Khamis, 6 Februari 2020 | 7:58am
Banyak kes gangguan seksual di tempat kerja belum ditangani sepenuhnya. - Foto hiasan
Banyak kes gangguan seksual di tempat kerja belum ditangani sepenuhnya. - Foto hiasan

Gangguan seksual: Rang undang-undang baharu jadi pelengkap

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Gangguan Seksual yang dijangka dibentangkan pada Mac nanti mampu menjadi pelengkap terhadap ruang lompong yang ada dalam perundangan, khususnya berkaitan gangguan seksual secara siber dan perbuatan itu yang dilakukan terhadap golongan lelaki.

Persatuan Tindakan Semua Wanita (AWAM) melalui kenyataannya berkata, terdapat lagi ruang kosong dalam undang-undang sedia ada membabitkan gangguan seksual yang mana ia hanya menangani isu seperti rogol, serangan seksual dan gangguan seksual di pejabat.

Justeru, katanya melalui penggubalan undang-undang diperjuangkan sejak 18 tahun ini, ia dijangka mampu menyelesaikan lebih banyak kes berkaitan gangguan seksual.

“Ia akan mengisi jurang yang ada dalam undang-undang kini kerana pada masa ini, kanun keseksaan hanya menangani beberapa bentuk gangguan seksual, antaranya rogol dan serangan seksual, manakala melalui Akta Kerja pula, ia merangkumi gangguan seksual di pejabat.

“Bagaimanapun, ia menunjukkan banyak kawasan ‘kelabu’ terutama apabila kita bercakap mengenai gangguan seksual siber yang tidak fizikal yang tidak dipandang sebelum ini.

“Paling penting, rang undang-undang ini juga akan meliputi gangguan seksual terhadap lelaki yang juga adalah jurang yang ketara dalam sistem perundangan sekarang,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggariskan beberapa fokus tahun ini termasuk penambahbaikan dari aspek perundangan seperti penggubalan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual bertujuan memberikan perlindungan kepada semua pihak.

AWAM mengalu-alukan pengumuman itu yang mana ia sebelum ini disenaraikan sebagai salah satu daripada empat komitmen di bawah manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan maruah dan hak wanita.

Keratan akhbar BH 30 dan 31 Disember lalu.
Keratan akhbar BH 30 dan 31 Disember lalu.

Malah, sebagai antara salah satu daripada dua organisasi yang memulakan usaha untuk membangunkan undang-undang berkaitan gangguan seksual pada 1990-an lagi, AWAM komited untuk melihat ia mampu dijayakan.

“Pembentangan rang undang-undang ini adalah kejayaan permulaan selepas berjuang selama lebih 18 tahun untuk mewujudkan Akta Gangguan Seksual.

“Namun, usaha ini harus seiring dengan peningkatan kesedaran bagi memastikan masyarakat dan pihak korporat menerima maklumat yang betul berhubung cara untuk menangani gangguan seksual dan bagi membawanya ke muka pengadilan,” katanya.

Pada tahun lalu, Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG) yang mana AWAM adalah sebahagian daripadanya, turut menyokong pembentukan tribunal untuk gangguan seksual.

Melalui tribunal ini, ia memudahkan mangsa untuk mencari penyelesaian terhadap kes melalui proses yang mudah, murah dan cekap dengan maklumat mangsa dilindungi.

Berita Harian X