X
Jumaat, 6 March 2020 | 8:27pm
Wanita perlu diberi peluang mempunyai jawatan dalam syarikat atau politik. - Foto hiasan
Wanita perlu diberi peluang mempunyai jawatan dalam syarikat atau politik. - Foto hiasan

Peluang isi jawatan penting masih kurang

KUALA LUMPUR: Majikan kurang membantu wanita untuk menyeimbangkan antara pekerjaan dan tanggungjawab menjaga keluarga dilihat sebagai faktor paling utama menjadi penghalang golongan itu mencapai kesaksamaan gender dengan golongan lelaki di negara ini.

Kajian sebuah syarikat penyelidikan pasaran, Ipsos, mendapati faktor utama lain ialah terlalu sedikit wanita yang mempunyai jawatan dalam kuasa politik dan kerajaan kurang mempromosi kesaksamaan jantina.

Pengarah Urusan Ipsos Malaysia, Arun Menon, berkata 17 peratus rakyat Malaysia mungkin berpendapat wanita dan lelaki sudah mencapai kesaksamaan di negara ini, berbanding dengan purata 13 peratus di seluruh dunia.

Katanya, kira-kira 47 peratus wanita di negara ini mengisi jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif sejak 25 tahun lalu, yang menyaksikan golongan itu diwakili dalam kerajaan serta politik, mempunyai akses kepada pendidikan dan mempunyai kedudukan kanan dalam perniagaan.

“Kajian itu mendapati keyakinan adalah faktor utama membantu wanita mencapai kejayaan disusuli kepintaran, keberanian dan kesanggupan untuk bekerja keras,” katanya sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut Ahad ini.

Menon berkata, perlu perubahan sebenar dan ketara dilakukan untuk meningkatkan peluang dan suasana kerja petugas wanita.

“Hak wanita adalah hak asasi manusia. Frasa ini, yang sering diulang dan menggesa agar tindakan diambil untuk mempercepatkan kesaksamaan jantina di seluruh dunia,” katanya.

Kajian itu membabitkan sampel antarabangsa membabitkan 19,943 golongan dewasa di 27 negara, termasuk Argentina, Australia, Belgium, Kanada, Perancis, Jerman, Malaysia, Belanda dan Amerika. - BERNAMA

Berita Harian X