Jumaat, 31 Januari 2020 | 9:01am
Orang awam mendapatkan khidmat nasihat guaman yang dikendali Jabatan Bantuan Guaman. - Foto hiasan
Orang awam mendapatkan khidmat nasihat guaman yang dikendali Jabatan Bantuan Guaman. - Foto hiasan

Bayaran RM10 dapat bantuan guaman

PUTRAJAYA: Hanya dengan bayaran RM10 rakyat di negara ini boleh menikmati khidmat bantuan guaman disediakan oleh kerajaan menerusi Jabatan Bantuan Guaman (JBG).

Ketua Pengarah Bantuan Guaman, Siti Salwa Musa, berkata khidmat bantuan guaman yang ditawarkan adalah seperti khidmat nasihat, pengantaraan, pendamping guaman dan berguam di mahkamah (litigasi) yang membabitkan perkara sivil, syariah dan jenayah.

Katanya, kes yang paling banyak dikendalikan oleh jabatan ini adalah berkaitan kekeluargaan terutama kes perceraian.

“Biro Bantuan Guaman yang ditubuhkan pada 1970 dijenamakan semula dan kini dikenali sebagai JBG sejak 16 Januari 2010 dan kini mempunyai 22 cawangan di seluruh negara,” katanya kepada BH.

Siti Salwa berkata, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 8 (1), semua individu memiliki hak sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama.

“Bagi mendapatkan hak kesaksamaan di mahkamah, setiap pihak perlu diwakili peguam. Bagi yang kurang berkemampuan mereka boleh mendapatkan khidmat peguam dari JBG.

“Bantuan guaman diberikan bukan dari segi kewangan, tetapi guaman di mahkamah untuk mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Sivil), Mohd Zulbahrin Zainuddin dan Timbalan Ketua Pengarah (Syariah), Muhammad Abdul Karim Wahab.

Siti Salwa berkata, kelayakan seorang pemohon bagi mendapatkan khidmat bantuan guaman ditentukan menerusi ujian kemampuan yang ditetapkan sebelum suatu perakuan bantuan guaman dikeluarkan kepadanya.

Bayaran minimum yang dikenakan mengikut kategori sumber kewangan pemohon yang layak untuk diberi bantuan guaman dan dikenali sebagai sumbangan bagi tujuan menampung kos prosiding orang yang dibantu itu.

Jumlah sumbangan yang perlu dibayar itu kemudian akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Bantuan Guaman bagi maksud mentadbir khidmat bantuan guaman jabatan ini.

Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

“Lebihan bayaran itu akan dipulangkan semula kepada pelanggan selepas semua kos mengendalikan kes ditolak termasuk seperti kos salinan surat dan perjalanan,” katanya.

Beliau berkata, bayaran sumbangan tertinggi dikenakan boleh mencecah RM2,000 sehingga RM5,000 bagi mereka yang berpendapatan RM50,000 ke atas setahun tetapi tidak melebihi RM100,000 setahun.

Beliau berkata, JBG mempunyai 22 cawangan dengan lebih 500 panel peguam di seluruh negara.

Ketika ini usaha untuk menarik lebih ramai peguam swasta untuk berdaftar dengan jabatan ini giat dilakukan supaya bantuan guaman dapat disalurkan kepada masyarakat melalui panel peguam yang dilantik untuk mengendalikan kes orang yang dibantu.

Sementara itu, beliau berkata, kerjasama yang dimeterai antara JBG dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) adalah suatu reaksi positif yang ditunjukkan agensi lain.

“Ia adalah dalam usaha untuk membolehkan lebih ramai orang mendapat manfaat daripada jabatan ini khususnya kepada pelanggan MAIWP dan MAIJ sendiri,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X