Rabu, 28 November 2018 | 5:31pm
Pengilat kuku didakwa pengeluar bebas bahan kimia juga didapati tidak selamat, jejas kesihatan pengguna.

Pengilat kuku bebas bahan kimia juga jejas kesihatan, ganggu sistem kesuburan

Aliran memakai alat pengilat kuku untuk kelihatan cantik, tanpa disedari mengundang bahaya kepada pengguna. Kandungan bahan kimia yang terdapat didalamnya berisiko mengganggu kesejahteraan kesihatan yang membawa kesan sampingan.

Walaupun pengeluar mengumumkan tiada penggunaan bahan kimia menjejaskan kesihatan, namun sekumpulan penyelidik membuktikan dakwaan itu tidak benar kerana kajian mendapati, masih terkandung bahan kimia memudaratkan.

Tanpa mereka sedari, kandungan bahan kimia yang terkandung dalam pengilat kuku menyebabkan gangguan kesuburan selain kanser.

Penulis jurnal perubatan Enviromental Science and Technology dari Universiti Harvard, Anna Young, berkata penggunaan penggilap kuku yang didakwa kandungannya selamat itu, seolah-olah meletakkan pengguna seperti bermain dengan bahan kimia.

Young dalam tulisannya mendakwa seawal tahun 2000-an, mendapati pengeluar produk penggilap kuku mendakwa barangan mereka ‘three free’ sebagai menandakan produk tanpa ‘dibutyl phthalate’ (bahan plastik meningkatkan tekstur dan fungsi menggilap).

Jejas kesuburan, ganggu saraf

Bahan ini dikaitkan dengan punca gangguan sistem pembiakan dan perkembangan, selain kandungan toluena penyebab gangguan sistem saraf dan formaldehid (karsinogen).

Sejak itu, banyak jenama menghapuskan bahan kimia yang biasa digunakan dalam pengilat kuku, malah berani melabelkan produk sebagai “free five”, “free 10” dan juga “free 13”.

Walaupun terdapat label berkenaan, sukar menentukan bahan kimia apa sebenarnya diberi pengecualian atau diganti bahan berkenaan.

Menguji sendiri dakwaan itu, Young dan rakan penyelidik lain menguji kandungan 40 penggilap kuku daripada 12 jenama berlainan, dilabel “three free” sehingga “free 13”.

Walaupun kajian tidak menamakan jenama tertentu, namun penulis mengesahkan dua jenama diuji terdiri daripada gabungan 15 peratus daripada pasaran penggilap kuku.

“Kami mendapati dakwaan ini tidak seragam, tidak ada maklumat jelas sama ada penggilap kuku berkenaan sebenarnya kurang toksik.

“Ujian mendapati, walaupun bahan kimia didakwa dihapuskan, namun produk itu masih mengandungi sejenis bahan kimia bertoksik,” katanya.

Jejas kesihatan 400,000 pekerja salon

Hasil kajian makmal juga mendapati, tiada sampel mengandungi ‘dibutyl phthalate’, tetapi diuji positif sekurang-kurangnya satu daripada dua ‘plasticizer’ berisiko terhadap kesihatan.

Terdapat satu penggilap kuku mengandungi ‘plasticizer’ sedangkan pengeluar mendakwa tidak termasuk daripada formulanya. Walaupun sampel tidak mewakili keseluruhan pasaran penggilap kuku, namun ujian membabitkan beberapa jenama popular.

Young memberitahu, penemuan itu relevan kepada sesiapa yang memakai penggilap kuku, walaupun belum jelas penggunaan kuantiti bahan kimia yang terdapat di dalamnya menjejaskan kesihatan seseorang.

“Hasilnya penting untuk 400,000 pekerja salon kuku di Amerika Syarikat yang mengalami pelbagai risiko kesihatan dan berdepan suasana kerja tidak sihat. Mereka terdedah kepada bahan kimia yang dikaitkan dengan kesan kesihatan.

“Jejas kesuburan, perkembangan janin, ganggu fungsi tiroid, obesiti dan kanser,” katanya.

Hasil kajian itu, golongan penyedia dasar menyarakan mengemas kini rang undang-undang bagi Akta makanan, Dadah dan Kosmetik Persekutuan bagi memastikan tidak menjejaskan kesihatan pengguna.

Berita Harian X