Sabtu, 6 Jun 2020 | 4:28pm
HASNAH menunggu pelanggan singgah ke kedainya di Jertih Souq. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
HASNAH menunggu pelanggan singgah ke kedainya di Jertih Souq. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

'Pernah balik dengan tangan kosong' - Peniaga

JERTIH: "Pernah beberapa kali saya balik dengan tangan kosong kerana tiada pembeli yang datang," kata Hasnah Daud, 45, peniaga batik di Jertih Souq, di sini.

Hasnah berkata, beliau mula berniaga di situ kira-kira 14 tahun lalu sejak awal pembukaan pasar itu kepada orang awam.

"Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedai memang tutup sepenuhnya dan saya juga tidak membuat jualan secara dalam talian.

"Kedai kembali dibuka ketika kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada peniaga untuk beroperasi kembali dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya kepada wartawan ketika melakukan tinjauan di pasar berkenaan di sini, hari ini.

Hasnah berkata, selalunya seminggu sebelum menjelangnya Aidilfitri dia akan menambah serta memasukkan stok jualan baru kerana mempunyai permintaan tinggi.

"Tetapi tahun ini saya memilih untuk menjual stok pakaian sedia ada kerana pembeli tidak ramai seperti kebiasaan.

"Saya juga turut mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan seperti menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pelanggan yang datang.

"Kami berharap tempoh PKPB ini tamat sepenuhnya Selasa ini supaya kegiatan perniagaan dapat beroperasi sepenuhnya seperti biasa," katanya.

ROSMAWATI (tengah) sedang melayan pelanggan yang berkunjung ke Jertih Souq. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
ROSMAWATI (tengah) sedang melayan pelanggan yang berkunjung ke Jertih Souq. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

Peniaga, Rosmawati Husin, 57, berkata, walaupun baru memulakan perniagaan di situ sejak awal tahun ini dia tetap turut terkesan.

"Selalunya orang luar yang ramai datang membeli pelbagai cenderahati batik seperti kain pasang, kain batik dan baju kelawar.

"Tetapi tahun ini jumlah kedatangan orang luar dan pelancong sangat berkurangan kerana sekatan pergerakan antara negeri untuk mengelakkan penularan COVID-19," katanya.

Namun, bersyukur kerana operasi perniagaan tetap berjalan walaupun tempoh PKP dengan bantuan anaknya yang menggunakan medium laman sosial untuk mempromosikan perniagaan mereka.

"Sebelum ini kami berniaga secara kecil-kecilan dari rumah kemudian berpindah ke kedai dan bekalan barang diperoleh dari pembekal di Kuala Terengganu," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X