Khamis, 7 Mei 2020 | 3:58pm
Norhanani menyiapkan tempahan pes cili serbaguna di rumahnya di Kampung Permatang Bertam, Kepala Batas. - NSTP/Nur Izzati Mohamad
Norhanani menyiapkan tempahan pes cili serbaguna di rumahnya di Kampung Permatang Bertam, Kepala Batas. - NSTP/Nur Izzati Mohamad

PKP: Wanita manfaatkan wang BPN majukan bisnes pes cili

KEPALA BATAS: Seorang wanita dari Kampung Permatang Bertam di sini, memanfaatkan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) diterima suaminya, untuk membeli peralatan bagi memajukan perniagaan pes cili serba guna diusahakannya.

Norhanani Salleh, 43, bertindak sedemikian selepas hilang sumber pendapatan apabila khidmat transit kanak-kanak dan cuci rumah yang dibuatnya terhenti akibat penularan COVID-19.

Ibu kepada tiga anak itu, berkata sikap tidak suka berdiam diri mendorongnya menggunakan kepakaran memasak bagi menghasilkan pes cili serba guna yang dapatkan menjimatkan masa dan tenaga wanita bekerjaya termasuk suri rumah.

"Sebelum ini, memang saya sudah buat pes cili serba guna ini tetapi tidak fokus kerana sibuk dengan khidmat transit dan cuci rumah tetapi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya ada banyak masa kerana tidak boleh meneruskan perniagaan itu.

"Justeru, saya menggunakan masa terluang ini untuk fokus kepada pembuatan dan penjualan pes secara kecil-kecilan apabila suami memberikan wang BPN yang diterima kepada saya membeli mesin pengisar, peti sejuk beku dan dapur gas bagi meningkatkan perniagaan ini," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Norhanani berkata, keadaan itu membuatkan rutin harian setiap pagi sepanjang tempoh PKP ini memasak pes cili yang mengambil masa empat hingga lima jam, bagi memastikan produk itu bertahan lama.

"Pes serba guna yang saya hasilkan adalah untuk masak merah dan masak hitam yang sesuai digunakan untuk apa jua masakan," katanya.

Katanya, selain penghasilan pes cili serba guna itu, beliau turut menghasilkan murtabak mini sejuk beku sepanjang Ramadan ini.

"Bagi saya, sama ada PKP atau PKPB, bukan alasan untuk duduk diam dan mengharapkan sahaja bantuan masuk tetapi sebaliknya berfikir bagaimana cara meneruskan hidup kerana rezeki Allah ini sangat luas, yang penting kita berusaha.

"Syukur sangat masa lapang saya terisi dengan perniagaan seperti ini sekurang-kurangnya membantu meringankan beban suami yang bekerja sebagai pemandu di sebuah universiti awam," katanya.

Berita Harian X