Jumaat, 31 Mei 2019 | 2:10pm
ABDUL Al Halim Mohd Alfadzil menunjukkan produk kosmetik keluaran Alha Alfa di Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Tampil bergaya pagi raya bersama Alha Alfa

SHAH ALAM: Selain bergaya dengan busana raya, pastinya Aidilfitri lebih berseri dengan sentuhan tatarias bagi menaikkan seri wajah lebih segar.

Biar hanya dengan solekan ringkas sudah cukup menampakkan wajah kelihatan berbeza berbanding hari biasa, sekali gus menyerikan tatarias apatah lagi ketika berkunjung ke majlis rumah terbuka.

Bagaimanapun ada masanya untuk mendapatkan hasil mekap memukau memerlukan teknik yang perlu dipelajari di samping penggunaan produk yang sesuai untuk tona kulit.

Sempena lebaran ini, jenama kosmetik tempatan, Alha Alfa Cosmetics tampil dengan dua koleksi set kombo mekap edisi Aidilfitri iaitu matte dan glow.

Bagi pengasas jenama berkenaan yang juga ahli perniagaan dan jurusolek profesional, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau lebih dikenali Alha, berkata koleksi mengetengahkan lima kod warna berbeza.

Dua set kombo itu merangkumi primer, bedak asas, bedak tabur dan penyembur mekap atau setting spray.

“Koleksi soul matte ini lebih sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit berminyak memberikan ilusi solekan sempurna. Mudah diguna sekali gus membuatkan wajah segar, licin menutupi cela bekas jerawat, jeragat atau tona kulit tidak serata.

“Bagi yang menginginkan solekan menyerlah seperti artis Korea, koleksi glowing (soul glow) ini lebih sesuai untuk menampakkan tatarias mempesona sebagai penyeri mekap untuk hari raya,” katanya.

Alha Alfa Cosmetics kini membawakan 20 episod Alha Alfa Night Live yang disiarkan di Facebook rasmi ALHA ALFA setiap Khamis selama satu jam, mempamerkan demonstrasi solekan, kupasan isu semasa dihoskan sendiri oleh Alha. Slot malam tadi menyiarkan episod lima menampilkan Rusdi Ramli dan Amy Mastura sebagai episod terakhir yang dijayakan pada Ramadan.

Alha berkata, bagi solekan biasa hanya memerlukan masa 20 minit asalkan seseorang itu tahu mengaplikasikan teknik, penggunaan warna sesuai dan membuat kontur wajah.

Berita Harian X