Khamis, 29 November 2018 | 12:38pm
KES influenza meningkat, waspada jika demam, selesema dan batuk berterusan. Jalani pemeriksaan di hospital berhampiran segera.

Perubahan cuaca hujung tahun catat peningkatan kes Influenza

[email protected]

Kuala Lumpur: Perubahan cuaca pada hujung tahun bukan sekadar mengundang musibah seperti banjir, malah memberi kesan kepada gejala penyakit antaranya demam, selesema dan batuk.

Ini berikutan wabak influenza atau penyakit berjangkit disebabkan virus influenza dijangka meningkat menjelang penghujung tahun ini.

Berdasarkan corak kes membabitkan jangkitan influenza di negara ini, lazimnya jumlah pesakit meningkat pada musim hujan iaitu April hingga Jun dan Disember.

Ketua Pakar Perunding Unit Penyakit Berjangkit dan Jabatan Perubatan, Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher Lee, berkata kes influenza di negara ini masih terkawal.

Beliau berkata, virus memang ada sepanjang tahun tetapi biasanya kes meningkat pada April hingga Jun dan penghujung tahun.

“Bagaimana kes di negara ini tidak seteruk berbanding di Eropah seperti United Kingdom yang mengalami musim sejuk pada penghujung tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran vaksin influenza berteknologi baharu oleh AJ Biologics menggunakan kultur sel inovatif berbanding berasaskan telur, di sini semalam.

Dr Christopher diminta mengulas dakwaan gejala influenza yang didakwa menular sekitar ibu kota, menerusi satu kenyataan tular di media sosial, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Mantan Presiden, Persatuan Perubatan Islam Malaysia dan Perunding Pediatrik dan Neonat KPJ Damansara Specialist Hospital, Datuk Dr Musa Mohd Nordin dan Ketua Pegawai Operasi, AJ Biologics Sdn Bhd, Jerome Cabannes.

Sementara itu, Dr Musa berkata, iklim tropika menyebabkan jangkitan influenza di negara ini berlaku sepanjang tahun. Bagi melindungi diri daripada jangkitan, beliau berkata imunisasi boleh diambil pada April atau Mei tetapi pastikan suntikan diambil setiap tahun.

“Ini disebabkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menukar kandungan antigen di dalam vaksin mengikut perubahan virus yang beredar di udara,” katanya.

Katanya, untuk vaksin terbaharu, dikenali sebagai SKYCellflu Quadrivalent, WHO menukar dua daripada antigen untuk disesuaikan dengan bentuk virus yang ada pada masa ini.

Berbeza vaksin konvensional yang menyuntik virus terus ke dalam telur, vaksin dihasilkan menggunakan inkubator steril yang tidak memerlukan antibiotik atau pengawet.

Vaksin ini sesuai untuk mereka yang alah kepada telur atau sensitif kepada antibiotik selain dapat dihasilkan dalam tempoh tiga bulan berbanding enam bulan atau lebih bagi kaedah biasa.

Tempoh penyediaan vaksin yang pendek ini membolehkan ia digunakan dengan pantas apabila berlaku wabak jenis influenza baharu atau yang berubah.

Justeru, orang ramai khususnya kanak-kanak, ibu hamil dan warga emas bersedia berdepan risiko dijangkiti dengan mengambil suntikan imunisasi. Golongan ini berisiko menghidap penyakit ini memandangkan sistem imun badan mereka lemah.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih berwaspada supaya menghantar anak mereka menjalani pemeriksaan segera di klinik berhampiran jika berhadapan gejala batuk selesema dan demam berpanjangan,” katanya.

Data pesakit sebuah hospital swasta sepanjang tiga bulan, September - November 2018

853 - kemasukan wad kanak-kanak

* 121 - kes influenza A

* 135 - kes influenza B

* 597 - kes demam, selesema dan batuk

Info:

*Influenza atau flu sejenis penyakit pernafasan viral berjangkit.

*Gejala: demam, batuk, sakit tekak, pening kepala, sakit otot dan hidung berair.

*Tersebar melalui titisan (apabila bersin), batuk atau bercakap, sentuhan dengan permukaan mengandungi virus dan sentuhan mulut, hidung atau mata sendiri.

*Virus influenza A dan B bertanggung jawab terhadap wabak influenza bermusim setiap tahun.

*Virus influenza A: H1N1, H3N2

*Virus influenza B: Yamagata dan Victoria.

Berita Harian X