu menarik nafas lega apabila produknya semakin terkenal sehingga menembusi pasaran antarabangsa.

Rutin harian Fadilah, 52, kini semakin sibuk memenuhi tempahan apabila hasil kreativiti dalam seni gubahan kraftangannya berasaskan reben seperti bunga manggar, bunga telur dan bermacam-macam lagi tidak sahaja dari daerah ini, malah pelanggan di seluruh negara.

"Pada mulanya, semua produk kraf tangan yang dihasilkan ini dibuat untuk 'suka-suka' saja. Kemudian, sekitar 2015, saya menghadiri kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Daerah Muar.

"Dari kursus ini, saya belajar semua berkaitan produk kraf tangan ini dan kemudian mula menghasilkan produk itu dalam kuantiti sedikit dan mengikut mood 'suka-suka' saja.


MENUNJUKKAN cara membuat sulaman kraftangan. - NSTP -Adi Safri

ANTARA tempahan bunga manggar daripada pelanggan menggunakan reben. - Gambar Ihsan.

KEMAHIRAN dalam seni kraftangan dikongsi dengan bersama wanita lain. - Gambar Ihsan

"Bagaimanapun, selepas tempahan produk kraf tangan semakin berkembang dan mendapat pujian daripada mulut ke mulut. Saya menerima banyak permintaan selepas semua produk ini dipromosikan dalam Facebook dan Instagram," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, baru-baru ini.

Fadilah berkata, semua produk kraftangan di bawah jenama produknya, Dla_Craft seperti bunga manggar, bunga telur dan produk berasaskan sulaman reben ini dipelajari daripada tenaga pengajar, kemudian ditambah dengan kreativiti yang ada padanya bagi menghasilkan kelainan dan variasi yang mampu memenuhi kehendak pelanggan.

"Bidang ini memerlukan kreativiti, kalau dapat idea, saya akan cuba buat sedikit demi sedikit. Ada kraftangan dibuat sebagai contoh, apabila ada yang berminat mereka akan buat tempahan.

“Sebenarnya banyak produk yang sama di pasaran, tetapi kita perlu kreatif untuk menjadikan produk berbeza dan unik daripada orang lain. Bunga manggar lazimnya menggunakan kertas pelbagai warna dengan rekaan sama. Tetapi saya menggantikannya dengan kuntuman bunga daripada reben satin yang pelbagai warna.

“Asalnya buat suka-suka untuk majlis perkahwinan adik, kemudian ramai yang tertarik dengan gubahan bunga manggar unik ini. Akhirnya orang tanya dan terus membuat tempahan, semakin hari ramai yang menempah,” katanya.

Beliau mengakui, proses menghasilkan kraf tangan itu agak rumit, tetapi seperti kata pepatah, alah bisa tegal biasa, ia semua dapat disiapkan dalam tempoh yang dikehendaki pelanggan.

"Apabila buat perlukan kesabaran untuk hasilkan produk sempurna Kena gunting, gubah, cantum, kemudian bunga manggar ambil masa untuk siapkan. Sekarang saya semakin pantas dan dapat siapkan sekuntum dalam tempoh 10 minit.

"Sebelum ini, anak perempuan saya, Nurdayana Onn, 24 banyak membantu tetapi kini dia masih belajar dalam jurusan Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM). Hanya bantu saya ketika cuti semester, jika tidak buat seorang diri," katanya.

Fadilah berkata, suaminya, Onn Jaafar, 54, yang juga pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) banyak membantu dari segi mencari bahan mentah untuk produk kraf tangan.

"Suami cari bahan di sekitar Muar, jika tak ada cari hingga ke Nilai, Negeri Sembilan atau di Kuala Lumpur bagi memastikan cita rasa pelanggan dipenuhi.

"Dulu ada pelanggan inginkan bunga telur berwarna 'pink gold' dan warna itu susah nak cari dan terpaksa kami keluar jauh untuk mendapatkan bahan mentah yang mempunyai warna sedemikian. Jauh macam mana pun saya akan usaha cari demi kepuasan pelanggan.

Menariknya, beg sulaman dihasilkan mendapat tempahan dari London, United Kingdom.

“Ada seorang wanita yang tinggal di sana akan buat tempahan untuk dijadikan sebagai cendera hati kepada kenalannya, selain menempah apabila pulang ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata, sambutan yang memberangsangkan membuatkannya bersemangat untuk menghasilkan kraftangan terbaik.

"Saya juga dijemput menjadi tenaga pengajar program berkaitan di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), selain persatuan ibu di sekitar daerah ini.

“Kebanyakan saya mengajar membuat bunga telur. Kini ramai yang boleh membuat dan menjual untuk menambah sumber pendapatan.

“Saya suka mengajar dan berkongsi ilmu terutama generasi muda. Sambil belajar mereka boleh tambah pendapatan dan sulaman reben ini juga ada dalam silibus subjek Kemahiran Hidup Tingkatan Dua,” katanya.

Beliau juga merancang membeli mesin sulaman untuk memudah dan mempercepatkan kerja.

"Ada mesin mudah menyulam pada sarung kusyen, alas meja, tempat menggantung kunci, bingkai untuk ayat al-Quran dan sebagainya, selain diletakkan logo tertentu mengikut tempahan pelanggan.

"Contohnya, ada majlis ‘reunion’ sekolah mahu letakkan logo. Sebelum ini, saya hantar kepada rakan lain untuk sulaman” katanya.

FADILAH menunjukkan hasil kraf, bunga manggar unik berwarna-warni diperbuat daripada reben, di kediamannya, d Sungai Terap, Muar. - NSTP/Adi Safri
Berita Harian X