X
Selasa, 3 March 2020 | 9:53am
Wan Rusydiah membuat penilaian terhadap pokok sawit Genome Select yang ditanam di Ladang Dusun Durian, Banting pada 2016.
Wan Rusydiah membuat penilaian terhadap pokok sawit Genome Select yang ditanam di Ladang Dusun Durian, Banting pada 2016.

Saintis wanita tulang belakang Sime Darby

SERDANG: Jumlah saintis wanita pada peringkat global hanya kira-kira 30 peratus yang disifatkan masih pada tahap rendah seperti didedahkan Institut Perangkaan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Dalam konteks di negara ini, penyertaan dalam bidang sama juga masih rendah berbanding lelaki.

Di Pusat Kajian dan Penyelidikan Sime Darby Plantation, umpamanya mempunyai lebih 140 saintis dan 52 peratus daripadanya adalah wanita

Justeru, Sime Darby mengiktiraf saintis wanita sebagai tulang belakang dan berperanan penting dalam bidang masing-masing di syarikat terbabit.

Wan Chin, Wan Rusydiah dan Bee Keat (kanan) antara saintis wanita di Pusat Kajian dan Penyelidikan Sime Darby Plantation. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Wan Chin, Wan Rusydiah dan Bee Keat (kanan) antara saintis wanita di Pusat Kajian dan Penyelidikan Sime Darby Plantation. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Penyelidik Kanan Bahagian Pembiakbakaan Kelapa Sawit, Sime Darby Plantation, Wan Rusydiah Wan Rusik, 32, yang bertugas bersama pasukannya bagi menghasilkan baka terbaik untuk tanaman komoditi menganggap kerjaya dalam bidang itu mencabar dan memerlukan komitmen tinggi.

Katanya, antara tanggungjawabnya ialah menentukan baka tanaman sawit melalui proses pembiakbakaan pada 10 tahun lalu dilakukan berterusan bagi mendapatkan hasil terbaik.

“Empat tahun lalu, Sime Darby Plantation sudah memulakan penanaman sawit Genome Select, iaitu kejayaan syarikat itu yang pertama di dunia, pada 2016.

“Ia adalah rentetan kejayaan menyahkodkan genom kelapa sawit menerusi penyelidikan dan kepakaran tempatan, sekali gus berupaya menghasilkan lebih banyak minyak dengan skala ladang sedia ada,” katanya yang kini bekerja di Banting, Selangor.

Bersandarkan minat mendalam dalam dunia sains, gadis dari Kajang, Selangor ini percaya teknologi, penyelidikan dan inovasi adalah penyelesaian tepat sekali gus menonjolkan peranan wanita dalam kemajuan industri berkenaan.

Ia bertepatan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengisytiharkan 11 Februari sebagai Hari Antarabangsa Wanita dan Gadis dalam Sains.

Wan Rusydiah berkata, bekerja dalam bidang yang diterajui lelaki dianggap cabaran positif di samping membuka peluang membuktikan kemampuan dirinya menggalas tanggungjawab dengan baik.

Sepanjang 10 tahun bekerja, beliau yang berkelulusan Sarjana Sains (Genetik dan Pembiakbakaan) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini berjaya membentangkan hasil kajian Sime Darby Plantation di Perancis dan Brisbane, Australia.

“Saya bersyukur mendapat pekerjaan sejurus tamat pengajian, gembira kerana bidang ini membawa sumbangan besar kepada industri perladangan, memberi peluang bekerja berpasukan berikutan sektor komoditi satu rangkaian berantai.

“Setiap baka sawit yang terhasil daripada program pembiakbakaan mengambil masa antara 11 hingga 15 tahun yang mana membabitkan proses kacuk silang, penyemaian benih di tapak semaian sebelum sedia untuk penanaman.

“Proses itu kini dapat dipendekkan dengan teknologi terbaharu seperti pembiakbakaan molekular,” katanya.

Program pembiakbakaan Sime Darby Plantation antaranya membabitkan plot percubaan baka sawit di Sarawak, Sabah, Selangor, Johor, Melaka, Perak dan Negeri Sembilan, manakala di luar negara di Indonesia serta Papua New Guinea.

Ditanyakan mengenai cabarannya, Wan Rusydiah berkata, bekerja dalam bidang dipelopori lelaki memerlukan wanita memahami dan mewujudkan keserasian supaya mudah bekerja dalam satu pasukan.

“Semua itu penting membina kepercayaan kerana kita bekerja dengan pelbagai peringkat pekerja dan memanfaatkan pengetahuan dan kesungguhan bekerja, kerana bekerja berteraskan sains, mengikut teknologi.

“Kepada saintis muda jangan takut untuk menempuh cabaran dan terokai peluang kerana bidang sains adalah menyeluruh, menarik dan merentasi sempadan,” katanya.

Beliau berkata, bidang berkaitan sains dan teknologi mampu mengangkat sesebuah negara lebih maju dan berdaya saing.

Selain Wan Rusydiah, Sime Darby turut juga ada saintis wanita lain yang mempunyai pencapaian membanggakan dalam bidang penanaman sawit.

Mereka ialah Pengurus Bahagian Genomik Fungsian, Dr Yeap Wan Chin dan Pengurus Bahagian Pencirian Agronomi, Dr Neoh Bee Keat.

Berita Harian X