Selasa, 2 Jun 2020 | 7:40pm
Ruzeeta (dua dari kiri) bersama kakitangan JAWI memakai pakaian pelindung diri sebelum menguruskan jenazah pesakit COVID-19 bagi mengelak jangkitan virus.
Ruzeeta (dua dari kiri) bersama kakitangan JAWI memakai pakaian pelindung diri sebelum menguruskan jenazah pesakit COVID-19 bagi mengelak jangkitan virus.

Cabaran urus jenazah mangsa COVID-19

KUALA LUMPUR: Mengurus, memandikan dan mengkafankan jenazah yang meninggal dunia akibat wabak COVID-19, selain pernah melakukan perkara sama kepada mangsa MH-17, di Amsterdam selama 40 hari, antara pengalaman bukan calang-calang mampu dilakukan wanita yang memilih bidang ini.

Keberanian, kecekalan, ketahanan mental dan fizikal serta perlu sentiasa bersiap sedia berhadapan tugasan mengurus, memandikan jenazah dalam pelbagai bentuk, rupa dan keadaan sama ada mangsa kemalangan atau pesakit kronik lain adalah teras utama.

Itulah antara tanggungjawab kakitangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ruzeeta Saad, 46, yang dilalui sepanjang 20 tahun menggalas tugasan itu dalam memenuhi tuntutan agama.

Katanya, beliau bersyukur kerana berpeluang terbabit dalam bidang tugas yang dianggap mencabar dan digeruni wanita.

"Hukum mengurus jenazah adalah fardu kifayah dan fardu ain kepada semua individu untuk mempelajarinya.

Ruzeeta Saad.
Ruzeeta Saad.

"Untuk tugasan terbaharu, saya mengurus tiga jenazah wanita yang meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19 di Wilayah Persekutuan," katanya.

Ruzeeta adalah salah seorang daripada lima kakitangan wanita bagi pasukan petugas untuk pengurusan jenazah COVID-19 di bawah JAWI.

Bercerita lanjut, pengalaman menguruskan jenazah mangsa COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau berkata, cara mengendalikan mayat pesakit itu memang berbeza daripada yang biasa dilakukan untuk mengelak dijangkiti wabak pandemik dunia ini.

Katanya, pengurusan tayamum dan solat jenazah hanya akan dilaksanakan selepas proses pengecaman selesai dijalankan.

"Bagi proses pengecaman jenazah ini cuma seorang waris dibenarkan masuk dan mereka juga perlu memakai pakaian pelindung diri (PPE).

"Prosedur ini akan dipantau sepenuhnya oleh kakitangan hospital dan sejurus selesai proses pengecaman, baharu saya dibenarkan masuk untuk melaksanakan tayamum dan solat jenazah," katanya.

Ruzeeta berkata, dalam keadaan itu jarang dapat berjumpa dengan keluarga mangsa COVID-19, memandangkan proses perbincangan dengan waris dikendalikan sepenuhnya Unit Kesihatan Awam, HKL.

"Antara pengalaman saya sepanjang mengendalikan kes COVID-19, ada antara keluarga atau waris terdekat tidak dapat menuntut jenazah disebabkan mereka berada dalam tempoh kuarantin.

"Sudah tentu ahli keluarga sangat sedih dengan berita kematian ini dan terpaksa jenazah dituntut oleh waris lain," katanya.

Beliau berkata, pasukan pengurusan jenazah JAWI dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah menguruskan 42 jenazah mangsa COVID-19 iaitu 27 daripadanya lelaki dan 15 wanita.

"Sepanjang wabak ini, tiga jenazah wanita mangsa COVID-19 yang saya uruskan kerana tugas berkenaan dilakukan secara bergilir-gilir bersama empat lagi pengendali jenazah yang lain.

" Hanya seorang sahaja petugas yang akan terbabit dalam proses tayamum. Selepas selesai tayamum, dua orang petugas yang lain akan melaksanakan solat jenazah.

"Disebabkan angka kematian kes COVID-19 semakin berkurangan, jadi buat masa ini kami cuma bersedia untuk dipanggil termasuk ketika sepanjang hari raya," katanya.

Malah, Ruzeeta tidak ada masalah untuk bertugas jika diperlukan nanti kerana beliau dan ahli keluarga yang lain akan beraya di Kuala Lumpur, selain suaminya juga dalam kalangan petugas barisan hadapan dan berkhidmat sebagai pemandu di HKL.

Mengulas mengenai kerjaya itu, katanya, tidak dinafikan khidmat pengurusan jenazah lebih tertumpu kepada petugas lelaki kerana mereka akan terbabit secara langsung daripada awal sehingga proses pengebumian.

"Petugas wanita hanya terbabit memandikan hingga mengkafankan jenazah (wanita) sahaja.

"Adakalanya, kami juga turut menjadi makmum untuk solat jenazah," katanya.

Beliau yang mula berkhidmat sebagai mubaligh di JAWI secara kontrak di HKL sejak tahun 2000, berkata antara bidang tugasnya adalah menguruskan jenazah yang tidak dituntut, jenazah berisiko dan tidak berkemampuan.

"Tugas menguruskan jenazah mangsa COVID-19 memerlukan persediaan bukan sahaja dari segi mental tetapi ketahanan fizikal.

"Kami perlu mengambil langkah keselamatan untuk diri sendiri seperti menjaga kesihatan dan mengamalkan pengambilan makanan tambahan yang boleh memberikan ketahanan diri seperti pengambilan vitamin C dan makanan berkhasiat.

"Semua petugas juga dipantau dengan rapi oleh pihak hospital dan pusat perubatan. Mereka akan membantu dari aspek pemakaian PPE dengan betul mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan.

"Apa yang paling penting adalah berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT," katanya.

Beliau berkata, dalam mendepani pelbagai cabaran sebagai pengurus jenazah, lima perkara yang sangat dititikberatkan iaitu memastikan dirinya sentiasa lengkap dengan ilmu, sentiasa berani, tidak jijik, amanah dan ikhlas dalam mencurahkan bakti.

Katanya, sebaik selesai menguruskan jenazah COVID-19, perkara pertama dilakukan adalah terus memandi dan membersihkan diri di hospital sebelum pulang ke rumah dengan mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menyentuh penerimaan keluarganya, Ruzeeta bersyukur kerana suami, anak dan keluarga yang lain sangat memahami tuntutan serta cabaran dalam melangsaikan tugas ini.

"Kerja saya tidak tentu masa siang dan malam.

"Antara pengalaman termasuk terbabit dengan pengurusan jenazah MH-17 di Amsterdam selama 40 hari.

"Saya bersyukur kerana suami yang juga bertugas sebagai anggota barisan hadapan memahami dan memberikan sokongan," katanya.

Setiap kali ada panggilan untuk pengurusan jenazah COVID-19, beliau akan memohon kepada ahli keluarga terdekat supaya mendoakan keselamatannya dan petugas lain yang turut terbabit.

Ruzeeta berkata, orang ramai tidak sepatutnya gerun, sebaliknya menyarankan semua wanita mengambil inisiatif untuk mempelajari kaedah pengurusan jenazah.

"Jika belajar kita boleh menguruskan jenazah ahli keluarga sendiri suatu hari nanti," katanya.

Banyak surau, masjid dan jabatan agama Islam di peringkat negeri menganjurkan kursus pengurusan jenazah.

"Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan untuk mempelajari teknik pengurusan ini kerana hikmah, ganjaran dan pahalanya sangat banyak

"Dengan mempelajarinya, secara tidak langsung, kita akan mendapat penjelasan betul dalam pelbagai perkara khususnya membabitkan isu yang sentiasa menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat, " katanya.

Sebelum ini, beliau tidak ada pengalaman langsung dalam bab pengurusan jenazah dan tidak pernah mengikuti sebarang kursus berkaitan dengannya.

Dulu masyarakat kurang diberi pendedahan mengenai pengurusan jenazah pada ketika itu berbanding dengan sekarang.

"Sekarang kanak-kanak di sekolah rendah pun sudah diberikan pendedahan cara pengurusan jenazah meliputi aspek teori dan praktikal," katanya.

Menurutnya, atas galakan rakan sekerja yang banyak memberikan tunjuk ajar, lama-kelamaan beliau mula selesa dan tekad untuk menjalankan amanah ini dengan sebaiknya.

"Pengalaman pertama saya adalah menguruskan jenazah tidak dituntut yang berasal dari Indonesia di Jabatan Perubatan Forensik HKL.

"Sejak daripada tugasan itu, saya sedar perlu memikul tanggungjawab ini dengan sebaiknya, tidak kira jenazah itu sempurna atau sebaliknya, baharu atau lama, berwaris atau tidak dan seumpamanya," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X